Fiqh Awlawaiyyah Dalam Dakwah

Dakwah telah dinyatakan dalam Al Quran, antaranya, melalui firman Allah yang bermaksud:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).  Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka.  (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”

Surah Ali-Imran, Ayat 110

Dakwah

Ibnu Taimiyah telah menerangkan definisi dakwah kepada Allah sebagai : ‛Dakwah kepada Allah ialah menyeru manusia agar beriman dengan Allah serta beriman dengan apa yang telah dibawa oleh para RasulNya, membenarkan apa yang telah diberitakan oleh mereka dan taat kepada perintah mereka” [Majmu’ Fatawa, 15/157]

Dakwah juga didefiniskan sebagai : “Usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia kepada mengenali Islam, menerima dan menghayatinya, yang dilaksanakan menerusi kaedah, cara dan pendekatan tertentu”  – Datuk Hj. Mohamad Shahir bin Hj. Abdullah [Berdakwah Dalam Era Multimedia]

Pendakwah

Manakala pendakwah merupakan orang yang menjalankan urusan dan memikul beban dakwah supaya ianya sampai kepada manusia dan mereka juga digelar sebagai Da’ie [Majalah ’al-Tarbiyah al-Islamiah’ Jilid 5, halaman  471].

Da’ie adalah Mukmin yang bekerja keras untuk mewujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang melaksanakan Islam dalam pemerintahan.

Ertinya, dakwah bukan terhad kepada penyampaian oleh Pendakwah kepada orang bukan Islam sahaja tetapi juga termasuk terhadap orang-orang Islam agar mereka boleh meningkatkan keimanan diri dan kekuatan melawan dugaan duniawi.

NOTA PENTING: Walaupun dakwah merupakan tanggungjawab setiap Muslim, tetapi dakwah yang efektif biasanya berlaku jika ia disampaikan oleh seorang Pendakwah yang ikhlas.

Oleh kerana perkara yang disampaikan itu merupakan suatu tanggungjawab yang berat, maka Mukmin yang memikul tugas sebagai Da’ie perlu mempunyai keperibadian dan akhlak yang mulia dan terpuji dan sekurang-kurangnya memiliki persediaan asas atau ciri-ciri asas tertentu sebelum boleh bergelar ‛Pendakwah’.

CIRI-CIRI ASASI SEORANG PENDAKWAH

Sebelum berdakwah, seseorang Da’ie perlu membuat persediaan asasi atau melengkapkan diri dengan ciri-ciri asasi berikut agar dakwah yang disampaikan mendapat rahmat dari Allah swt dan dapat mengatasi sekurang-kurangnya 5 jenis dugaan [Fathi Yakan – Rintangan Perjuangan, halaman 2] yang kerap menimpa seorang Muslim, lebih-lebih lagi Da’ie yang beriman kepada Allah swt, Nabi Muhammad saw dan Al Qur’an iaitu:

  1. Orang Mukmin yang dengki kepadanya
  2. Orang Munafiq yang membencinya
  3. Orang kafir yang mahu memeranginya
  4. Syaitan yang hendak menyesatkannya
  5. Nafsu yang sentiasa bertarung dengannya

Antara ciri-ciri asas yang perlu dimiliki oleh seorang Da’ie adalah:

  1. Beriman
  2. Berilmu
  3. Mendahulukan Kepentingan Islam
  4. Menyertai Jemaah
  5. Tabah dan Sabar Dalam Menghadapi Cabaran

Beriman

Seorang Daie hendaklah mempunyai keimanan dan kecintaan yang teguh terhadap Allah swt dan Nabi Muhammad saw kerana jika tidak pelbagai keraguan dan prasangka akan dapat menyelinap masuk ke dalam kalbu dan mengganggu-gugat dakwah yang disampaikan.  Niat berdakwah hendaklah untuk mendapat keredhaan Allah swt.

Allah swt telah berfirman di dalam Al Quran mengenai kepentingan adanya tauhid mengesakan Allah swt sebelum dakwah dilaksanakan oleh para Rasul yang bermaksud:

Dan tidaklah kami mengutuskan sebelum kamu daripada rasul-rasul melainkan kami mewahyukan kepada mereka bahwasanya tiada tuhan selain aku maka sembahlah aku.”

– (Surah Al-Anbiya’, ayat 25).

Kepentingan keimanan ini telah diperintahkan oleh Rasulullah saw kepada Muaz bin Jabal ketika diutuskan sebagai naqib (utusan Rasulullah saw) ke Yaman untuk berdakwah di sana dengan sabda Baginda yang bermaksud:

Seawal-awal perkara yang hendak kamu dakwahkan kepada manusia haruslah tauhid kepada Allah.”

 

Berilmu

Selain beriman dan berakhlak mulia, seorang Daie perlu memiliki ilmu yang mantap, iaitu ilmu agama dan ilmu duniawi yang bersangkutan.  Berbagai keaiban telah dialami oleh Daie hanya kerana mereka tidak mempunyai kemantapan ilmu lalu mendatangkan krisis keyakinan kepada masyarakat.

Menurut penjelasan oleh Dr. Yusuf al-Qardawi [Al-Qardawi, Thaqafah al-Dakwah, ms 8] : Pendakwah hendaklah mengetahui atau mempunyai maklumat yang baik berhubung dengan:

  1. Pengetahuan Islam keseluruhannya.
  2. Pengetahuan berhubung dengan sejarah dan ketamadunan manusia.
  3. Pengetahuan berhubung dengan kemanusiaan.
  4. Pengetahuan berhubung dengan sains dan teknologi.
  5. Pengetahuan semasa dalam semua perkara , khususnya mengenai umat Islam.

