\"\"
Sunday,20 August,2017

Produk Penjagaan Kulit – ‘Organic’, ‘Natural’ dan ‘Synthetic Chemical’

Beauty Skin Care Brands

Saya yakin, tiada seorang pun antara kita yang tidak pernah menggunakan sekurang-kurangnya satu produk penjagaan kulit (skin care), badan (body care) atau rambut (hair care), misalnya sabun, shampu, bedak, dan sebagainya.  Apabila anda hendak membeli produk tersebut, bagaimana anda membuat pilihan?

Biasanya, pengguna membuat pilihan berdasarkan pelbagai faktor – jenama, harga, keberkesanan/kesesuaian, penilaian pengguna lain (review), bahan kandungan (ingredients), dan lain-lain. Citarasa juga memainkan peranan, misalnya ada yang suka haruman bunga-bungaan, ada yang suka haruman buah-buahan. Ada yang suka warna merah, ada yang suka warna oren. Dahulu, saya suka menggunakan ‘branded skin care’ tetapi kini saya memilih berdasarkan bahan kandungan pula.

arrow down

Amnya, produk penjagaan kulit, badan atau rambut boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu:

  1. produk semulajadi (natural skin care products)
  2. organik (organic skin care products)
  3. bahan kimia sintetik (synthetic chemicals skin care products)

Tahukah anda sama ada produk yang anda gunakan itu tergolong dalam kategori produk semulajadi, organik atau bahan kimia sintetik? Seringkali terma produk ‘organic’ dan ‘natural’ disama-ertikan.

Bagaimana untuk membezakan produk-produk tersebut?

Dan mengapa perlu tahu tentang kategori-kategori tersebut?

Kepentingan Memahami Kategori Produk Yang Digunakan

Rasanya elok kita mulakan dengan mengapa perlu ambil tahu tentang kategori tersebut.

Cuba perhatikan Infografik di bawah ini:

toxic-skin-infographic-ingredients-12-avoid

Berdasarkan Infografik di atas, badan kita dikatakan berupaya menyerap 60% bahan yang dikenakan pada kulit. Daya serapan kulit kanak-kanak pula lebih kurang 40-50% lebih tinggi daripada orang dewasa. Oleh itu, risiko mendapat penyakit atau mudarat (seperti alahan kulit, kanser, kecacatan, masalah pembelajaran, dan sebagainya) disebabkan terdedah kepada bahan toksik adalah lebih tinggi bagi kanak-kanak.

arrow

Infografik tersebut juga menyenaraikan sebahagian dari bahan kimia yang wajar kita elakkan seperti paraben, SLS, SLES, dan sebagainya.  Suka saya nyatakan di sini bahawa bukan semua bahan kimia boleh memudaratkan kesihatan dan setiap individu mempunyai tahap daya tahan dan kelemahan yang berbeza. Contohnya, tidak semua perokok dan keluarga perokok yang mengidap penyakit kanser – tetapi risiko mengidap kanser paru-paru (misalnya) bagi perokok dan mereka yang kerap terhidu asap rokok (second-hand smoke) adalah lebih tinggi daripada orang yang tidak merokok.

arrow

Kini, ada yang berpendapat bahawa pewangi tiruan atau sintetik (artificial or synthetic fragrance) juga boleh memudaratkan kesihatan seperti juga asap rokok (sila rujuk di sini). Sungguhpun perkara ini belum dapat dibuktikan dengan pasti, namun kemungkinannya memang ada memandangkan pewangi tiruan atau sintetik dirumus menggunakan pelbagai bahan kimia yang tidak dinyatakan dengan jelas pada label produk atas alasan ‘trade secret’. Pewangi tiruan atau sintetik yang dimaksudkan selalunya terdapat dalam minyak wangi, pewangi rumah, syampu, sabun, dan sebagainya.

Di dalam sebuah artikel dinyatakan bahawa :

According to a study published in the journal Pediatrics, 81 percent of babies were found to have high levels of phthalates in their systems after using shampoo, lotion and powder.

