\"\"
Sunday,20 August,2017

10 Pemain Badminton Terbaik Di Dunia

Pemain Badminton Terbaik Di Dunia

Semasa menyaksikan Datuk Lee Chong Wei menentang Boonsak Ponsana dalam pusingan akhir BWF World Super Series kelmarin, saya terfikirkan sesuatu.

Melihat betapa mudahnya Datuk Lee menjinakkan Boonsak dan betapa bergayanya permainan Datuk Lee membuatkan saya tertanya-tanya siapakah pemain badminton terhebat yang pernah saya saksikan dan apakah sebabnya?

Sudah tentunya membuat perbandingan pemain badminton antara generasi adalah sesuatu yang amat sukar dilakukan kerana bezanya corak permainan dan teknologi zaman dulu dan kini. Adalah tidak adil membandingkan skill dan kepantasan Lin Dan dengan Datuk Punch Gunalan yang menggunakan raket kayu dan bulu tangkis yang jarang ditukar pada zamannya.

Begitu juga teknik smash yang digunakan oleh Datuk Lee sekarang dengan Han Jian yang bermain di zaman badminton dimainkan dengan tempo yang agak perlahan dan dengan rally yang agak panjang.

Oleh itu, saya telah memilih 10 pemain badminton (perseorangan) yang saya anggap terbaik kerana meninggalkan kenangan indah yang masih segar difikiran saya sehingga kini.

Mereka-mereka ini tidak semestinya memenangi banyak kejohanan, akan tetapi sentuhan-sentuhan yang mereka pamerkan menjadi buah mulut ramai peminat badminton dan diingati ramai.

Di sini juga saya cuma menyenaraikan pemain-pemain yang saya tonton sendiri secara LIVE seumur hidup saya. Yang saya tidak pernah saya lihat dengan mata saya sendiri tidak disenaraikan dan tidak adil untuk saya nilaikan.

Oleh itu, nama-nama lagenda seperti Rudy Hartono, Wong Peng Soon dan Erland Kops tidaklah saya senaraikan di bawah:

Lin Dan

Rasanya pemain ini adalah yang paling lengkap pakejnya yang pernah saya lihat. Mempunyai teknik serangan yang berbisa dan pada masa yang sama mempunyai pertahanan yang amat kental. Dari segi skill dan teknik, Lin Dan mempunyai keupayaan yang sama dengan Lee Chong Wei, namun dari segi mental dan keyakinan diri, Lin Dan berada dalam kelas tersendiri.

Rasanya, tidak ada ahli sukan yang lebih yakin pada kemampuan diri sendiri dari Lin Dan.

Itu sahaja sudah cukup untuk meletakkan beliau dalam senarai ini.

Lee Chong Wei

Pemain paling hebat pernah dilahirkan oleh Malaysia bagi saya. Malangnya, dia berada dalam generasi yang sama dengan Lin Dan. Jika tidak kerana Lin Dan, pastinya tiada gelaran yang yang tidak dapat diraih oleh Lee Chong Wei.

Untuk pemain-pemain remaja, Lee Chong Wei adalah idola yang patut dicontohi.

Seorang yang agak professional dari segi sikapnya dan tidak pernah merendahkan kemampuan lawannya. Sentiasa konsistent dan menyelesaikan tugasnya dengan sempurna.

Zhao Jianhua

Bagi mereka yang mencari kepuasan dan hiburan, Zhao Jianhua adalah pilihan utama mereka. Bintang dari negara China ini terkenal dengan sentuhan-sentuhan ajaib di dalam gelanggang yang penuh seni dan mempersonakan. Siapa yang boleh lupa perlawanan antara beliau dengan Rashid Sidek pada separuh akhir Piala Thomas 1992?

Itu adalah antara perlawanan yang paling klasik dan menghiburkan yang pernah saya saksikan. Ia juga merupakan ‘by far persembahan terbaik Rashid Sidek dalam mana-mana kejohanan.

Biarpun Jianhua yang tewas dalam perlawanan itu, persembahannya tetap hebat dan segar dalam ingatan ramai peminat sukan badminton dunia.

Hariyanto Arbi (Heryanto Arbi)

Jumping Jack Flash‘ itulah gelaran yang diberikan kepada pemain Indonesia ini semasa di puncak kegemilangannya. Pantang sahaja bulu tangkis dinaikkan tinggi ke atas, Hariyanto Arbi akan melompat dengan tinggi untuk membuat smash kencang yang sukar dijawab lawan.

Corak permainan Hariyanto Arbi rasanya turut membantu menaikan tahap permainan badminton dunia dengan pemain-pemain lain berusaha untuk melakukan teknik smash beliau yang sebelum itu dianggap sukar untuk dilakukan.

Yang Yang

Superstar badminton yang pertama di dunia. Pemain lagenda dari negara China yang hampir tidak boleh ditumbangkan di zaman kegemilangannya. Seperti Lin Dan dan Lee Chong Wei, Yang Yang tidak mempunyai kelemahan dalam permainannya. Sempurna ketika bertahan dan menakutkan ketika membuat serangan. Saya amat suka melihat Yang Yang ketika melompat dan berada di udara.

Beliau seolah-olah terapung seketika dan mempunyai banyak masa untuk memilih pukulan yang patut dilaksanakan.

Oleh sebab itu, tiap kali Yang Yang melompat untuk menyerang, ramai yang merasakan mata untuk beliau kerana amat sukar untuk meramalkan ke mana bola akan dipukul oleh Yang Yang.

Misbun Haji Sidek

Antara semua yang tersenarai, rasanya Datuk Misbun Sidek adalah yang paling kurang berjaya dari segi jumlah kejuaraan yang dimiliki. Sering tewas dalam perlawanan akhir, Misbun bukanlah pemain yang tidak hebat, namun masaalah dari segi mental mungkin menghalang beliau dari melakar banyak kejayaan dipersada antarabangsa.

Namun, kita tidak boleh melupakan Misbun sebagai pemain badminton ulung satu ketika dulu. Pencetus revolusi dengan servis ‘S” dan pukulan ‘pancung‘, Misbun Sidek mempunyai kawalan gelanggang yang tidak ada tolok bandingnya.

Sayang sekali, beliau gagal memenangi kejuaraan utama dunia dalam kariernya kerana beliau amat layak sekali berdasarkan kualiti permainannya.

Poul-Erik Høyer Larsen

Jawapan Eropah kepada Zhao Jinhua. Seperti pemain dari negara China itu, pemain Denmark ini mempunyai corak permainan yang amat menghiburkan dengan sentuhan-sentuhan yang menakjubkan. Bagi saya, Poul-Erik Høyer Larsen paling hebat sekali bila berada di jaring kerana keupayaan pergelangan tangannya membolehkan dia menolak bulu tangkis secukup rasa dan meniti di atas jaring.

Antara beberapa kerat pemain Eropah yang mampu menyaingi pemain-pemain Asia, Poul-Erik juga adalah antara pemain badminton terbaik yang pernah saya saksikan.

Beliau kini adalah Presiden Persatuan Badminton Dunia ataupun Badminton World Federation (BWF).

Taufik Hidayat

Satu-satunya pemain dalam era badminton moden yang mampu membalas pukulan lawan di bahagian belakang gelanggang (baseline) dengan ‘backhand’nya dengan baik. Biarpun bertubuh kecil, Taufik berjaya menjuarai banyak kejuaraan dunia kerana kemampuan luar biasanya itu. Beliau tidak perlu membuang banyak tenaga untuk melindungi backhand kerana dia mempunyai keyakinan penuh pada kemampuannya.

Biasanya, dia mampu melakukan pelbagai pukulan mengelirukan dengan backhand seolah-olah dia memukul dengan forehand. Menakjubkan.

Taufik juga mempunyai kawalan gelanggang yang hebat dan mempunyai daya agakan yang amat baik. Itu amat membantu beliau menghadapi lawan-lawanya yang rata-rata mempunyai kelebihan dari segi ketinggian dan kekuatan pukulan.

Liem Swie King

Di era 80-an Liem Swie King amat digeruni. ‘The King‘ mempunyai smash yang padu dan semangat yang kental di atas gelanggang. Swie King adalah antara beberapa pemain sahaja dalam dunia yang cemerlang dalam acara perseorangan dan bergu. Dengan smash yang amat kencang dia adalah pemain yang mempunyai serangan paling dasyat di era nya.

Akan tetapi, jaguh dari Indonesia ini juga tidak kurang hebat bila bertahan. Atas sebab itu, dia telah berjaya meraih banyak kejuaraan sepanjang karier nya.

Morten Frost Hansen

Bekas ketua jurulatih skuad badminton Malaysia ini adalah seorang yang ‘genius‘ di atas gelanggang. Morten Frost tidak mempunyai teknik serangan yang hebat mahupun pertahanan yang mantap, namun dia mengatasi kelemahan ini dengan kebijaksanaan menganalisa permainan lawan.

Morten Frost Hansen akan sentiasa menolak bulu tangkis dibahagian yang lawannya kurang selesa dan beliau amat cekap dan effisyen dalam menjalankan tugas ini. Apabila lawannya tertekan Frost akan mengagak ke arah mana bulu tangkis akan ditolak dan dengan mudah dia mematikannya.

Untuk rekod, Morten Frost Hansen adalah orang yang bertanggungjawab membawa Lee Chong Wei dalam skuad kebangsaan setelah ramai jurulatih tidak yakin dengan kemampuan Chong Wei pada masa itu lantaran tubuhnya yang kecil itu.

Begitulah barisan 10 pemain badminton perseorangan yang paling hebat pernah yang saksikan beraksi.

Terdapat ramai lagi yang hebat-hebat seperti Xia Xuanze, Alan Budi Kesuma, Han Jian, Ib Frederiksen, Rashid Sidek, Xiong Guobao, Chen Changjie, Peter Gade Cristiansen, Ardy Wiranata, Joko Suprianto, Foo Kok Keong, Prakash Padukone, Thomas Stuer-Lauridsen, Park Sung-hwan, Luan Jin, Wong Choong Hann, Wu Wengkai, Lee Hyun-il dan Cheng Jin yang pernah memukau peminat-peminat badminton dunia. Yang saya pilih hanyalah pilihan peribadi saya.

Bagi mereka yang pendapat berbeza, sudi-sudikan lah memberi pandangan di petak komen di bawah.

*Gambar kredit: marcu3tan.blogspot.com

– 10 Pemain Badminton Terbaik Di Dunia

This Article Was Written By

ISMAIL N is the 'de facto' owner and editor-in chief of DuluLainSekarangLain.Com. A Human Resource practitioner in his normal daily life and consummate blogger in his free time. He is addicted to coffee and Manchester United. Most easily accessed via his Twitter account.

Ismail N

Leave a Comment

  • jayjay Reply

    bagi aku lagenda badminton single sepanjang zaman ialah michael doohan kerana dgn menggunakan bad pinpong beliau dgn slumber mjinakkan pemain single tbaik dunia. beliau juga manusia pertama bermain badminton menggunakan helmet full face utk mengelirukan pihak lawan.

    April 10, 2017, 1:01 am
  • lee Reply

    Kebanyakan analisis anda betul. Saya juga sering mengikuti perkembangan badmintaon dunia terutama 80’s dan 90’s

    November 17, 2014, 1:49 am
    • Ismail N Reply

      Terima kasih lee. Ada pertalian dengan DLCW ke? 😀

      November 17, 2014, 6:30 am
  • K!M¥*H Reply

    Bagi aku misbun yg paling terror

    June 2, 2014, 2:51 am
  • titan Reply

    dari segi tak putus asa..aku lebih tertarik dengan foo kok keong. satu gelanggang dia kejar. haha..

    December 16, 2013, 8:47 am
  • Denaihati Reply

    D Lee Chong Wei memang terbaiklah, mungkin faktor usia pun susah nak lawan Lin Dan yang selalu nampak ego tu..heee

    December 15, 2013, 12:31 pm
  • mrhanafi Reply

    wah…satu entri yang menarik…bro minat badminton macam saya juga ke?

    December 15, 2013, 2:44 am
  • hafizmd Reply

    Terbaiklah bro!

    Lengkap analisa utk senarai 10 pemain terbaik dunia. Ada yg tak sempat ambe tgk sendiri sbb bukan sezaman dgn ambe..hehe

    Lee Chong Wei pasti dikenang sbgai ahli sukan paling berjaya yg pernah dilahirkan.

    December 14, 2013, 11:23 pm