Please disable Ad Blocker before you can visit the website !!!

Pindaan kepada Akta Kerja 1955

by Zurainny Ismail   ·  4 weeks ago   ·  
thumbnail

Sebagaimana yang telah diumumkan dan diwartakan, Akta Kerja 1955 telah pun dipinda dan pindaan tersebut berkuatkuasa pada 1 Januari 2023. Pindaan kepada Akta Kerja 1955 ini hanya terpakai kepada para pekerja di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Para pekerja di Sabah dan Sarawak perlu menunggu sehingga pindaan dibuat terhadap Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak.

Di sini kami senaraikan sebahagian kesan akibat pindaan tersebut yang mesti diambil perhatian oleh para pekerja yang berkaitan.

Jadual Pindaan Akta 1955

Pemakaian Akta Kerja 1955 Sebelum Pindaan

Siapakah yang akan menikmati faedah akibat pindaan-pindaan tersebut?

Sebelum Pindaan A1651, Akta Kerja 1955 hanya terpakai kepada:

(1) Pekerja yang bergaji RM2,000 dan ke bawah; atau

(2) Jika gaji melebihi RM2,000, dia hendaklah pekerja yang:

  • berkerja secara ‘manual iaitu kerja yang sepenuhnya atau lebih banyak menggunakan tenaga/kekuatan atau tangan, dan kurang melibatkan aktiviti menganalisa atau berfikir;
  • bekerja menggunakan jentera mekanikal;
  • menyelia pekerja manual;
  • bekerja di atas kapal yang berdaftar di Malaysia; atau
  • pekerja domestik.

Selepas Pindaan kepada Akta Kerja 1955

Selepas 1 Januari 2023, melalui pindaan kepada Jadual Pertama Akta Kerja, Akta Kerja 1955 terpakai kepada:

  1. Sesiapa yang telah memasuki kontrak kerja (“contract of service”)

Ini bermaksud, Akta Kerja terpakai kepada SEMUA PEKERJA di Semenanjung Malaysia dan W.P. Labuan, tanpa mengira gaji.

WALAU BAGAIMANAPUN, bagi pekerja yang:

  1. menerima upah melebihi RM4,000; dan
  2. bukan pekerja yang berkerja secara ‘manual’*, bekerja di atas kapal yang didaftarkan di Malaysia atau pekerja domestik;

(*Sila baca artikel kami mengenai “Pekerja Manual” untuk maklumat lanjut)

mereka dikecualikan dari menikmati faedah-faedah berikut:

  • Bayaran bagi kerja pada hari cuti rehat;
  • Bayaran lebih masa bagi kerja melebihi waktu kerja biasa;
  • Apa-apa peraturan yang boleh dibuat oleh Menteri berkaitan dengan kelayakan elaun semasa kerja shif;
  • Bayaran bagi kerja yang dilakukan pada cuti umum;
  • Jika cuti umum jatuh pada setengah hari kerja, kiraan ORP hendaklah pada kadar gaji penuh; dan
  • Peraturan Penamatan Kerja dan Pemberhentian Sementara

Jadual Faedah pekerja Akta Kerja Pindaan 2022

Takrif “Upah

Apakah takrif “Upah” menurut Akta Kerja? Adakah bonus, komisyen, dan sebagainya, dikira sebagai “Upah”?

Takrif “Upah” untuk tujuan di atas adalah seperti yang dinyatakan dalam S.2 Akta Kerja tetapi tidak termasuk bayaran komisyen, elaun sara diri dan bayaran lebih masa (commission, subsistence allowance and overtime payment).

Untuk penerangan yang lebih terperinci mengenai takrif “Upah” sila rujuk artikel kami.

cuti sakit

Di dalam artikel kami ‘Cuti Sakit Berbayar‘ ada disebutkan mengenai proviso Seksyen 60F(1) yang mana jika terdapat hospitalisasi (pekerja dimasukkan ke dalam hospital bagi menerima rawatan), maka jumlah cuti sakit berbayar (termasuk hospitalisasi) terhad kepada 60 hari pada satu tahun kalendar.

Namun, di bawah peruntukan baru (Pindaan 2022), setiap pekerja akan berhak kepada cuti sakit 14 hari (18 hari atau 22 hari, bergantung kepada tempoh berkhidmat) dan cuti hospitalisasi 60 hari. Kiraan cuti hospitalisasi selepas pindaan berkuatkuasa tidak lagi termasuk cuti sakit.