Ini bermaksud bahawa bahan kimia phthalates yang terdapat dalam produk penjagaan kulit bayi akan diserap oleh badan kebanyakan bayi. Phthalates berisiko tinggi terhadap kesihatan dan kita serta keluarga kita terdedah kepada risiko tersebut dan risiko-risiko lain setiap hari (sila baca artikel ini) memandangkan phthalates terdapat dalam makanan, bahan plastik, kosmetik, produk penjagaan kulit, dan lain-lain.

arrow

Oleh yang demikian, sekiranya kita faham berkenaan kategori produk yang kita gunakan dan memahami label pada produk tersebut, Insyallah, kita dapat mengelak dari terbeli produk yang berpotensi membahayakan kesihatan diri dan keluarga.

Maksud terma Natural, Organic dan Synthetic Chemicals

Produk yang dikategorikan sebagai semulajadi (Natural) dirumus menggunakan bahan-bahan semulajadi atau berasaskan tumbuh-tumbuhan misalnya minyak zaitun (olive oil), pati minyak lavender (lavender essential oil), shea butter, aloe vera, dan lain-lain.

arrow down

Contoh produk Natural adalah seperti label pada krim tangan semulajadi (100% Natural Hand & Foot Salve keluaran Human Nature) : aqua, caprylic/capric triglyceride (coconut derived), stearic acid (vegetable derived), dicaprylyl ether (vegetable derived), Helianthus annuus (sunflower) seed oil, Eucalyptus globules (eucalyptus) essential oil, sorbitan stearate (vegetable derived), menthol, isostearyl hydroxystearate (vegetable derived), tapioca starch, Origanum vulgare (oregano) leaf extract, menthe viridis (spearmint) extract, Melissa officinalis (Lemon balm), xanthan gum, glyceryl caprylate (coconut, palm and glycerine derived), Anisic acid (anise seed derived), phytic acid (rice bran derived), farnesol, linalool.

Human Nature 100% Natural Hand & Foot Salve

Human Nature 100% Natural Hand & Foot Salve

Produk yang dikategorikan sebagai organik (Organic) dirumus menggunakan bahan-bahan yang diiktiraf organik misalnya minyak zaitun organik (organic olive oil), pati minyak lavender organik (organic lavender essential oil), aloe vera organik (organic Aloe Barbadensis), dan sebagainya.  Biasanya produk sebegini telah mendapat pengiktirafan organik oleh badan antarabangsa (contohnya USDA Organic atau Australian Organic Certification) dan lambang badan pengiktirafan tersebut dicetak pada label produk.

arrow down

Contoh label pada produk krim tangan organik (Nourishing Hand Cream daripada Miessence) : Certified Organic Butyrospermum Parkii (Shea) Fruit Butter, Certified Organic Aloe Barbadensis (Aloe Vera) Leaf Juice, Aqua, Certified Organic Ethanol (Sugar Cane Alcohol), Non-Gmo Lecithin, Sclerotium Rolfsii, Citrus Aurantium Amara (Bitter Orange) Fruit Extract, Certified Organic Pelargonium Graveolens (Geranium) Essential Oil, Certified Organic Olea Europaea (Olive) Juice Extract, Certified Organic Rosa Damascena (Rose) Essential Oil.

Manakala produk penjagaan kulit konvensional pula biasanya dirumus menggunakan pelbagai bahan kimia sintetik.

Contoh label krim tangan produk berasaskan kimia sintetik (Neutrogena Hand Cream) : Water, Glycerin, Cetearyl Alcohol, Stearic Acid, Sodium Cetearyl Sulfate, Methylparaben, Propylparaben, Dilauryl Thiodipropionate, Sodium Sulfate, Fragrance

Ada juga produk yang mengandungi gabungan bahan organik, semulajadi dan kimia sintetik.

