Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3)

Pentaksiran Tingkatan Tiga

Semenjak 1hb Julai yang lalu, pelajar-pelajar tingkatan tiga di sekolah-sekolah menengah di seluruh negara telah mula melalui Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan tahun ini. Pentaksiran ini akan berlanjutan secara berperingkat (ujian pelbagai elemen, lisan dan bertulis) sehinggalah 17hb Oktober nanti. Pelajar-pelajar tingkatan 2014 adalah kumpulan pertama yang melalui sistem baru yang menggantikan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

PT3 berjalan seiring dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah ditambahbaik dan berkuatkuasa pada 1 April 2014.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Kurikulum sekolah Malaysia adalah bermatlamat membangunkan anak-anak secara menyeluruh, merangkumi dimensi intelek, rohani, emosi,dan jasmani seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan. (Sumber: www.moe.gov.my).

Implementasi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) ini mula dijalankan tahun ini dengan menggabungkan PBS dengan PT3.

Pelan Pembangunan  Pendidikan Malaysia

Pentaksiran antarabangsa menunjukkan prestasi murid Malaysia semakin merosot. Dengan menggunakan dua kaedah pentaksiran antarabangsa yang utama seperti Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), hal ini telah dikenalpasti.

Keputusan PISA 2009+ misalnya,(penyertaan kali pertama Malaysia) adalah tidak memberangsangkan kerana kedudukan Malaysia terletak dalam kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta. Oleh itu, Pelan Pembangunan  Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 telah digubal dan dari situ lahirlah juga  Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

PISA

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

Pentaksiran Berasaskan Sekolah mengalihkan tugas penilaian pencapaian pelajar-pelajar dari pihak pusat (Kementerian) kepada pihak sekolah.

Ia juga mengambil kira pelbagai aspek yang dicapai oleh pelajar-pelajar dan tidak terhad kepada ujian peperikaan sahaja. Antara yang diambil kira termasuklah penglibatan pelajar dalam kelas, gerak kerja ko- kurikulum, termasuk juga aktiviti diperingkat kejiranan/kampung yang diiktiraf pihak sekolah sebagai menambak baik keperibadian pelajar.

Guru-guru di bawah PBS ini bertindak sebagai pentaksir dan pencatat markah yang dihitung sepanjang tahun dan pencapaian pelajar tidak akan lagi dilihat dalam tempoh masa dua minggu peperiksaan seperti dulu-dulu.

Sebaliknya apa-apa yang dicapai oleh pelajar sepanjang tahun akan diakreditasikan dan diverifikasikan di peringkat sekolah dan dipantau oleh Kementerian. Tahap pemahaman murid-murid dilabelkan dengan menggunakan band (1 hingga 6). Band 6 menunjukkan pelajar-pelajar telah menguasai sesuatu topik atau pelajaran itu dengan sempurna, manakala band 1 dilabelkan pada pelajar yang gagal memahami langsung topik atau pelajaran itu.

Matalamat Pentaksiran Berasaskan Sekolah

Amnya, matlamat yang hendak dicapai oleh kerajaan dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah adalah mengelakkan ibubapa dan masyarakat dari melihat pencapaian pelajar-pelajar dari sudut nombor dan pemarkahan sahaja.

Setiap pelajar mempunyai kelebihan, kecenderungan dan cita-cita sendiri yang patut dipupuk dari kecil lagi dan hasil yang ditunjukkan dari Pentaksiran Berasaskan Sekolah diharap mampu membuka mata ibubapa terutamanya dan melihat masa depan anak-anak mereka dari sudut yang positif dan luas serta tidak terhad pada akademik sahaja. Atas sebab itu, cabang-cabang dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini termasuk juga pentaksiran psikometrik dan PAJSK yang cuba meneliti minat pelajar-pelajar dalam sesuatu bidang dan potensinya di masa akan datang.