Ertinya, jika pekerja telah mendapat 14 hari cuti sakit, beliau masih layak untuk mendapat 60 hari cuti hospitalisasi.

Cuti bersalin 2023

Cuti bersalin telah ditambah dari 60 hari kepada 98 hari.

Bagi pekerja wanita yang layak kepada cuti bersalin (sama ada layak mendapat elaun bersalin atau tidak) tetapi ingin kembali bekerja sebelum tamat tempoh cuti bersalin tersebut, boleh berbuat demikian sekiranya:

  1. mendapat persetujuan majikan; dan
  2. disahkan cukup sihat untuk bekerja oleh pegawai perubatan berdaftar

Menurut S.41A, adalah merupakan suatu kesalahan bagi majikan yang menamatkan perkhidmatan atau memberikan notis penamatan perkhidmatan kepada pekerja wanita yang sedang hamil atau yang sedang mengalami keuzuran diakibatkan oleh kehamilan tersebut, kecuali atas sebab:

  • pelanggaran syarat perkhidmatan di bawah S.13(2);
  • salah laku di bawah S.14(1); atau
  • pentupan perniagaan majikan.

Beban pembuktian terletak pada majikan.

Perlindungan untuk pekerja wanita kini termasuk semasa sedang hamil.

Cuti bersalin 2023

Cuti Paterniti adalah satu faedah baru yang dimasukkan dalam Akta Kerja. Ia tidak terdapat di dalam mana-mana versi Akta Kerja mahupun Ordinan Buruh yang terdahulu. Ia dimasukkan menerusi satu peruntukan baru iaitu Seksyen 60FA yang memberikan cuti paterniti bergaji selama 7 hari berturut-turut dari tarikh kelahiran bayi kepada pekerja lelaki yang telah berkahwin bagi setiap anak yang baru dilahirkan.

Seksyen 60FA (2) menetapkan cuti 7 hari ini sehingga maksima 5 orang anak sahaja, tanpa mengira jumlah isteri pekerja tersebut.

Syarat-syarat lain untuk menikmati faedah ini adalah:-

  • Pekerja lelaki itu telah pun berkerja selama 12 bulan berturut-turut dengan majikan yang sama sebelum memulakan cuti paterniti; dan
  • telah memaklumkan kepada majikan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh jangkaan kelahiran bayi.

Cuti bersalin 2023

Di dalam artikel kami ‘Masa Kerja dan Kerja Lebih Masa‘ ada kami nyatakan yang tempoh masa kerja buat seseorang pekerja dalam seminggu adalah tidak melebihi 48 jam – Seksyen 60A(1) Akta Kerja 1955. Apa-apa kerja yang dilakukan (atas arahan majikan) selepas tempoh ini, hendaklah dibayar mengikut kadar yang ditetapkan yang lebih tinggi dari kadar biasa).

Di bawah Akta Kerja (Pindaan) 2022 [Akta A1651], peruntukan tersebut telah dipinda dengan had maksima kerja 48 jam diturunkan kepada 45 jam sahaja seminggu.

Menurut mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, pindaan itu bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) (Sumber: Harian Metro).

Peruntukkan ini adalah terpakai untuk semua pekerja biarpun tidak semua pekerja layak kepada bayaran kerja lebih masa (OT rates) seperti yang disebut di atas (rujuk kecualian di atas).

aturan kerja flexibel

Satu lagi peruntukan baru yang tidak terdapat dalam versi Akta Kerja terdahulu adalah Aturan Kerja Fleksibel (AKF). Peruntukan ini dimasukkan menerusi Bahagian XIIb yang mengandungi seksyen baru iaitu Seksyen 60P dan 60Q.

Menerusi peruntukan baru ini, pekerja boleh mengemukakan surat permohonan kepada majikan sama ada untuk memohon perubahan waktu bekerja, hari bekerja atau tempat kerja (contohnya bekerja dari rumah). Majikan pula perlu memberi jawapan bertulis dalam tempoh 60 hari dari tempoh permohonan. Dalam surat jawapan bertulis tersebut, majikan perlu nyatakan sama ada menerima permohonan atau menolak permohonan (bersama dengan alasan penolakan).

