Social Enterprise Dan Murid-Murid Kelainan Upaya

Children with Learning Disabilities

Murid-Murid Kelainan Upaya

Sebagaimana ibubapa lain yang mempunyai anak kelainan upaya (OKU), masa depan anak-anak menjadi sesuatu yang sentiasa bermain di fikiran saya. Kelas pendidikan khas untuk pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran (Children with Learning Disabilities) hanyalah bersifat sementara. Lambat-laun anak-anak ini bakal meninggalkan alam persekolahan dan jika tiada pelan jangka panjang disediakan, maka mereka akan terbiar tanpa mampu berbuat apa-apa serta terus bergantung kepada ibubapa untuk menongkah arus hidup sehinggalah kedua-dua ibubapa tidak mampu menyara mereka lagi.

Oleh itu, pelbagai persediaan perlu dibuat agar mereka dapat berdikari ataupun mempunyai tempat untuk terus bergantung biarpun tanpa ibubapa lagi.

Atas kesedaran itulah, lahirnya pelbagai persatuan yang didokongi oleh ibubapa sendiri bagi menyediakan platform bagi pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran ini bagi menghadapi cabaran hidup selepas tamat sekolah. Harus diingat bahawa pelajar-pelajar bermasaalah pembelajaran ini perlu dibezakan dengan kanak-kanak ‘down syndrome’ yang mempunyai masalahlebih berat lagi. Tuhan sahaja yang faham lubuk hati ibubapa anak-anak sebegini dan doa saya ibubapa anak-anak ‘down syndrome’ agar sentiasa tabah dan cekal hati membesarkan anak-anak mereka.

Manakala, anak-anak bermasalah pembelajaran biasanya merujuk kepada mereka yang sukar mengikuti pembelajaran biasa atau arus perdana (mainstream) dan terdiri dari anak-anak yang mempunyai masalah lain seperti autisme, disleksia, lembam, epilepsi dan sebagainya. Mereka ini masih boleh dibantu dan dipertingkatkan kemahiran mereka untuk terlibat dalam pelbagai industri yang sesuai dengan mereka. Umpamanya: hospitaliti, permakanan dan pertukangan.

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran
Rujukan: www.ppkismkkl.blogspot.com

Program Transisi

Menerusi ‘Program Transisi‘ Pendidikan Khas di peringkat sekolah, pelajar-pelajar di bahagian pendidikan khas dilatih mengikut program yang membolehkan mereka menyesuaikan diri dalam masyarakat dan mengambil tempat dalam aktiviti ekonomi dalam negara sebagai pekerja terlatih. Antara program yang telah dilancarkan termasuklah latihan industri di mana-mana syarikat yang berminat untuk membantu anak-anak kelainan upaya ini. Pelajar-pelajar akan didedahkan dengan latihan amali dan ada diantara mereka yang akhirnya diambil bekerja di syarikat-syarikat ini selepas tamat belajar nanti.

Latihan industri ini biasanya tidak lama dan bergantung kepada memorandum persefahaman antara sekolah terbabit dengan syarikat-syarikat yang terlibat. Diperingkat sekolah pula, terdapat juga aktiviti yang lebih kurang serupa bagi mendidik anak-anak ini agar lebih bersedia untuk menghadapi hidup selepas tamat alam persekolahan. Bagi mereka yang berminat, anda boleh melihat ‘Program Transisi Pendidikan Khas‘ yang dilaksanakan di  Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Penggawa Barat, Pontian, Johor. Sayangnya, laman web mereka sudah lama tidak di kemaskini bagi kita melihat perkembangan terbaru program mereka di sana.

Di Sabah juga, ada beberapa program transisi pendidikan Khas yang dijalankan. Ini termasuklah latihan industri usahasama antara SMK Kolombong dengan Kumpulan BTC. Di peringkat sekolah pula, pelajar-pelajar didedahkan dengan kemahiran hidup yang mudah seperti mencuci kereta, bertani, membuat kraftangan dan lain-lain lagi. Ini diharapkan dapat melahirkan murid keperluan khas yang mempunyai pelbagai kemahiran dan pengalaman sehingga mampu berdikari dan berjaya dalam hidup.

Social Enterprise

Walaupun wujud program transisi pendidikan Khas ini , namun setiap tahun masih terdapat ramai pelajar berkeperluan khas yang meninggalkan alam persekolahan dan memasuki alam kedewasaan tanpa mempunyai kerjaya mahupun kemahiran yang mencukupi. Oleh itu mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran hidup. Walaupun mereka dikatakan dewasa mereka masih perlu bergantung hidup kepada keluarga kerana menghadapi kesukaran untuk mengadaptasikan diri ke dalam masyarakat dan alam pekerjaan. Lantaran dari itu, persatuan-persatuan ibubapa dan guru telah mengambil inisiatif yang lebih lagi bagi membantu anak-anak ini. Persatuan-persatuan ibu bapa atau parents support group telah ditubuhkan bagi mewujudkan entiti perniagaan sosial atau dikenali sebagai ‘social enterprise’.