Bagaimana Memahami Label

Kadangkala, walaupun label terang-benderang dan besar di depan mata, tapi kita tetap tidak dapat membuat keputusan memandangkan kebanyakan kita bukanlah ahli kimia sedangkan label itu amat besar kepentingannya dalam membuat pilihan. Bagaimana cara memahami label produk penjagaan kulit dan membuat keputusan sama ada sesuatu produk penjagaan kulit itu berisiko memudaratkan kesihatan?

arrow down

Berdasarkan pelbagai bahan bacaan dan cadangan pelbagai pihak, saya mengamalkan cara berikut dalam membuat pertimbangan:

  1. Lihat label dan bahagikan bahan kandungan kepada 3 bahagian. Biasanya, sepertiga pertama adalah 90-95%, sepertiga kedua 5-8% dan sepertiga terakhir 1-3%. Contohnya, dalam label di bawah (berdasarkan label pada 100% Natural Hand & Foot Salve keluaran Human Nature), sepertiga pertama (berwarna biru) adalah 90%-95% kandungan produk, sepertiga kedua (berwarna hijau) adalah 5%-8% dan sepertiga terakhir (berwarna merah) adalah 1%-3% kandungan produk.
Bahan dalam Human Nature 100% Natural Hand & Foot Salve

Bahan dalam Human Nature 100% Natural Hand & Foot Salve

  1. Sekiranya terdapat bahan yang anda tidak pasti sama ada selamat digunakan atau tidak, anda boleh periksa di laman Skin Deep (http://www.ewg.org/skindeep/) untuk kepastian, contohnya bahan kedua dalam senarai di atas (caprylic/capric triglyseride) :

SkinDeep2

  1. Terdapat pengecualian terhadap aturan (1) di atas:
  • Sekiranya salah satu bahan diklasifikasikan sebagai ubat-ubatan (drug), maka ia akan disenaraikan dahulu tanpa mengira peratus kandungan atau kepekatan, menurut G. Todorov, Ph.D., dari Smart Skin Care.
  • Pewangi (fragrance) dan pewarna biasanya masuk senarai terakhir, tanpa mengira peratus kandungan atau kepekatan.
  • Bahan kandungan yang di bawah 1% tidak perlu diatur mengikut jumlah peratusan sebenar, asalkan ianya disenaraikan selepas bahan yang melebihi 1%.

arrow

Perlu diingat bahawa sesetengah bahan kandungan akif tidak perlu berada di bahagian atas senarai kerana ianya cukup berkesan walaupun peratusannya hanya 0.5-2% sahaja, misalnya salicylic acid. Sesetengan bahan pula, misalnya vitamin C hanya berkesan pada kepekatan 10 – 15% atau lebih.

Tambahan lagi, bukan semua bahan tersenarai dalam label kerana jumlahnya terlalu sedikit (kurang daripada 1%), ianya rahsia perniagaan (trade secret) atau kerana ia suatu contaminant (contohnya nitrosamines).

  1. Ketahui etika, falsafah dan prinsip asas syarikat pengeluar produk berkenaan kerana dengan itu anda akan mengetahui dengan lebih mendalam tentang sumber bahan mentah yang digunakan serta proses pembikinan produk mereka.

Produk di Pasaran

Mengapa produk yang menggunakan bahan kimia sintetik yang paling banyak dijual dipasaran? Kerana bahan kimia sintetik lebih murah, mudah didapati, mudah diurus/digunakan, lebih stabil (tidak terlalu sensitif terhadap faktor suhu dan persekitaran) dan tahan lebih lama jika dibandingkan dengan bahan organik.

arrow down

Tidak banyak produk mendapat pengiktirafan organik kerana bukan mudah untuk mendapatkan pengiktirafan organik (organic certification). Prosesnya rumit dan melibatkan penggunaan bahan-bahan mentah yang diiktiraf organik iaitu bukan sahaja ditanam tanpa baja kimia tetapi juga menggunakan benih organik, melaksanakan sustainable farming methods, dan sebagainya. Pendek kata, ia memakan kos yang tinggi. Maka itu, produk yang diiktiraf organik biasanya lebih mahal daripada produk konvensional.

arrow down

Kekadang kita tiada pilihan dan terpaksa menggunakan produk yang mengandungi bahan kimia sintetik kerana ianya perlu untuk mengatasi permasalahan kulit tertentu atau untuk mengatasinya dengan segera, dan sebagainya.

Namun kita mesti ambil kira bahawa:

  1. Semakin meningkat usia, semakin lemah daya ketahanan badan dan semakin mudah bagi kita dijangkiti penyakit
  2. Proses penyembuhan pula semakin perlahan
  3. Pendedahan kepada bahan toksik walaupun sedikit, tahun demi tahun akan terkumpul menjadi banyak dalam badan.

