Maksud Integriti Dan Perlaksanaannya

integriti

Perkataan ‘integriti’ menjadi salah satu istilah yang paling kerap digunakan sebaik sahaja pengumuman oleh kerajaan bahawa beberapa kertas soalan UPSR 2014 didapati telah bocor dan calon-calon diarahkan mengambil semula kertas-kertas tersebut. Peristiwa yang amat mendukacitakan dan memalukan ini memberi impak yang amat berbeza kepada anak-anak kita yang masih di sekolah rendah ini.

Pada tahap umur ini, mereka seharusnya belajar tentang “usaha” dan “kesungguhan” akan membuahkan hasil yang membanggakan, namun kini mereka awal-awal lagi dikejutkan dengan realiti sebenar dunia yang penuh dengan tipu-helah dan penipuan.

upsr bocor
Gambar kredit: eng.mynewshub.cc

Ini secara tidak langsung mendedahkan mereka kepada maksud integriti dan para pendidik kini harus berusaha mengembalikan keyakinan anak-anak ini bahawa integriti wujud dalam masyarakat dan setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan juga.

Maksud Integriti

Menurut Kamus Dewan (Edisi Ke-4) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), integriti diberi maksud:

(intégriti) 1. kejujuran: mencemarkan nama baik dan ~ jabatan; 2. keadaan sempurna dan utuh, keutuhan; berintegriti mempunyai integriti (kejujuran, ketulusan dsb): pengarah yg ~ pasti akan mempertahankan nama baik mereka drpd sebarang bentuk penyelewengan.

Wikipedia pula menyatakan bahawa perkataan ini berasal dari istilah bahasa Inggeris yang membawa maksud:

“keutuhan dari semua segi yang baik”.

Maksud integriti dalam bahasa Inggeris, sebagaimana yang dinyatakan dalam Dictionary.Com pula adalah:

  1. adherence to moral and ethical principles; soundness of moral character; honesty.

  2. the state of being whole, entire, or undiminished: to preserve the integrity of the empire.

  3. a sound, unimpaired, or perfect condition: the integrity of a ship’s hull.

Walau apa pun pengertiannya, apa yang pasti, maksud integriti merujuk kepada sifat-sifat yang baik dan positif. Sifat-sifat baik ini merangkumi sifat-sifat seperti:

  • Amanah
  • Bertanggungjawab
  • Telus
  • Ikhlas
  • Berdedikasi
  • Keterbukaan.

Mereka yang mengamalkan sifat-sifat ini bolehlah disifatkan sebagai insan yang BERINTEGRITI dan wajar dihormati.

Ketiadaan sifat-sifat yang baik ini dalam individu dan masyarakat boleh menyebabkan wujudnya jenayah dan tingkah laku moral yang salah umpamanya:

  • rasuah
  • pecah amanah
  • mencuri
  • menindas
  • menipu
  • dan sebagainya
rasuah
Gambar kredit: www.suaragenerasibaru.com

Oleh itu, tidak salah jika kita katakan juga kebocoran dalam kertas soalan UPSR ini ada kaitan dengan kurangnya INTEGRITI di kalangan masyarakat kita amnya dan dikalangan penjawat awam khasnya.

Pecah Amanah Dan Rasuah

Amnya apabila kita membicarakan tentang soal integriti, kita akan lebih tertumpu pada kes-kes pecah amanah dan rasuah.

Harus diingat bahawa skop integriti adalah lebih luas. Amalan budaya kerja juga menuntut integriti. Integriti dalam ketepatan waktu, integriti dalam menyampaikan maklumat, integriti dalam memberi perkhidmatan terbaik, integriti dalam berhubung dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan juga kakitangan sokongan.

Namun kayu pengukur kejayaan penerapan budaya berintegrasi ini boleh dilihat dengan berkurangnya kes-kes rasuah dan pecah amanah.

SPRM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Atas sebab itulah kerajaan telah mewujudkan badan khas bagi memerangi masaalah ini dan badan tersebut adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kewujudan SPRM adalah selaras dengan hasrat masyarakat yang mahukan entiti pencegahan rasuah yang lebih bebas, telus dan profesional.

SPRM ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan semenjak ditubuhkan telah berjaya membuat pelbagai siasatan dan tangkapan bagi membendung gejala rasuah dan pecah amanah.

tangkapan sprm

Untuk tahun 2014 (setakat 11 September 2014) sahaja sebanyak 277 tangkapan dibuat oleh SPRM.

Kebanyakkan hasil tangkapan akan berakhir dengan tertuduh didakwa di mahkamah dibawah di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) atau akta-akta lain yang berkaitan.