Berlainan dengan peruntukan lain, Seksyen 60P dan 60Q tidak mengikat majikan untuk melaksanakan AKF. Tiada kesan yang disebut dalam Seksyen tersebut jika permohonan pekerja ditolak asalkan majikan memberi jawapan bertulis untuk menolak permohonan pekerja. Ini diakui oleh mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, yang dipetik dari Akhbar Berita Harian sebagai menyatakan “keputusan kerajaan dalam AKF tidak ‘mengikat’ majikan dan ia bergantung kepada kesesuaian agensi serta syarikat masing-masing“.

aduan diskriminasi

Di bawah Akta Kerja (Pindaan) 2022 ini juga telah dimasukkan peruntukan berkenaan aduan mengenai diskriminasi. Seksyen baru, (69F) memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja untuk menyiasat dan menyelesaikan pertikaian antara pekerja dan majikan dalam soal diskriminasi di tempat kerja.

Amnya, pekerja hanya perlu membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja dan menampilkan bukti-bukti bagi menyokong tuntutannya. Jika pekerja berjaya dalam tuntutan, Ketua Pengarah boeh membuat arahan kepada majikan untuk melaksanakannya. Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan majikan boleh didenda RM50,000.

Untuk rekod, perkataan ‘diskriminasi‘ tidak ditakrifkan dalam Akta Kerja. Oleh itu, kami berpendapat adalah terpulang kepada Ketua Pengarah untuk menentukan sama ada aduan adalah selaras dengan peruntukan Akta ini.

Larangan Buruh Paksa

Di bawah Seksyen 90B (satu lagi seksyen baru), mana-mana majikan yang melakukan kesalahan ini boleh didenda RM100,000 atau dipenjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya.

Buruh Paksa didefinisikan di bawah Akta baru ini sebagai “Any employer who threatens, deceives or forces an employee to do any activity, service or work and prevents that employee from proceeding beyond the place or area where such activity, service or work is done“.

Kata kunci di sini ialah mengugut, menipu atau memaksa pekerja melakukan aktiviti tertentu dan menghalang pekerja meninggalkan tempat aktiviti itu dilakukan.

Pekerja asing

Seksyen 60K Akta Kerja telah dipinda oleh Akta (Pindaan) 2022 dengan memberikan kuasa tambahan kepada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja dalam soal penggajian pekerja asing. 60k(1) menyatakan majikan tidak boleh menggajikan pekerja asing tanpa kelulusan terdahulu Ketua Pengarah.

Asasnya, seksyen ini bertindak sebagai saringan awal yang efektif kepada majikan. Ia bagi memastikan majikan-majikan yang bakal mengambil pekerja asing di negara ini mempunyai rekod yang bersih dari aspek kepatuhan kepada standard-standard perburuhan [Sumber: Malaysia Gazette].

Untuk itu, Pusat Sehenti (OSC) dan Sistem Satu Saluran (OCS) diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia. Namun baru-baru ini, OSC dilaporkan telah diletakkan kembali di bawah Kementerian Dalam Negeri. Oleh itu, kami kurang pasti mekanisma yang digunakan sekarang (setakat 28hb Disember 2022).

Gangguan Seksual

Seksyen 81H adalah berkenaan notis mengenai gangguan seksual. Ia adalah satu seksyen yang ringkas yang mewajibkan majikan untuk mempamerkan notis mengenai gangguan seksual ditempat kerja untuk meningkatkan kesedaran tentang gangguan seksual. Perincian notis dan jenis media bagi menyebarkan notis ini tidak dinyatakan. Mungkin satu sekular ringkas di papan notis adalah memadai bagi majikan.

Untuk makluman, Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) telah diwartakan pada 18hb Oktober 2022 yang lalu dan dikuatkuasakan secara berperingkat.

upah tunai dan cek

Dalam artikel Upah Dan Gaji, ada dinyatakan upah (gaji) pekerja hendaklah dibayar ke dalam akaun bank pekerja [Sekesyen 25(1)]. Seksyen 25A membenarkan gaji dibayar secara tunai atau cek tertakluk kepada permintaan bertulis pekerja. Ini penting buat pekerja yang tidak mempunyai akaun bank (bankrupt atau pekerja asing).

Di bawah peruntukan lama, kelulusan Ketua Pengarah tidak diperlukan kecuali bagi pekerja domestik (orang gaji/tukang kebun di rumah, dsb).

Di bawah pindaan akta (S.25), SEMUA pekerja yang mahukan pembayaran gaji selain dari menerusi pembayaran ke dalam akaun bank perlu membuat permintaan bertulis kepada majikan dan majikan perlu mendapatkan kelulusan dari Ketua Pengarah.