Ini semua terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 dan DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN.

aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Implementasi Pentaksiran Tingkatan Tiga

Implementasi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) ini mula dijalankan tahun ini dengan menggabungkan PBS dengan PT3. Pentaksiran Berasaskan Sekolah dijalankan seperti biasa di sekolah-sekolah pada pelajar-pelajar tingkatan tiga dan PT3 adalah pentaksiran rasmi secara keseluruhan terhadap pencapaian pelajar-pelajar. Keputusan pentaksiran akan diumumkan pada hujung tahun ini oleh pengetua-pengetua sekolah, tidak seperti PMR dan SRP yang keputusannya diumumkan oleh Kementerian.

Ujian-Ujian Di Bawah Pentaksiran Tingkatan Tiga

Tiga jenis ujian diterapkan dalam PT3 ini dan telah dimulakan sejak 1hb Julai yang lalu dan ianya adalah:-

  1. Ujian pelbagai elemen bagi matapelajaran Sejarah dan Geografi
  2. Ujian Lisan (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris)
  3. Ujian bertulis

Ujian Pelbagai Elemen

Ujian pelbagai elemen telah dijalankan dari 1hb Julai hingga 18hb Julai yang lalu yang mana pelajar-pelajar diberikan tugasan untuk mengumpul maklumat-maklumat dan membentangkannya pada guru-guru dikelas.

Maklumat atau data yang terkumpul tidak terhad pada yang ada dalam buku-buku rujukan, tetapi juga dari sumber-sumber yang lain.

Antaranya para  pelajar perlu menjejaki dan mengambil gambar elemen-elemen berkaitan mata pelajaran seperti sungai tercemar bagi mata pelajaran Geografi dan soal selidik bagi matapelajaran Sejarah.

Setelah maklumat dikumpul, ia akan digabungkan dan guru-guru akan menaksirkan kefahaman pelajar berdasarkan maklumat yang dikumpul dan jawapan yang diberi bagi soalan-soalan berkaitan.

sejarah PT3 contoh

Ujian Lisan

Menyusuri selepas Hari Raya Aidil Fitri nanti adalah ujian lisan. Ia akan dijalankan dari 6 hingga 29hb Ogos dan menguji pelajar-pelajar dengan dua kemahiran:-

  • Bertutur
  • Mendengar

Para pelajar akan diberikan topik untuk dibentangkan atau dibahaskan dalam kelas dan pencapaian mereka akan ditaksirkan oleh guru-guru dari sudut penggunaan bahasa, kelancaran dan isi yang disampaikan. Untuk ujian mendengar, para pelajar akan diberikan bahan audio untuk didengar dan berdasarkan audio tersebut, pelajar-pelajar akan cuba menterjemahkan apa yang didengar dalam jawapan-jawapan mereka pada soalan-soalan yang bakal diberi.

Ujian Bertulis

Akhir sekali, ujian bertulis akan diadakan dari 12 hingga 17hb Oktober bila mana para pelajar akan menduduki peperiksaan bertulis ‘ala‘ PMR dahulu.

Bezanya ialah jadual dan soalan-soalan yang dikeluarkan adalah berbeza di setiap sekolah. Yang penting bagi sekolah adalah menjalankan peperiksaan bertulis ini dalam tempoh yang ditetapkan di atas dan memuat turun soalan-soalan dari bank soalan pada masa dan tarikh yang ditetapkan oleh Majlis Peperiksaan.

Di masa akan datang, pihak sekolah juga akan diminta membuat proses ‘memasang soalan’ dengan memilih soalan-soalan dari bank soalan berjumlah 300% lebih dari soalan yang perlu diberikan pada pelajar. Formulanya adalah 20% soalan tahap rendah – 30% soalan tahap sederhana dan 50% soalan tahap tinggi.

contoh soalan PT3

soalan matematik

Pentaksiran Tingkatan Tiga Oleh Guru

Semua Pentaksiran Tingkatan Tiga ini akan dilakukan oleh guru-guru yang mengajar pelajar sendiri. Namun, kawalan kualiti (Penjaminan Kualiti) juga dilakukan menerusi kumpulan mata pelajaran tertentu, guru besar dan pihak kementerian sendiri bagi memastikan tidak wujud sikap pilih kasih atau diskriminasi terhadap murid-murid tertentu. Keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga dijangka akan diumumkan pada 15hb November nanti.

penjaminan kualiti

Aspirasi PT3

Pentaksiran Tingkatan Tiga atau PT3 sebagaimana yang diterangkan di atas cuba mengalih perhatian ibubapa dan murid- murid dari bersikap ‘exam-oriented‘ dan mementingkan gred dan markah sahaja. Ia juga cuba memberikan perhatian menyeluruh kepada semua pelajar dan ini termasuklah pelajar-pelajar yang lemah akademik dan di masa akan datang diharap akan diadakan program bagi mencorakkan masa depan pelajar-pelajar sebegini.

Harus diingat PT3 dan PMR sebelum ini cumalah PENYATA TAKSIRAN  dan BUKANNYA SIJIL! Oleh itu, ibubapa harus memahami nilainya dan tidak terlalu menitikberatkan pencapaian atas kertas sahaja.

Sahsiah, minat dan kecenderungan pelajar-pelajar perlu juga dinilai bagi melahirkan generasi yang lebih dinamik dan berdaya saing.

Selepas PT3, PBS tidak akan dilaksanakan secara menyeluruh bagi pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima. Ia cuma dimasukkan sebagai sebahagian dari elemen-elemen pembelajaran tingkatan empat dan lima di mana yang sesuai. Ini kerana SPM atau Sijil Pelajaran Malaysia adalah SIJIL dan ia diiktiraf di seluruh dunia. Maka, ia tidak boleh diubah kerana akan menjejaskan status sijil tersebut. Namun, apa yang kita harap PT3 dan PBS yang dijalankan di peringkat menengah rendah akan memainkan peranan dalam membentuk jati diri yang baik di kalangan anak-anak kita dan memberikan kesan positif di masa hadapan, Insya-Allah…

Nota: Apa yang ditulis di atas adalah berdasarkan pemahaman penulis sahaja. Sebarang kesilapan adalah tidak disengajakan. Anda semua digalakkan merujuk kepada Pejabat Pendidikan berdekatan untuk maklumat lanjut.

Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3)

21 Comments

  1. apa yg saya paham PT3 sebenarnya nak cari pelajar yg paling layak masuk sekolah asrama penuh ….itu yg paling jelas …kalau dah di peringkat UPSR dah pilih mana yg dpt 5A msuk asrama penuh jadi utk apa buat lagi pemilihan waktu tingkatan 3 ????… kata SBP tak banyak kat Msia nih jadi rmai yg dpt 5A tak dpt SBP …. tengoklah menteri pelajaran yg baru akan ubah lagi sistem pendidikan munkin skolah asrama penuh tu plakkk di tukar jadi IPTA plakkk sbab IPTA tak cukup kat Msia nih …. jadi smpai bila Msia nih asyik tukar sistem pendidikan …

    1. Hmmm.. saya tidak pasti pula bab mencari pelajar paling layak ke SBP dgn menggunakan PT3.
      Terima kasih atas maklumat. Mungkin jika berkesempatan, saya akan ajukan hal ini dgn pegawai KPM.

  2. ada macam aspek buat bagi memastikan pelajar capai tahap yang terbaik harap benda akan berjalan dan akan bertahan lebih lama.kalau saban tahun tak sampai 9 tahun asyik rombak itu ini tak kesudahannya akan ada pelajar tetekan atau tak terkejar uh,,wahualam

    1. pt3 merupakan pentaksiran sumatif iaitu mengukur penguasaan intelek pelajar secara menyeluruh diperingkat men rendah..pelajar2 juga menjawab soalan secara subjektif…no more A B C D..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Show Buttons
Hide Buttons