Untuk memastikan SPRM berfungsi dengan berkesan, diwujudkan satu makanisme yang dipanggil sebagai ‘check and balance‘. Terdapat 5 entiti yang ditubuhkan dengan fungsi untuk memantau, menasihati serta memastikan fungsi dan tanggungjawab Suruhanjaya ini dilaksanakan dengan cekap, berkesan, bebas dan telus.

Lima entiti tersebut adalah:

  1. Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR)
  2. Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR)
  3. Jawatankuasa Aduan (JA)
  4. Panel Penilaian Operasi (PPO)
  5. Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR)

Keanggotaan bagi kelima-lima entiti bebas ini dipilih dari kalangan individu berintegriti yang cemerlang dalam perkhidmatan dan profesion masing-masing.

sprm pantau

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang ditubuhkan melalui Akta Parlimen: Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] yang diwartakan pada 3 September 2009. Akta 700 kemudian dikuatkuasakan pada 1 April 2011.

suruhanjaya integrasi

Fungsi utama Suruhanjaya ini adalah:

  • menerima aduan salah laku daripada orang ramai terhadap pegawai penguatkuasa atau agensi penguatkuasaan secara amnya; dan
  • menyiasat serta mengadakan pendengaran berhubung dengan aduan yang diterima.

Bidangkuasa suruhanjaya ini harus dibezakan dengan SPRM.

  • Sisatan SPRM adalah tertumpu pada kes-kes RASUAH dan PECAH AMANAH!
  • Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan pula menyiasat pengawai/agensi penguatkuasaan yang tidak menjalankan tugas dengan betul (bermakna ia boleh juga menyiasat pegawai SPRM yang gagal menjalankan tugas mereka).

Menurut seksyen 24(1) Akta 700, SALAH LAKU pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan bermaksud:

aduan salah laku

Contoh salah laku yang diadukan kepada Suruhanjaya:

  • Aduan pengadu tidak diambil dengan betul di mana pegawai yang menerima aduan pengadu gagal mencatatkan butiran yang diberikan oleh pengadu.
  • Siasatan yang mengambil masa yang terlalu lama dan pengadu tidak dimaklumkan mengenai status siasatan walaupun berkali-kali menghubungi Pegawai Penyiasat.
  • Pegawai penyiasat melengah-lengahkan siasatan.
  • Dan sebagainya.

Perlaksanaan Integriti Dalam Agensi/Jabatan Kerajaan

Harus diingatkan bahawa bagi membudayakan dan menerapkan integriti dalam masyarakat, tumpuan tidak harus diberikan pada SPRM, SIAP dan PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG sahaja.

Malah, penulis berpendapat penguatkuasaan seharusnya adalah JALAN TERAKHIR dalam membasmi masaalah ini. Ingat:

PREVENTION IS BETTER THAN CURE!

Oleh itu usaha-usaha PRA-penguatkuasaan perlu dilaksanakan dan pergiatkan bagi memastikan gejala seperti rasuah, tidak amanah dan tidak berintegriti dapat dibendung. Dengan itu, jentera pentadbiran negara akan menjadi lebih effisien dan rakyat akan menikmati faedah darinya.

Antara perkara-perkara yang boleh dilaksanakan dan telah pun dilaksanakan oleh kerajaan termasuklah:-

  • Membuat perancangan, polisi dan kajian mengenai masalah ini
  • Mendidik (educate) penjawat awam agar menjadi lebih berdisiplin dan berintegriti
  • Memantau (monitoring) penjawat awam menerusi agensi-agensi pemantauan dan penubuhan unit-unit integriti
  • Menerima aduan dan membuat sisatan dalaman
  • Mengambil tindakan segera dan melaporkan kesalahan pada agensi penguatkuasaan

Membuat perancangan, polisi dan kajian mengenai masaalah ini

Sebelum sesuatu tindakan hendak diambil, pelan tindakan hendaklah dibuat dahulu. Perancangan dan kajian awal perlu dibuat agar apabila diimplimentasikan, ia berjalan secara teratur dan berkesan.

Kerajaaan menerusi SPRM dan Institut Integriti Malaysia telah dari semasa ke semasa cuba memperbaiki budaya kerja, etika dan integriti pejawat awam.

Hasil kajian diedarkan untuk digunapakai di agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan dan penambaik dibuat dari semasa ke semasa.

Selain dari itu, jabatan-jabatan dan agensi kerajaan juga melakukan perancangan dan kajian di peringkat agensi/jabatan secara dalaman (internal) agar polisi atau pelan tindakan boleh disesuaikan dengan tempat kerja masing-masing.