Secara peribadi, sekiranya cukup bajet dan ada pilihan, saya lebih suka membeli produk penjagaan kulit yang dirumus menggunakan tumbuhan atau mengandungi bahan semulajadi seperti aloe vera, madu lebah (honey), minyak bunga matahari (sunflower oil), pati minyak tulen (pure essential oil), shea butter, dan sebagainya. Tidak semestinya organik, asalkan mudah diperolehi dan harga mampu-milik. 😀 Antara produk semulajadi/organik yang saya minati kerana keberkesanan serta harga yang amat munasabah adalah Claire Organics (buatan Malaysia) dan Human Nature (buatan Filipina tetapi mempunyai pengedar di Malaysia). Kos pos juga tidaklah membebankan dan kadangkala dapat juga pos percuma.

arrow down big

Jika ingin maklumat lanjut, sila baca tulisan saya di sini: Beauty Skin Care Brands : Natural, Organic or Conventional Beauty Products?

Baca juga: Atasi Rabun Warna Dengan Color Vision Lens Dari Usj Optometrist

This Article Was Written By

A fumbling, bumbling housewife and a mom of 5, who enjoys reading, cross stitching, watching tv, crocheting and trying her hands at other crafts. Her dream is to explore every nook and cranny of Malaysia in this lifetime. Learning to be a more conscientious, informed, open-minded and adventurous person, she is happy to share her thoughts on many subjects. She also writes at www.Precious-Crafts.Com

Zurainny Ismail

Leave a Comment

  • yaya Reply

    bagi produk yang dicampur bahan natural dan bhan organik dikira mcam mna pula ye? boleh diclaim sebagai produk organik ke?

    July 21, 2017, 4:39 am
    • Zurainny Ismail Reply

      Pd pdpt saya, ia bgantung kpd bahan natural yg digunakan & peratus kandungan. Produk organik biasanya diperbuat drpd bhn2 yg diiktiraf organik – sekurang-kurang 70% ke atas. Namun begitu terdapat jg badan pengesahan produk organik yg menetapkan kadar yg lebih rendah, misalnya Ecocert. Jika menggunakan bahan2 semulajadi yg tiada pengesahan organik, sebaiknya ia dinyatakan sebagai produk natural sahaja.

      July 25, 2017, 7:16 am
  • Erica Reply

    Sekarang product natural & organik yg popular kt IG brand organichana. Aku peminat tegar produk dia. Produk luar yg Aku suke pulak brand Australia ape namanye soap inspired .

    December 11, 2016, 12:12 pm
    • Zurainny Ismail Reply

      Belum try lagi Organichana & soap inspired. Saya pun suka juga product organik atau natural buatan Australia sbb sgt berkualiti, masalahnya, kdg2 kena tahan kastam – huhuhu….

      December 14, 2016, 11:25 am
      • Rafizah Reply

        Memang bahaya..berlambak produk pasaran sekarang ni. Kena jadi pengguna yang bijak.

        March 29, 2017, 12:15 pm
        • Zurainny Ismail Reply

          Betul tu Rafizah, kadangkala iklan yg hebat & jenama antarabangsa jg blh mempengaruhi kita apabila membuat pilihan sehingga kita terlupa utk membuat due diligence. Namun, jika kita sentiasa beringat, Insyallah, pilihan kita tidak akan mendatangkan kemudaratan di kemudian hari.

          March 30, 2017, 6:41 am
  • Thalia Reply

    Antara produk natural yg paling saya suke keluaran organichana , best! So far dah try repair cream, olga treatment, also.essence and sabun susu kambing dia. 🙊

    October 10, 2016, 8:58 am
    • Zurainny Ismail Reply

      Thank you Thalia, for sharing. First time saya dengar nama tu, will check it out. 😀

      October 11, 2016, 12:30 am
  • The Reluctant Shopper Reply

    Betul tu, kita kena berhati2 sekarang ni especially produk utk bayi & kanak2.

    October 27, 2015, 2:39 am
  • akubiomed Reply

    Bimbang betul mengunakan produk yang mengandungi bahan kimia yang terlarang.

    October 26, 2015, 3:13 pm