Financial Peace – Selesaikan Semua Hutang dan Hidup Tenang di Hari Tua

Siapa tidak pernah berhutang? Sama ada hutang dengan bank, keluarga mahu pun Ah Long? Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, setakat Ogos 2019, sebanyak 300,908 rakyat Malaysia yang telah diisytiharkan muflis. 35% berumur di antara 35-45 tahun manakala 25% berumur di antara 25-34 tahun. JIka anda di kalangan orang yang tiada sebarang hutang misalnya pinjaman kereta, perumahan, kad kredit, dan sebagainya – TAHNIAH diucapkan. Jika anda belum mencapai Financial Peace, dan ingin selesaikan semua hutang dan hidup tenang di hari tua, mungkin artikel ini dapat memberi sedikit panduan.

Realitinya, ramai anak muda yang mula berhutang apabila melanjutkan pelajaran melalui pinjaman pendidikan seperti PTPTN. Mana tidaknya, kos pendidikan sekarang ini jauh beza jika dibanding dengan 20 tahun yang lalu. Waktu saya belajar dulu, 1 semester cuma RM900++ untuk asrama dan RM800++ untuk yuran fakulti. Kebanyakan pelajar dapat pembiayaan MARA, JPN, biasiswa kerajaan, dll. Bagi yang mendapat pinjaman MARA (seperti saya) bayaran balik bergantung kepada keputusan akhir. Jika keputusan baik, pinjaman biasanya akan convert menjadi biasiswa penuh.

Pakar Kewangan Peribadi – Dave Ramsey

Kami bukan pakar kewangan, belajar akaun pun cuma setakat SRP. Dan kami juga lemah dalam bab pengurusan kewangan. Oleh itu kami suka mendengar tips pakar dan gemar membaca pelbagai buku kerkenaan bajet dan pengurusan kewangan peribadi, Membaca, belum tentu faham. Apabila sudah faham, belum tentu dapat diamalkan. Pendek kata, bukan mudah untuk mendapat tips yang sesuai untuk seisi keluarga. Sebab itu, kami terus membaca dan mencari tips yang sesuai.

Setelah bertahun-tahun membaca dan mencuba, kami berpendapat formula atau langkah-langkah yang dicadangkan oleh Dave Ramsey adalah yang paling sesuai untuk kami.

Pada mulanya, pandangan beliau agak sukar untuk saya terima, misalnya tentang pembayaran hutang dan kad kredit. Beliau menyarankan fokus pada hutang yang paling kecil dahulu tanpa mengira caj faedah yang dikenakan. Ramai yang mengkritik beliau semasa beliau baru mula memberi nasihat. Namun, selepas dua dekad, ternyata ramai yang bukan sahaja dapat hidup tanpa hutang, tetapi juga telah berjaya menjadi jutawan selepas mengikuti nasihat beliau.

7 Baby Steps

Berikut adalah ‘7 Baby Steps‘ iaitu langkah-langkah yang beliau sarankan untuk melepaskan diri dari belenggu hutang. Perkara pertama adalah menyimpan USD1000 (lebih kurang RM4000) sebelum mula membayar hutang-hutang. Simpanan ini adalah untuk kegunaan di masa kecemasan (misalnya kereta rosak, ubat-ubatan, dan keperluan yang sangat penting). Susah? Kalau anda rasa USD1000 terlalu besar, mulakan dengan menyimpan RM1000 dahulu. Lagipun, kos hidup di Malaysia tidak setinggi kos hidup di Amerika Syarikat. Dave Ramsey juga ada berkongsi tips mudah tentang cara mengumpul USD1000 dengan segera.

Zero Budget

Perkara pertama yang mesti dilakukan jika inginkan ‘Financial Peace’ adalah berbincang dengan pasangan masing-masing (jika sudah berumahtangga). Kedua-dua pihak mesti bersetuju untuk berganding bahu memperbaiki kedudukan kewangan keluarga demi masa depan. Jika sudah sepakat, maka boleh mula membuat bajet.