Mendidik (educate) penjawat awam agar menjadi lebih berdisiplin dan berintegriti

Proses mendidik bukanlah suatu yang amat mudah. Lebih-lebih lagi terdapat ramai penjawat awam yang telah lama atau senior yang sukar untuk dilenturkan lagi. Namun, usaha-usaha ini perlu dilaksanakan dengan mengambil pendekatan terbaik dan sesuai dengan setiap agensi atau jabatan kerajaan terbabit. Antara cara-cara yang boleh dilaksanakan termasuklah:-

  • mengadakan kursus dan seminar
  • memberikan “reward” atau ganjaran bagi kakitangan yang mengamalkan integriti dan budaya kerja yang baik
  • meletakkan poster-poster yang memberi peringatan tentang isu ini di pejabat
  • memanggil dan memberi kaunseling kepada pegawai-pegawai atau kakitangan yang bermasaalah

Memantau (monitoring) penjawat awam menerusi agensi-agensi pemantauan dan penubuhan unit-unit integriti

Untuk memantau penjawat awam secara berkualiti dan lebih effisen, pemantauan sebaiknya dibuat di peringkat dalaman (internal). Oleh itu perlu wujud satu unit yang bebas dalam sesuatu jabatan/agensi kerajaan bagi menjalankan fungsi ini. Ia bertindak antara lain untuk memastikan:-

  • implementasikan budaya kerja yang baik dan “good governance” di tempat kerja
  • menyemai dan menerapkan konsep integriti dalam organisasi
  • memantau dan mengenal pasti  jika ada perlanggaran moral, etika mahupun budaya kerja yang tidak baik dalam jabatan/agensi
  • menerima aduan dan menyiasat aduan
  • memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan
  • mengambil tempat sebagai sekretariat dalam Lembaga Disiplin

unit integriti

Di bawah satu sekular yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri pada tahun 2009, semua agensi dan jabatan kerajaan hendaklah menubuhkan unit integriti masing-masing. Ia diketuai oleh seorang Pegawai Integriti Bertauliah yang dilatih oleh SPRM dan bebas dari pengaruh mana-mana unit lain dalam agensi/jabatan.

Menerima aduan dan membuat sisatan dalaman

Tugas ini akan dilakukan oleh unit integriti. Orang awam diberi akses dan kemudahan untuk berhubung dan membuat laporan dan identiti akan dirahsiakan.

Mengambil tindakan segera dan melaporkan kesalahan pada agensi penguatkuasaan

Mana-mana kesalahan yang serius dan jatuh pada agensi penguatkuasaan yang berkaitan hendaklah dilaporkan dan diambil tindakan sewajarnya. Sebarang kesalahan atau perlanggaran undang-undang/peraturan tidak boleh disembunyikan demi menjaga imej dan KPI agensi/jabatan. Oleh itu, unit integriti akan memainkan peranan penting agar hal sebegini dapat ditangani dan masaalah ini dapat diselesaikan dengan baik.

Kesimpulan

Penulis menyambut baik cita-cita dan hasrat kerajaan bagi menerapkan nilai-nilai murni di tempat kerja dan membasmi gejala rasuah dan pecah amanah. Budaya yang tidak sihat ini akan menyebabkan antara lain:

  • melemahkan kecekapan dan servis yang diberikan oleh jabatan/agensi kerajaan
  • mengurangkan keyakinan dan sokongan orang awam terhadap mereka
  • menambahkan kos dalam transaksi-transaksi awam sekaligus menambahkan kos kerajaan keseluruhannya

Oleh itu, usaha-usaha ini wajar disokong dan dijayakan dengan sebaik mungkin. Semua pihak (penjawat awam terutamanya) perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dalam meningkatkan integriti di tempat kerja masing-masing. Orang awam juga perlu membantu dengan tidak berkrompromi dalam isu ini dan membuat aduan pada pihak-pihak berkenaan. Jika ini semua dapat dijayakan dengan sempurna, nescaya produktiviti dan kualiti dapat ditingkatkan. Rakyat pun akan mendapat menafaat.  Insya-allah

 – Maksud Integriti Dan Perlaksanaannya

24 Comments

  1. Pecah amanah kerana godaan wang ringgit biasa terjadi. Tapi ianya boleh lagi diatasi aku rasa….jika ada semangat yg kuat dan sedar akan kesalahan tersebut. Yang susah nak elak adalah bila “arahan” datang dari orang atasan atau boss kita. Kerana ianya bukan sahaja libatkan wang ringgit tapi kesannya kepada sumber rezeki dan keluarga kita. Apa yang penting kita kena takutkan Allah lebih drp takut kpd manusia. Nauzubillah.

  2. sifat sesseorang itu sendiri…sama ada mempunyai sifat yang baik atau tidak baik.. barulah wujudnya integriti di dalam sesebuah jabatan.

  3. Betul kan bro..semoga mereka integriti anak-anak kita tidak dicemari dengan anasir sebegini…terima kasih kongsikan..barulah tahu maksud sebenar integriti..kalau tak, pandai sebut aje la..haha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Show Buttons
Hide Buttons