Perkataan ‘bank‘ dalam seksyen ini juga digantikan dengan ‘institusi kewangan‘ bermakna bayaran gaji boleh dibuat ke mana-mana akaun pekerja di mana-mana institusi kewangan yang ditubuhkan di bawah Banking and Financial Institutions Act 1989, Financial Services Act 2013, Islamic Financial Services Act 2013 dan Development Financial Institutions Act 2002 [Para 6 Akta Kerja (Pindaan) 2022].

gaji tak lengkap bulan

Seksyen 18A dimasukkan bagi memudahkan majikan dan pekerja membuat kiraan dalam kes pekerja (bergaji bulan) berkerja tidak cukup sebulan. Seksyen ini juga memberikan empat situasi seperti berikut:-

  • apabila pekerja memulakan tugas bukan pada hari pertama bulan tersebut. Contoh: Masuk kerja pada 5hb Januari 2023 atau 20hb Februari 2023;
  • apabila pekerja ditamatkan perkhidmatan sebelum hujung bulan. Contoh: Diberhentikan kerja pada 28hb Januari 2023 atau bersara pada 10hb Januri 2023.
  • apabila pekerja mengambil cuti tanpa gaji pada bulan tersebut;
  • apabila pekerja dipanggil untuk khidmat negara dan terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

Untuk situasi di atas, gaji pekerja hendaklah dikira menggunakan formula berikut:-

kiraan gaji

* Tempoh gaji – Contoh gaji bulan Februari dari 1hb sehingga 28hb Februari = 28 hari.

kontrak perintisan

Bagi mengelakkan majikan mengambil kesempatan terhadap anak muda melalui kontrak perantisan yang pendek, pindaan telah dibuat kepada Seksyen 2. Maksud kontrak perintisan bukan lagi kurang dari dua tahun. Di bawah Akta Kerja (Pindaan), kontrak perintisan hendaklah minima 6 bulan dan maksima 24 bulan.

Sekatan kepada Pekerja Wanita

Sesuai dengan peredaran masa realiti masa kini, BAHAGIAN VIII berkenaan sekatan pekerjaan terhadap pekerja wanita, seperti kerja waktu malam dan kerja bawah tanah, telah dimansuhkan.

Anggapan Mengenai Hubungan Pekerja-Majikan

Blog ini telah menulis dengan panjang lebar mengenai kontrak kerja dalam artikel “Kontrak Pekerjaan“. Ada dinyatakan mengenai isu ‘contract of service‘ dan ‘contract for service‘. Anda boleh baca artikel tersebut untuk memahami lebih lanjut kedua-dua kontrak itu. Amnya, mereka yang diambil berkerja di bawah ‘contract of service‘ sahaja yang dikira sebagai ‘Pekerja‘ di bawah Akta Kerja 1955 dan layak kepada feadah-faedah dan perlindungan di bawahnya.

Sebelum pindaan Akta, mahkamah telah melihat pelbagai kes bagi menentukan sama ada seseorang pekerja itu di bawah ‘contract of service‘ atau tidak. Ingat, walau apa pun yang tertulis di kontrak tidak bermakna ia akan diterima bulat-bulat oleh mahkamah. Tindak-tanduk dan hubungan antara pekerja dan majikan akan diteliti dalam menentukan jenis kontrak yang dimasuki antara mereka.

Seksyen 101C yang baru dimasukkan menyatakan:

(1) In any proceeding for an offence under this Act, in the absence of a written contract of service relating to any category of employee under the First Schedule, it shall be presumed until the contrary is proved that a person is an employee—
(a) where his manner of work is subject to the control or direction of another person;
(b) where his hours of work are subject to the control or direction of another person;
(c) where he is provided with tools, materials or equipments by another person to execute work;
(d) where his work constitutes an integral part of another person’s business;
(e) where his work is performed solely for the benefit of another person; or
(f) where payment is made to him in return for work done by him at regular intervals and such payment constitutes the majority of his income.

Kriteria yang disebut di atas adalah penting dalam situasi di mana tiada kontrak kerja bertulis kerana:-

  • Hanya mereka yang di bawah ‘contract of service‘ layak kepada faedah-faedah di bawah Akta;
  • Seksyen ini menggariskan situasi-situasi yang mana seseorang itu dianggap pekerja (di bawah ‘contract of service‘).
  • Ia juga menggariskan situasi-situasi yang mana seseorang itu adalah majikan.

Sebaik sahaja anggapan ini berkuatkuasa, maka beban pembuktian adalah di pihak satu lagi untuk membuktikan sebaliknya.

Contohnya:

  • 101C(1)(b) – Waktu kerja A dikawal oleh B.
  • A perlu hadir ke tempat kerja pada masa yang ditetapkan oleh B.
  • Maka, anggapan adalah = A ialah pekerja B di bawah contract of service.

Jika A membawa tuntutan ke Jabatan Tenaga Kerja yang B tidak memberikannya faedah di Akta Kerja, maka beban pembuktiaan adalah pada B jika dia mengatakan bahawa A tidak berkerja di bawah contract of service walaupun kontrak mereka adalah bukan contract of service.

Penalti

Penalti am bagi sesuati kesalahan di bawah Akta Kerja dan penalti bagi kegagalan untuk mematuhi keputusan atau arahan Ketua Pengarah telah ditingkatkan dari RM10,000 kepada RM50,000.

Setakat ini sahaja perkongsian kami berkenaan Pindaan kepada Akta Kerja 1955.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2023.

 

29 Comments

  1. nurul

    Hi saya ingin bertanya, syarikat saya meminta saya untuk bekerja pada tahun baru dan pada raya cina, kemudian memberikan cuti ganti. Namun jika ingin memohon cuti ganti ada syarat pula untuk bercuti seperti tidak boleh mohon untuk menggunakan cuti itu sekaligus, syarikat menetapkan hanya layak cuti tidak lebih 2 atau 3 hari. pertanyaan saya bolehkah syarikat menetapkan bila dan berapa lama tempoh pekerja boleh memohon untuk menggunakan cuti ganti tersebut

     
    1. Jika anda layak untuk mendapatkan faedah (bayaran) kerja lebih masa untuk kerja pada cuti umum, maka anda wajib dibayar pada kadar tersebut dan bukannya diberi cuti ganti.
      Proviso S.60D(1A) EA membenarkan cuti ganti, akan tetapi MESTI dengan persetujuan pekerja.

       
  2. Aimie

    1. Salam dan hi..bkenaan cuti cny tue pttnya smpi 24/01/23 kan tp xwajib..ttapi majikan perlu bayar double pay @ tidak?
    2.JiKa majikan tidak ada senaraikan cuti am/umum yang dipilih,dimanakah perlu sy rujuk?memandangkan majikan hanya secara verbal/WhatsApp saja utk tentukan cuti² yg dipilih?

     
    1. Dalam artikel cuti umum (saya sarankan ada rujuk kembali) ada menyebut yang jika cuti umum itu tidak dipilih majikan dalam senarai mereka, maka ia dikira sebagai hari biasa. Jadi tiada bayaran tambahan.

      Kalau majikan mahu tetapkan untuk pilih bilangan minima cuti umum dalam setahun, senarai cuti terpilih itu hendaklah dimaklumkan awal tahun menerusi notis keada perkerja. Kebanyakkan syarikat akan membuat circular dan letakkan dipapan kenyataan untuk rujukan pekerja.

       
  3. Muhamad

    Asalammualaikum,saya nak tanya klau saya MC sehari sebelum/selepas hari cuti umum dimana waktu cuti umum itu adalah waktu bekerja.adakah saya masih dapat bayaran seperti bayaran bekerja padacuti umum?

     
    1. Ya. MC asalkan yang diikitiraf oleh majikan tak dianggap sebagai ketidakhadiran yang menyebabkan faedah cuti umum anda terbatal.

       
  4. Bang nak tanya sy ada total 18 hari A/L termasuk 5 hari A/L tahun lepas tapi sy kerja baru 4 bulan tapi A/L saya selalu kene rejected kalau Mcm tu baik takyah ada A/L kalau selalu kene rejected apakah hak kabjikan dan keadilan seperti saya harus diketengah kan hal kes ni?

