KampungKu: Bandar Maharani Muar

Bandar Maharani Muar

Artikel “Makan-Makan” Muar oleh Sam Cheong di Star Online telah membuatkan diri ini merasa terpanggil untuk menulis mengenai Bandar Maharani Muar. Kata orang-orang “tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain”.  Apabila Sam mula menyebut perkataan-perkataan sensitif seperti mee bandung, satay dan lontong, maka semakin rindu pula saya dengan kampung halaman.

Muar adalah daerah tanah tumpah, tempat membesar dan bermain saya. “Dulu lain sekarang lain”, namun Bandar Maharani Muar adalah tetap di hati dan dingati selalu.

Banyak kisah pahit manis dan suka duka yang masih segar dalam ingatan blogger ini. Mungkin pada hari ini boleh saya kongsikan sedikit  pembaca blog ini.

Sejarah Bandar Maharani Muar

Jika disingkapkan buku sejarah, Bandar Maharani Muar ini diktakan telah dibuka sekitar tahun 1884 (secara rasmi 1887) dan dinamakan bersempena isteri Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim.

Bandar ini diberi nama Bandar Maharani yang bermaksud BANDAR ISTERI MAHARAJA.

Istiadat perasmian pembukaannya dilakukan oleh Maharaja Abu Bakar dengan upacara menanam “azimat” di suatu tempat dikenali sebagai TANGGA BATU (tempat pengkalan penambang feri Muar). Sekarang kawasan ini adalah merupakan stesyen bas Muar-Melaka-Batu Pahat, iaitu tempat saya mengambil bas untuk pulang ke rumah dari sekolah dulu-dulu (zaman kanak-kanak).

Bandar Maharani telah berkembang menjadi sebuah pusat aktiviti pentadbiran dan perniagaan yang terbesar di kawasan Pantai Barat Johor. Ia juga merupakan ibu negeri Muar pada waktu itu. Sumber utamanya pada masa itu adalah gambir.

Bandar DiRaja Johor

Hari ini banyak aktiviti lain berlaku di daerah Muar dan Bandar Maharani. Dengan wujudnya kawasan-kawasan perindustrian, bandar ini tidak lagi bergantung kepada pertanian sebagai hasil utamanya.  Pada 5hb Februari 2012, Bandar Maharani Muar diistiharkan sebagai Bandar DiRaja Johor oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Satu penghormatan dan kebanggaan buat penduduk daerah Muar. Semoga lebih maju dan makmur lagi hendaknya.

Bandar-Maharani Muar

Bandar Pencen

Bandar Maharani Muar ini juga dipanggil sebagai “Bandar Pencen”. 😀 Mungkin ini sesuatu yang kurang sedap didengar tetapi memang hakikatnya ramai anak muda di bandar ini lebih gemar bekerja di tempat lain. Saya sendiri pun jauh di Kota Kinabalu Sabah, manakala kebanyakkan adik beradik saya berada di ibu kota, Kuala Lumpur dan Putra Jaya.

Namun, kami semua suka dan rasa segar bila pulang ke kampung. Udara bersih dan nyaman dan makanan selera kampung yang menyelerakan membuat anak-anak Muar sentiasa terpanggil untuk pulang ke kampung halaman.

Makanan Lazat Di Bandar Maharani Muar

Jika pulang ke Bandar Maharani Muar, pastinya saya tidak akan lupa ke kedai sate di Jalan Sisi milik keluarga jiran saya semasa di kampung dulu. Kedai itu milik peniaga cina yang menjual minuman di restoren itu, manakala keluarga jiran saya membayar sewa menjual sate, lontong dan mee rebus di sana. Sate dan mee rebusnya memang paling top di Bandar Maharani. Sedap giler!!!

Mee-Bandung-Muar

sate-muar

Sate Dan Mee Rebus

Semasa zaman persekolahan dulu, saya memang selalu makan di sana. Biasanya saya akan membeli suratkhabar Malay Mail terlebih dulu di kedai majalah yang berdekatan dan kemudiannya duduk makan sate dan mee rebus. Kadang-kadang tapau dan makan di rumah sahaja kalau terlalu ramai orang. Ada beberapa lagi kedai sate yang hebat-hebat di Jalan Abdullah dan di Jalan Meriam. Tak tahulah sekarang, masih banyak lagi atau tidak.

Selain dari sate dan mee rebus, Mee Bandung dan nasi beriyani gam juga merupakan tarikan utama orang-orang luar untuk jalan-jalan cari makan di Bandar Maharani.

Mee bandung Muar memang payah hendak di cari di tempat lain, lebih-lebih lagi di negeri Sabah ni. Itulah yang membuatkan saya teringat-ingat kanya selalu.

Begitu juga dengan rojak petis, nasi goreng kampung NGK Bas-stand Pagoh dan kopi apa? Kopi 434 ler…..

Tanjung Emas dan Tanjung Ketapang

Bagi mereka yang berkeluarga tentunya suka membawa keluarga ke Tanjung Emas dan Tanjung Ketapang. Ia semakin cantik sekarang berbanding zaman saya masih di bangku sekolah dulu. Dulu-dulu saya ke sana untuk berjogging dan cari rojak petis sahaja. Sekarang jika ke sana ialah untuk membawa anak-anak ke playground, melihat monyet liar  dan menikmati pemandangan cantik di sana.

Ia adalah antara tarikan utama pelancong ke Bandar Maharani.

Bandar Maharani Muar Johor

Monyet Muar

Kampungku Muar

Saya berharap untuk pulang ke Bandar Maharani Muar dalam masa terdekat nanti. Kalau tidak pun masa Hari Raya Aidil Fitri nanti. Banyak gambar-gambar bandar ini hilang berrsama laptop tahun lalu. 🙁  Oleh itu kena snap snap yang baru. Lagipun rindu juga pada keluarga di kampung. Bagi mereka yang belum pernah ke Bandar Maharani Muar, sudi-sudikan ke sana…

Bagi yang sudah pula, terima kasih daun keladi, lain hari datang lah lagi... 😀

KampungKu: Bandar Maharani Muar

6 Comments

  1. Salam,

    Pohon guna gambar clock tower di laman web saya dan saya akan letakkan url saudara di gambar tersebut. Terima kasih.

  2. wahhhh… mee bandung muar memang sodap sekali. selalunya
    kalau balik JB pasti akan singgah dekat RnR Pagoh.. ada mee
    bandung muar.. sodap3….

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons