10 Tips Untuk Menjadi Pekerja Cemerlang 2

Jika anda telah membaca 10 Tips Untuk Menjadi Pekerja Cemerlang di artikel sebelum ini, syabas kami ucapkan! Kami beranggapan anda telah mahir dalam menjalankan tugasan semasa dan kini berhasrat untuk meningkatkan kemahiran diri demi masa depan yang lebih cemerlang. Di sini kami kongsi 6 tips selanjutnya untuk pertimbangan anda.

5. Berani menghadapi pegawai atasan dan kakitangan lain

Ramai yang sentiasa mengelak dari berjumpa dengan bos. Itu sebenarnya sifat yang merugikan diri sendiri. Anda sepatutnya kenali bos anda, dan pastikan bos anda kenal anda. Bukan membodek, tapi jika anda mempunyai kemahiran, jangan takut untuk ‘tunjuk terer’.

Demikian juga dengan rakan sekerja, jangan takut untuk menyatakan pendapat anda. Walaupun baik untuk menerima cabaran baru atau membantu rakan sekerja, ada kalanya anda hendaklah berani untuk menolak permintaan mereka. Selesaikan tugasan anda terlebih dahulu dan sentiasa kaji sama ada anda telah menggunakan masa kerja anda dengan sebaik mungkin atau tidak.

6. Berfikir seperti seorang Pengurus, bukan kakitangan bawahan

Pekerja menunggu arahan,

Pengurus yang cemerlang berfikir secara strategik tentang perkara-perkara yang perlu dilakukan, dan melakukannya.

Pekerja hanya berfikir untuk diri sendiri tetapi Pengurus memikirkan kepentingan kumpulan dan syarikat.

Pengurus yang baik membantu apabila perlu, tanpa disuruh. Mereka berkongsi pengetahuan dan membantu pekerja bawahan untuk menambah kemahiran. Seorang Pengurus juga sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memastikan pasukannya berjaya.  Datang awal ke pejabat, sentiasa bersikap professional dan berfikiran positif.

Anda juga boleh berbuat demikian!

7. Jalinkan hubungan yang baik dengan semua rakan kerja

Salah satu ciri pemimpin adalah kebolehannya mendengar dengan teliti, membantu rakan sekerja yang lemah, dan berkongsi pendapat serta pengetahuan dengan ikhlas. Jangan mencari musuh dalam pejabat. Kenali rakan sekerja yang dinaikkan pangkat dan kaji kelebihan mereka.

8. Rekodkan pencapaian anda secara spesifik

Tanamkan sifat rajin menulis jernal kerja di mana anda merekodkan hasil kerja anda, termasuk kejayaan dan kegagalan anda.

Semasa penilaian prestasi, rekod ini akan membantu anda untuk mengingatkan penyelia anda tentang pencapaian dan kejayaan anda dalam menjalankan tugas. Jika anda di ‘Customer Service’ contohnya, setiap pujian atau ‘positive feedback’ daripada pelanggan hendaklah direkodkan sebagai rujukan. Rekod ini bukan untuk menunjuk diri hebat, tapi sebagai sumber motivasi dan rujukan apabila perlu.

Fokus pada hasil yang spesifik, bukan hanya aktiviti. Contohnya, ‘Berjaya menjual 100 produk A semasa aktiviti Promosi Hujung Tahun’ dan bukan hanya ‘Promosi Hujung Tahun Berjaya Dilaksanakan’ .



9. Jangan malu tak bertempat

Janganlah sentiasa diam membisu semasa mesyuarat. Lontarkan idea anda dengan berkesan. Jika anda sentiasa malu atau segan, sukar untuk jadi ketua/pemimpin, apalagi untuk naik pangkat.

Jika tak faham, jangan takut untuk bertanya dan meminta bantuan. Bertanya dan meminta bantuan adalah bukti kekuatan diri, bukan tanda kelemahan. Semua orang perlukan bantuan orang lain untuk berjaya.

10. Belajar dari kesilapan

Apabila anda melakukan kesilapan, akui dengan segera, cari jalan mengatasinya dan jangan ulangi kesilapan tersebut.  Kenalpasti punca. Dengar maklumbalas atau pendapat orang lain tentang cara mengatasi masalah tersebut.

Biasakan diri menghadapi tekanan. Lakukan perkara-perkara baru dan susah yang orang lain tidak mahu buat, contohnya membuat presentation di hadapan CEO anda. Bertenang dan jangan risau jika anda tidak sempurna. Melakukan perkara-perkara yang sukar atau baru  merupakan peluang untuk maju ke hadapan dalam kerjaya. Pendamkan perasaan takut dan tunjukkan kepimpinan anda.

Kesimpulan

Sebenarnya, selain 10 Tips Menjadi Pekerja Cemerlang di atas, ada banyak lagi tips lain, tapi kami kongsi yang mudah dahulu. Tak perlu buat semua – kalau boleh buat 50% pun kira hebat. Yang penting, hendaklah konsisten.

Sekiranya anda tidak melihat hasil yang memuaskan selepas telah melakukan perkara-perkara di atas, jangan bersedih atau give-up. Bersabar dan percaya bahawa usaha adalah tangga kejayaan. Ia mungkin mengambil masa dua atau tiga tahun. Jika tak dapat kenaikan gaji atau pangkat, sekurang-kurangnya nilai anda sebagai pekerja telah meningkat dan anda mempunyai opsyen sama ada untuk terus menunggu atau mencari kerja lain.

Semoga berjaya!

3 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Show Buttons
Hide Buttons