Langkah-langkah merangka bajet keluarga yang beliau sarankan adalah:

  1. Senaraikan setiap punca pendapatan
  2. Senaraikan perbelanjaan
  3. Tolak perbelanjaan dari pendapatan sehingga baki jadi sifar – pastikan kita tahu ke mana setiap sen akan pergi.
  4. Teliti setiap perbelanjaan yang dibuat – sistem sampul (money envelope) amat berguna untuk memastikan kita tidak berbelanja melebihi bajet yang ditetapkan

Walaupun nampak mudah, kebanyakan orang memerlukan masa berbulan-bulan untuk menyesuaikan bajet dengan cara hidup mereka.

Debt Snowball

Menurut Dave Ramsey, hutang adalah masalah psikologi bukan matematik. Oleh itu, ia hendaklah ditangani dengan kaedah psikologi juga. Setiap kali kita dapat menyelesaikan satu hutang, kita akan jadi lebih bersemangat untuk menyelesaikan hutang yang seterusnya. Oleh itu, selesaikan hutang yang paling kecil dahulu. Teknik ‘Debt Snowball’ beliau ternyata amat berkesan kepada ramai orang.

Untuk mengamalkan Debt Snowball, kita hendaklah:

  • Senaraikan kesemua hutang terlebih dahulu.
  • Susun mengikut jumlah hutang, dari yang paling kecil hingga yang paling besar.
  • Kemudian, kita buat bayaran minima pada semua hutang kecuali yang paling kecil. Apa jua duit extra yang diperolehi (bonus, second job, elaun, dll) digunakan untuk membayar hutang yang paling kecil tersebut.
  • Apabila hutang paling kecil sudah selesai, wang yang digunakan untuk membayar hutang itu digunakan untuk top-up bayar hutang terkecil seterusnya. Teruskan sehingga kesemua hutang (kecuali hutang rumah) selesai dibayar.

Dave Ramsey juga anti-kad kredit. Bagi beliau, apa pun kebaikan kad kredit, ia tidak boleh mengatasi risiko yang boleh dihadapi dikemudian hari. Lagipun, kad kredit adalah suatu pinjaman/hutang, berbeza daripada kad debit. Pendek kata, beliau menyarankan pendekatan pencegahan dan penggunaan kad debit.

Bolehkah Menabung Jika Hanya Bergaji Minima?

Bayangkan jika anda dapat membeli kereta baru secara tunai. Bayangkan semua pinjaman peribadi telah langsai. Bayangkan tiada masalah kewangan. Tiada sebarang hutang dan gaji 100% masuk ke poket sendiri. Indah, bukan?

Kita tahu gaji minima RM1,100 tidak cukup untuk menampung kos sara hidup terutama bagi yang berkeluarga dan tinggal di kawasan bandar. Dan setiap kali gaji minima meningkat, kos barangan keperluan harian seperti makanan, juga akan turut meningkat. Sejak Perintah Gaji Minima diimplementasi pada 2013 sehingga kini, harga nasi ayam kegemaran saya naik dari RM4.00 ke RM7.00. Nasi ayam RM2.80 pun sudah pupus. Oleh itu, lebih baik tapau makanan dari rumah. Akan tetapi, kalau semua orang buat begitu, kedai-kedai makanan pula akan gulung tikar.

Pendek kata, boleh menabung dengan gaji minima, tetapi sangat susah dan sangat mencabar, bergantung kepada situasi seseorang. Lebih mudah jika anda masih bujang dan tinggal dengan ibubapa (rent-free). JIka anda bekerja di kawasan bandar dan berkeluarga, anda perlu pendapatan sampingan.

Namun demikian, masalah kewangan bukan hanya dialami oleh golongan berpendapatan rendah sahaja. Golongan profesional dan bergaji besar juga berhutang sehingga ramai yang diisytihar muflis. Pokoknya, ini isu pengurusan kewangan, sesuatu yang tidak dipelajari di sekolah. Sebab itu kami sangat berharap topik pengurusan kewangan peribadi akan diajar di sekolah-sekolah, bukan setakat belajar tentang keusahawanan.

Video Dave Ramsey

Dave Ramsey juga mempunyai rancangan radio/podcast sendiri di mana pendengar boleh bertanya pelbagai soalan. Video yang menyayat hati ini merupakan perkongsian oleh seorang wanita yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kesemua baki hutang supaya dapat memperbaiki kedudukan kewangan keluarga.

Yang ini pula rintihan seorang ayah tunggal yang hanya bergaji minima. Kisah beliau hampir buat saya menitiskan air mata.

Sebenarnya bukan orang bergaji kecil sahaja yang meminta nasihat daripada Dave Ramsey, peguam dan doktor yang bergaji besar juga ada membuat panggilan. Selain tips kewangan, ramai juga surirumah yang meminta pendapat beliau sama ada mereka patut kembali bekerja atau tidak. Pertanyaan juga diterima daripada suami/isteri yang berbeza pendapat tentang bab pengurusan kewangan. Beliau juga ada segmen khas di mana para jutawan biasa (everyday millionaires) berkongsi tips kejayaan mereka.

Buku Dave Ramsey

Saya mengenali Dave Ramsey melalui buku-buku tulisan beliau. Berikut adalah buku-buku beliau yang saya syorkan anda baca: ‘The Total Money Makeover‘ dan ‘The Financial Peace Planner‘. Atau lawati laman web beliau untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Elak Tambah Hutang

Banyak yang dapat dipelajari dengan mendengar nasihat-nasihat Dave Ramsey. Paling kurang pun, dapat membakar semangat untuk memperbaiki kedudukan kewangan sendiri. Pendek kata, berbelanjalah dengan berhemah sebab kalau hari-hari shopping di Shopee, bila nak kaya?

Menyedari hakikat susahnya untuk melepaskan diri dari hutang, kami ingin menyarankan pembaca untuk:

  • Buka minda dan teruskan belajar sehingga dapat teknik pengurusan kewangan yang sesuai.
  • Jika anda seorang pekerja, tingkatkan kemahiran diri supaya dapat meningkatkan prestasi kerja dan berpeluang untuk mendapat gaji yang lebih besar.
  • Cari pendapatan sampingan.
  • Rangka bajet keluarga dan patuhi bajet tersebut.
  • Elakkan daripada berhutang (kecuali pinjaman perumahan), tak kira sama ada pinjaman peribadi atau kad kredit.

Melainkan anda dapat pinjaman tanpa faedah, seperti yang diberikan oleh sesetengah majikan untuk pekerja mereka, jangan tambah hutang.

Kelebihan kita di Malaysia berbanding dengan di USA adalah adanya perkhidmatan hospital kerajaan dan AKPK, iaitu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan. Di Amerika Syarikat, tiada agensi sebegini dan kos perubatan juga sangat mahal. AKPK mempunyai pakar kewangan yang boleh memberi nasihat percuma mengenai pengurusan kewangan.

Lindungi diri anda dan keluarga anda – jangan sekali-kali merujuk kepada Ah Long untuk menyelesaikan masalah kewangan anda.

 

8 thoughts on “Financial Peace – Selesaikan Semua Hutang dan Hidup Tenang di Hari Tua

  1. Teknik snowball memang membantu sangat. Sha baca juga tapi bila nak aplikasikan… masa itulah masalahnya sampai. Tak berdisiplin! Sekarang ni tengah slow-slow juga rancang belanja. Aim sekarang nak bayar hutang kad kredit. Asyik maksimum je aduhai 🙁

    1. Excellent! Akak doakan semoga Nurul berjaya selesaikan semua hutang. Kalau rasa nak up-kan semangat, blh tengok YouTube Dave Ramsey. Hampir hari2 akak tengok segmen beliau – hasrat hati nak clear semua hutang sebelum retire & dpt saving besar.

    1. Betul tu, apalagi kalau dah keliling pinggang & outstanding – boleh buat sakit mental & fizikal. Kebanyakan hutang sebenarnya boleh dielak kalau kita bijak mengurus wang. Tapi kadang2, ada juga hutang yg x dirancang & diluar kawalan kita.

    1. Tahniah sis, tak ramai yg dpt settlekan PTPTN, senang lagi settlekan kereta. Tapi betul, bila hutang dah settle, hati rasa lebih selesa.

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.