Daripada penjelasan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa seseorang Da’ie hendaklah memiliki pengetahuan dan ilmu yang secukupnya dalam perkara-perkara yang berhubung dengan keilmuan yang hendak disampaikan, keadaan kekuatan dan dirinya. Hal ini bererti sebanyak mana kelengkapan yang dimiliki oleh seseorang pendakwah , sebanyak itulah kesan yang akan dicapainya .

Allah swt amat tegas berkenaan perlunya ada ilmu sebelum berdakwah mengenai Islam melalui firman Allah swt yang bermaksud:

“Apakah kamu berani mengatakan sesuatu perihal Allah tanpa ilmu ?”

– (Surah Al-Baqarah, ayat 80)

Allah swt juga menuntut agar Daie menyandarkan kepercayaannya dengan ilmu pengetahuan, tidak hanya mengikut ajaran secara hentam buta di dalam firmanNya yang bermaksud:

Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan.”

– (Surah Al-Isra, ayat 36)

 

Mendahulukan Kepentingan Islam

Dalam berdakwah, Da’ie hendaklah cekal dan mengutamakan kepentingan Islam melebihi kepentingan lain, terutama sekali apabila berlaku pertindihan dengan kepentingan lain.  Misalnya dalam menyatakan kebenaran tentang pandangan Islam berkenaan isu ’Mak Nyah’ – ianya mesti dilakukan dengan ikhlas walaupun akan menyakitkan hati orang lain.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

Berkisarlah untuk kepentingan Islam di mana kepentingannya berkisar.”

 

Menyertai Jemaah

Tiada orang yang boleh hidup sendiri.  Hakikatnya, setiap orang mempunyai keluarga dan/atau sahabat handai.  Apabila kita berbincang dan bekerjasama, apa jua masalah akan dapat diatasi.  Oleh itu, Da’ie patut bekerja secara berkumpulan atau berjama’ah iaitu bekerjasama dengan para pendakwah lain yang menyeru kepada Allah swt, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran.

Apabila Da’ie mendekatkan diri dengan sahabat seperjuangan, semangat dakwahnya akan menjadi lebih kuat dan kerja akan terasa senang kerana mendapat bantuan para sahabat, sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:

Kami akan perkuatkan tenagamu dengan saudaramu.”

– (Surah Al-Qashash, ayat 35)

Firman Allah swt lagi yang bermaksud:

Bertolong-menolonglah kamu dalam urusan kebaikan dan jangan kamu bertolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.

– (Surah Al-Maidah, ayat 2)

Rasulullah saw juga ada bersabda mengenai kepentingan jama’ah, yang bermaksud:

Hendaklah kamu bersama-sama Jama’ah al-Muslimin dan kepimpinan mereka.”

 

Tabah dan Sabar Dalam Menghadapi Cabaran

Ketabahan dan istiqomah inilah yang merupakan kunci terakhir untuk mendapat kejayaan di sisi Allah SWT.  Betapa ramai orang yang ingin berbakti sebagai pendakwah namun akhirnya kelayuan sebelum sempat untuk berkembang.  Allah swt berfirman yang bermaksud :

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

– (Surah Surah Ali-Imran, ayat 142)

Aiff lam mim, Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja untuk mengaku bahawa ‘Kami telah beriman’ dan sedangkan mereka tidak diuji lagi?  Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

– (Surah Al Ankabut, ayat 1-3)

Rasulullah saw juga ada berpesan, tentang betapa hebat cabaran dalam melakukan amal mulia, dalam sabda baginda yang bermaksud:

Orang yang paling berat dicuba ialah para Nabi kemudian yang paling baik selepasnya, kemudian orang yang paling baik selepas itu.”

 

KESIMPULAN

Ketokohan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang seorang Rasul dan kejayaan baginda dalam menyebarkan Islam memang amat mengkagumkan, tetapi kejayaan baginda bukan datang dalam sekelip mata.  Banyak rintangan, dugaan dan tangisan terpaksa dilalui sebelum Islam dapat bertapak dengan gah di Tanah Arab, dan seterusnya di seluruh dunia .

Maka itu cabaran-cabaran yang mendatang dan kekurangan dalam diri tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kita mengelak berdakwah – walaupun hanya dengan mengingatkan keluarga sendiri untuk mendirikan solat.  Ciri-ciri asasi yang dijelaskan di atas bukanlah ’syarat sah’ untuk berdakwah, tetapi ianya adalah ideal yang perlu diusahakan oleh setiap orang Islam agar dapat berdakwah dengan yakin dan menyakinkan.

Seharusnya setiap orang Islam sentiasa berusaha untuk memperbaiki ilmu di dada demi meningkatkan keimanan terhadap Allah swt dan ilmu serta kecintaan itu wajib dikongsi dengan semua.

Semoga usaha kita sentiasa diberkati Allah swt.

BIBLIOGRAFI /SUMBER RUJUKAN

  • Al-Quranul Karim, terjemahan dan tafsiran dari pelbagai sumber
  • Imam al-Bukhari, Sahih al-Bukhari
  • Datuk  Hj.  Mohamad  Shahir  bin  Hj.  Abdullah,  Petikan  daripada  ‘Berdakwah Dalam Era Multimedia’
  • Ibnu Taimiyah, Majmu’ Fatawa, 15/157
  • Ustaz Rasyid al-A’zami, Petikan daripada Majalah ’al-Tarbiyah al-Islamiah’ Jilid 5, m.s. 471 dengan beberapa suntingan.
  • Fathi Yakan, Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan Pendakwah

 

Fiqh Awlawaiyyah Dalam Dakwah

Show Buttons
Hide Buttons