Apakah itu ‘Social Enterprise’?

Ada banyak definasi yang diberikan kepada ‘Social Enterprise’. Akan tetapi yang terbaik mengikut pemahaman saya mengenai maksud perkataan ini adalah dari definasi yang diberikan oleh NESsT.Org iaitu:

A social enterprise is a business created to further a social purpose in a financially sustainable way

Amnya sebuah entiti yang beroperasi sebagai ‘Social Enterprise’ adalah sebuah entiti perniagaan, namun ia bukanlah ditubuhkan bagi tujuan perniagaan yang biasa iaitu “untung” atau ‘profit’. Dalam masa yang sama ia juga bukanlah non-profit organisation kerana ia perlu ditadbir kewangan secara positif agar ‘subjek matter’ mereka (dalam hal ini: anak-anak kelainan upaya) dapat menikmati hasil dari penubuhan entiti ini. Oleh itu, ia agak kompleks kerana ia perlu ditadbir oleh bukan usahawan bagi mengelakkan kepentingan entiti lebih dari subjeknya. Pada masa yang sama, pentadbirnya juga perlu ada kemahiran dalam perniagaan dan pemasaran agar entiti ini mampu berfungsi dengan jayanya tanpa sebarang masaalah terutamanya dari segi kewangan.

Di Malaysia, ‘Social Enterprise’ ini ditubuhkan menerusi persatuan yang didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) ataupun menerusi pembentukan satu ‘Yayasan’ (Foundation). Untuk anak-anak kelainan upaya, entiti ini akan menyediakan tempat perlindungan ‘shelter home’ (bukan semua) untuk mereka tinggal dan melatih kemahiran mereka agar mampu memasuki alam pekerjaan. Entiti ini juga turut berniaga dan bagi yang ditubuhkan sebagai satu yayasan boleh menerima sumbangan dari insan-insan atau badan-badan yang perihatin. Anak-anak kelainan upaya ini juga boleh dilatih untuk menghasilkan karya-karya seni yang menarik, barangan kraftangan, makanan dan lain-lain lagi. Entiti ‘Social Enterprise’ ini akan membantu memasarkan hasil kerja mereka bagi wang agar ia terus dapat berfungsi.

Antara contoh entiti sebegini yang berjaya di Malaysia dan menjadi inspirasi buat kami semua adalah yang dilaksanakan oleh Association of Learning Disabilities, District Petaling, Selangor ataupun GOLD. Ia ditubuhkan sebagai pertubuhan tidak berdaftar di Sekolah SMK Bandar Sunway pada tahun 2000 dan hari ini merupakan satu entiti yang berjaya membantu ramai anak-anak kelainan upaya setelah tamat sekolah. Ini semua berkat kesungguhan dan ketabahan ibubapa dan guru-guru di sana. Special mention buat Pn Juairiah Hj Johari yang berkerja keras bagi menjayakan GOLD dan membuka minda ramai ibubapa akan kepentingan program transisi dan  ‘Social Enterprise’ ini. Semoga kita dapat berjumpa lagi nanti puan. 😀

 

Social Enterprise
Kredit: Association of Learning Disabilities, District Petaling, Selangor (GOLD)

perkobp

Selain dari itu, Pertubuhan Keluarga Orang-Orang Bermasalah Pembelajaran (PERKOBP) adalah satu lagi entiti penting dalam membantu anak-anak kelainan upaya bila tamat belajar nanti. Pertubuhan yang didaftarkan dengan ROS pada tahun 1993 telah menjalankan banyak program serta aktiviti bagi anak-anak ini. Ini termasuklah latihan berkerja, sheltered workshop, latihan dobi, latihan bakeri, ladang organik dan banyak lagi.

Saya harap rencana ini dapat membuka minda ramai pembaca terutama yang sedar akan ramainya insan yang kurang bernasib baik dan menghadapi masalah sebegini. Di tempat kerja, mereka ini boleh didiskriminasikan atau disalahgunakan bagi tujuan peribadi oleh insan-insan tidak berperikemanusiaan. Oleh itu, perlindungan sebegini dapat membantu mereka menyesuaikan diri dengan masyarakat dan dapat berdikari seperti insan yang lain juga. Ibu bapa anak-anak kelainan upaya juga usah risau tentang adanya entiti sebegini (selagi ia tidak dikorupkan bagi tujuan lain) dan patut sama-sama berusaha mewujudkan entiti yang serupa di tempat mereka. Insyallah, masa depan yang lebih baik menanti anak-anak kita.

Social Enterprise Dan Murid-Murid Kelainan Upaya

26 Comments

  1. tTerima kasih,artikel yang baik sebagai penambahan maklumat..tuan puan boleh ke Bengkel Daya Klang (central workshop) yang memberi peluang pekerjaan kpd OKU yang tidak berdaya saing..menjalankan konsep Social Enterprise…

    1. Terima kasih kembali Hero,

      Anda boleh e-mail saya dengan maklumat lanjut tentang Bengkel Daya Klang berserta gambar sekali dan saya boleh terbitkan di blog ini agar lebih ramai lagi yang tahu akan bengkel tersebut.

