Please disable Ad Blocker before you can visit the website !!!

Cuti Paterniti Untuk Pekerja Asing

by Ismail N   ·  3 weeks ago   ·  
thumbnail

Antara pindaan menarik terhadap Akta Kerja 1955 adalah pada para 23. Akta Pindaan, iaitu pindaan yang memasukkan Seskyen 60FA ke Akta Ibu (Akta Kerja 1955). Ia berbunyi:

60FA EA

Faedah Paterniti

Seksyen 60FA (1) memberikan pekerja faedah paterniti selama 7 hari berturut-turut. “Employee SHALL be entitled…” bermakna majikan tidak boleh tolak permohonan cuti ini. Ini menjadi HAK pekerja.

Cuti ini pula adalah cuti BERGAJI (“…. paid paternity leave at his ordinary rate of pay….“) selama tujuh (7) hari bagi setiap anak. Di bawah 60FA (2) pula, cuti ini boleh diambil sebanyak sehingga lima (5) kali, tidak kira berapa isteri yang pekerja lelaki itu ada.

Syarat-Syarat Cuti Paterniti

Sekarang kita lihat pula Seksyen 60FA(3) pula. Ini paling penting untuk artikel kita kali ini. Ia menetapkan syarat-syarat yang mana cuti ini boleh dipohon.

1 paternity conditionDua (2) syarat ditetapkan di bawah seksyen ini iaitu, pertamanya pekerja hendaklah telah berkerja dengan majikan yang sama sekurang-kurangnya 12 bulan  sebelum memulakan cuti paterniti.

Syarat kedua pula ialah berkenaan notis cuti. Pekerja hendaklah memaklumkan kepada majikan yang isterinya mengandung sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh bayi dijangka lahir.

Persoalan

Bagaimana jika suami dan isteri tinggal berjauhan? Katakan, suami berkerja di Kuala Lumpur dan isteri di Sabah? Bolehkah suami mendapat cuti paterniti ini?

Kalau mengikut syarat-syarat yang dinyatakan, tiada keperluan untuk suami bersama isteri untuk layak mendapat cuti ini. Majikan tidak boleh meminta tiket kapal terbang suami untuk mengesahkan suami bercuti untuk menjaga isteri di Sabah kerana tiada syarat sedemikian ditetapkan oleh Akta.

Pekerja Asing

Sekarang kita lebarkan sedikit skop Seksyen ini. Bagaimana dengan pekerja asing di Malaysia yang mempunyai isteri di Indonesia? Layakkah mereka mendapat cuti ini?

Di bawah Akta Kerja, pekerja asing adalah dilindungi juga, dan oleh itu berhak kepada faedah seksyen ini. Rujuk artikel Pindaan kepada Akta Kerja 1955. Yang penting mereka dibawa masuk secara sah (mempunyai dokumen perjalanan dan pas kerja dari Jabatan Immigresen).

Oleh itu, apabila pekerja asing memohon cuti paterniti ini, majikan tidak boleh menolak permohonan mereka asalkan syarat-syarat di bawah Seksyen Seksyen 60FA(3) dipenuhi.

Perlukah si isteri berada di Malaysia semasa cuti paterniti dipohon? Berdasarkan peruntukan yang sedia ada, nampaknya ia bukan satu keperluan.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.