     
    1. HRM

      Biasanya AL dikira secara pro-rata mengikut tempoh berkhidmat dan kelulusan permohonan AL tertakluk kpd budibicara majikan.
      Misalnya jika syarikat memberikan 12 AL setahun dan anda baru genap 4 bulan bekerja, maka anda layak memohon 4 hari AL sahaja. Byk syarikat yang hanya membenarkan pekerja mengambil AL selepas 1 thn bekerja, sebagaimana yg termaktub di dlm Akta Kerja. Ada syarikat membenarkan pekerja mengambil advance AL. Ini bergantung kpd polisi syarikat.
      Kami syorkan anda berbincang dgn pihak HR syarikat utk mengetahui lebih lanjut mengenai polisi cuti tahunan di syarikat anda agar dpt mencapai jalan penyelesaian yang baik.

       
  5. Amalia

    Hi. Saya nampak banyak soalan mengani CNY dan syarikat saya juga mempunyai masalah yang sama. Saya ada beberapa soalan:

    1. Cuti CNY adalah sampai hari Selasa (24/01/2023) betul? Tetapi majikan hanya ingin cuti sehingga Isnin sahaja kerana pada hari Selasa, production perlu jalan. Ini dibenarkan kerana cuti tersebut tidak wajib, betul?

    2. Syarikat kami kerja pada hari Sabtu namun majikan ingin tutup operasi. Namun majikan akan tolak AL pekerja. Berdasarkan comment, saya dapati ianya adalah salah. AL pekerja tidak boleh dipaksa. Namun, dimanakan saya boleh rujuk? Klausa mana di dalam akta pekerja yang saya boleh rujuk sebagai bukti? Terima kasih

     
    1. HRM

      1. Betul, tidak wajib, asalkan majikan sdh memberi notis kpd pekerja berkenaan cuti2 umum yang dipilih oleh syarikat.
      2. Sila rujuk artikel kami : https://dululainsekaranglain.com/employment-laws-and-human-resources/bolehkan-majikan-memaksa-pekerja-mengambil-cuti-tahunan

       
      1. Aimie

        1. Salam dan hi..bkenaan cuti cny tue pttnya smpi 24/01/23 kan tp xwajib..ttapi majikan perlu bayar double pay @ tidak?
        2.JiKa majikan tidak ada senaraikan cuti am/umum yang dipilih,dimanakah perlu sy rujuk?memandangkan majikan hanya secara verbal/WhatsApp saja utk tentukan cuti² yg dipilih?

         
    2. Nazrul Hashim

      Salam Tuan,
      Saya ingin bertanyakan perihal cuti tahunan.(CT)Saya mempunyai 30hari CT. Saya hanya menggunakan 15hari sahaja. Majikan memberikan tempoh sehingga bulan Mac tahun berikutnya dgn 7hari CT dibawa ke depan. Adakah lebihan 8hari CT majikan harus membayar kepada saya?

       
  6. Raff

    Assalamualaikum & selamat petang.
    Saya diberi cuti sakit oleh hospital kerajaan selama 29hari bermula 10 jan 2023 hingga 07 feb 2023 yang mana terdapat cuti umum.
    Adakah majikan perlu menggantikan cuti umum itu kepada hari lain ?
    Boleh beri contoh ?
    Terima kasih

     
    1. HRM

      Sila rujuk jawapan di komen terdahulu.

       
  7. Rafidah Binti Sukindar

    Assalamualaikum & selamat petang.
    Saya diberi cuti sakit oleh hospital kerajaan selama 29hari bermula 10 jan 2023 hingga 07 feb 2023 yang mana terdapat cuti umum.
    Adakah majikan perlu menggantikan cuti umum itu kepada hari lain ?
    Boleh beri contoh ?
    Terima kasih

     
    1. HRM

      Wa’alaikumsalam.
      Cuti sakit/MC bertujuan utk memberi peluang kepada pekerja utk berehat semasa hari kerja dan tetap dibayar gaji. Majikan tidak perlu mengganti cuti umum yg jatuh semasa cuti sakit. Tetapi majikan hendaklah menolak cuti umum dan cuti rehat drpd cuti sakit tersebut.
      Contoh, anda diberi cuti sakit dari 20/1-25/1. Syarikat anda tidak beroperasi pada Sabtu & Ahad. Cuti CNY pula pada Ahad, Isnin & Selasa. Maka, cuti sakit anda hanya dikira 2 hari sahaja (Jumaat dan Rabu).
      Sila berhubung dgn pegawai HR syarikat anda untuk memastikan cuti sakit anda dikira dgn betul. Untuk maklumat tambahan mengenai cuti sakit berbayar, sila baca: https://dululainsekaranglain.com/undang-undang/cuti-sakit-berbayar

       
  8. Cicilia

    Adakah 45 hours ni hanya cover untuk Malaysian employees or foreign employees are also cover?

     
    1. Termasuk pekerja asing ya yang berkerja di Semenanjung Malaysia & Labuan dan di bawah kontrak kerja yang sah.

       
  9. tiara

    hi saya mahu tanya, pembayaran annual leave paid untuk pindaan akta baru ini akan dibahagikan oleh 26 days atau 22 days. terima kasih

     
    1. muhamadasfia

      Company tidak berikan advance seperti yg di tetap kan adakah satu kesalahan

       
    2. Maksud anda payment in lieu of annual leave/bayaran utk cuti tahunan yang tidak digunakan? Tiada pindaan untuk bahagian ini. Masih dibahagikan dengan 26 hari.

       
  10. Sizukha

    Jika majikan bagi cuti tambahan atau tutup ofis untuk sesuatu perayaan, bolehkah majikan tolak gaji sbb penutupan ofis?
    Contohnya company A tutup ofis extra 1 hari untuk cuti raya cina dan pekerja diberi cuti 1 hari, tapi majikan akan menolak gaji disebabkan penutupan ofis. Bolehkah majikan berbuat demikian? Jika majikan salah, bolehkah membuat laporan kepada pejabat buruh?

     
    1. Tak boleh. Anda boleh rujuk kepada JTK/Pejabat Buruh untuk nasihat, aduan dan sebagainya. Ia lebih baik kerana setiap kes perlukan penjelasan lanjut dari segi kontrak kerja dan lain-lain. Terima kasih.

       
  11. Siti Nur Ain

    contoh: ali start kerja 25/5/2021. 24/5/2023 dia dah cukup 2 tahun. Jadi cuti tahunan dia layak dapat ialah 8 hari. Akan tetapi, start 25/5/2023 ali dah kerja lebih dari 2 tahun.
    Mengikut law, untuk 2 hingga 5 tahun perkhidmatan, dia layak mendapat cuti tahunan 12 hari. jadi bagaimana cara pengiraan cuti tahunan bagi ali untuk tahun 2023? Adakah masih 8 hari?

     
    1. zowienie zeno

      saya juga mempunyai persoalan seperti puan,, boleh saya dapatkan penjelasan berkenaan perkara tersebut

       
    2. Kata kunci adalah kelayakkan cuti tahunan SETAHUN. Maka, kalau hujun bulan 5 baru layak untuk jumlah baru itu, kelayakkan boleh di pro-rata kan. Untuk kiraan mudah, kita katakan dia layak untuk 12 hari pada 1hb Jun (hampir dengan 25hb). Maka, kita pro-ratakan dengan mengira 6 bulan pertama terlebih dahulu 6 bulan / 12 bulan x 8 hari kelayakkan = 4 hari. Untuk 6 bulan seterusnya = 6/12 x 12 hari kelayakkan = 6 hari. Jumlah adalah 10 hari.

       
      1. zowienie zeno

        contoh lahh dia kerja dlm bulan 9,,bulan 9 thun ini adalah tahun ke2.. mcm mna pngiraan cuti tahunan dia

         
  12. Hairul Nizam

    Waktu bekerja 45jam adakah termasuk waktu rehat. Sebagai Contoh saya bekerja shif bermula pukul 6:00 pagi dan tamat pada Jam 2:00 petang termasuk 1 jam rehat. Adakah waktu bekerja yang dikira hanya 7 jam sehari?

     
    1. Akta Kerja (Pindaan) 2022 cuma meminda hak maksima kerja dalam seminggu. Peruntukkan lain yang berkaitan masa kerja dalam Akta 1955 masih terpakai ya. Anda boleh rujuk artikel: https://dululainsekaranglain.com/undang-undang/waktu-waktu-kerja-hours-of-works

      Masa rehat hendaklah tidak kurang 30 minit dan pekerja hendaklah ada kebebasan bergerak dan melakukan urusan lain dalam masa rehat tersebut. Sekiranya syarat ini dipenuhi maka ia adalah dikira masa rehat.

      Rujuk balik soalan anda. Jika 1 jam itu adalah masa rehat seperti yang saya terangkan di atas, maka ia tidak dianggap sebagai masa kerja. 6 am sehingga 2 petang = 8 jam. Tolak 1 jam rehat = 7 jam kerja sahaja.

       

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.