  2. Program2 sebegini insyaAllah mudah-mudahan mampu menyediakan anak2 istimewa ini menjadi lebih berdikari dan cemerlang..ameen

    sungguh…ambe ada juga kawan yg anaknya SD..tabah sunggoh si abahnya melayan anak dia ni…Allahuakbar!

  3. Program Early Intervention sebelum kanak-kanak istimewa masuk ke alam persekolahan juga sangat penting seperti yang telah dilalui oleh anak sulong kami yang digolongkan dalam autisme. Dengan program seperti ini walaupun mereka mempunyai masalah pembelajaran atau sedikir lewat/late bloomer untuk menangkap study skill atau development/behavior lain, InsyaAllah mereka boleh catch up dan bersedia bila dah mula masuk alam persekolahan seperti kanak-kanak lain.

    1. some boleh catch up dan even masuk IPT. Ada yg jadi execellent dlm bidang mereka.
      Tapi ramai yg struggle after school. Oleh itu program transisi dan social enterprise amat penting bagi jaminan hidup mereka

  4. kalau ADIK dier cukup bersimpati dgn anak2 OKU ni, tapi dier sebut anak2 istimewa sebab sesungguh mereka ni memang istimewa kata Adik ! Kalau cerita pasal anak2 istimewa ni pasti bergenang air mata Adik walau dier baru berusia 8 tahun, apalg kita yng dewasa ni kan.. tq berkongsi info sebegini yer.. sokong & lihat apa yg mampu kita lakukan buat mereka !

    1. Memang sayu bila lihat keadaan mereka. Itu yg buat saya selalu wonder apa akan jadi pada mereka bila dewasa nanti especially kalau tiada waris yg menjaga. Tapi mereka ni memang terlalu istimewa. Harap dapat baca juga artikel lama saya: Terlalu Istimewa dan dalam blog ini: More Than Teachers And Educators.

  5. terasa keinsafan kalau melihat OKU melakukan aktiviti. Biasanya mereka tak menjadikan kekurang yang ada sebagai kekurangan diri. lebih semangat dan lebih kental jiwa dari orang yang bukan OKU.

    Bagus pertubuhan ni. Tapi mungkin ramai orang tak tahu kewujudannya.

    1. Harap lebih banyak entiti sebegini diwujudkan. Kalau boleh bila saya mampu nanti, saya pun akan cuba buat perkara yg sama di sini.

  6. jika kanak-kanak di pendidikan khas, adakah dikategorikan sebagai OKU? terima kasih atas maklumat ini. memang ada yang tak tahu dan terfikir habis sekolah nanti, OKU ni akan meneruskan pengajian di mana pula.

  7. Tahniah bro..artikel yang baik..sebelum ni saya tak tahu adanya kewujudan entiti yang membantu golongan OKU seperti ini..harapnya entiti-entiti ini akan dapat diuruskan dengan baik demi menjamin masa depan golongan OKU..

    1. Kalau boleh dapat diperbanyakkan entiti sebegini. Cuma saya faham bukan senang mengelolakan plus bila ianya utk tujuan sosial agak susah nak dapatkan volunteer.

  8. saya agak keliru juga dengan istilah OKU pada mulanya..ada yang guna orang kurang upaya dan terbaru orang kelainan upaya..kalau dulu guna orang istimewa.

  9. Satu usaha yang baik membantu golongan OKU ini. Sangat sokong tetapi macam bro tulis perlu ada urus tadbir yang baik supaya tidak berlaku unsur penganiayaan atau eksploitasi.

    1. Biasanya kalau operasinya gitu-gitu x de siapa minat tetapi bila dah berjaya dan duit berketul-ketul, masa tu lah kdg2 masaalah boleh timbul. 😀

  10. kena bagi sokongan.. apepun banyakkan bagi dia buat sesuatu yang lebih kepada kerja2 melibatkan kraf tangan ke..

  11. Baca post ni teringat saya pada lawatan ke rumah Sayang di Seksyen 7 Shah Alam minggu lepas.

    Baru saya tahu, ada beza antara orang kurang upaya dengan kelainan upaya

    Masyarakat seperti saya sebenarnya banyak yang tak berapa tahu tentang cara kehidupan mereka. Wallahua’lam

    1. Actually tak ada beza. Dahulunya OKU ialah orang kurang upaya. Tapi skrg instilah baru yg digunakan adalah orang kelainan upaya.
      Cuma yg berbeza ialah jenis kelainan upaya mereka. Mereka yg dalam kategori ‘learning disabilities’ atau masaalah pembelajaran jika di asuh ikut program yg sesuai boleh berdikari dgn sendiri dan mix dalam masyarakat.

  12. banyak info yang baru tahu. semoga OKU dapat pembelaan, bimbingan dan tempat kerja sewajarnya selepas tamat sekolah.
    thank for sharing.

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons