Please disable Ad Blocker before you can visit the website !!!

Bolehkah Pekerja Menolak Untuk Berkerja Lebih Masa?

by Ismail N   ·  4 weeks ago   ·  
thumbnail

Satu lagi soalan yang sering ditanyakan oleh pembaca blog ini adalah persoalan berkenaan dengan kerja lebih masa: “Bolehkah majikan memaksa pekerja membuat kerja lebih masa?” atau “Bolehkah pekerja menolak untuk membuat kerja lebih masa?

Suka saya ingatkan disini, prinsip undang-undang buruh adalah berkait rapat dengan prinsip ‘natural justice‘. Majikan atau pekerja perlu memastikan tindak-tanduk mereka adalah munasabah dan adil di kaca mata pihak ketiga. Perlu ada pertimbangan antara hak pekerja mendapat layanan yang baik/adil dan hak majikan menjalankan perniagaan tanpa sebarang gangguan atau masaalah.

Lojiknya sebuah syarikat yang beroperasi dalam industri runcit, kesihatan, hospitaliti, pembinaan, keselamatan dan sebagainya memerlukan pekerja bekerja lebih masa. Contohnya: Hotel beroperasi selama 24 jam sehari dan untuk membolehkan operasi yang lebih efisyen, hotel akan memerlukan pekerja membuat kerja lebih masa dari semasa ke semasa.

HR Good Practice

HR Good Practice” merujuk kepada kaedah-kaedah yang dianggap sesuai yang Jabatan Sumber Manusia boleh gunakan bagi mengelakkan isu-isu berbangkit apabila pekerja sudah memulakan tugas mereka. Antara yang amat penting adalah membuat induksi apabila pekerja masuk bertugas. Ingat ia tidak WAJIB, cuma jika dipraktikan salah faham antara pekerja dan majikan dapat dikurangkan.

Semasa induksi, maklumkan kepada pekerja yang mereka akan diperlukan membuat kerja lebih masa dari semasa ke semasa. Terangkan dengan jelas cara perlaksanaan dan bayaran untuk kerja lebih masa. INGAT: Sebaiknya maklumkan kepada pekerja yang mereka boleh dikenakan tindakan DISIPLIN termasuk boleh diBUANG KERJA jika enggan melakasanakan kerja lebih masa yang diarahkan tanpa alasan yang munasabah.

Bolehkah majikan memaksa pekerja membuat kerja lebih masa?

Perkataan ‘memaksa‘ yang sering digunakan oleh pembaca ketika menulis komen/soalan kepada kami rasanya agak kurang sesuai. Bila ada paksaan, biasanya melibatkan kekerasan dan keganasan. Bila wujud elemen sebegini, ia sudah menjadi seperti kes jenayah pula dan boleh dilaporkan kepada pihak polis. Di bawah Akta Kerja (Pindaan) 2022, elemen sebegini boleh jatuh di bawah kesalahan ‘Buruh Paksa‘ dan majikan boleh dikenakan tindakan.

Biasanya berdasarkan pengalaman saya, ia lebih kepada situasi di mana majikan meminta pekerja berkerja di luar waktu kerja biasa mereka dan pekerja agak keberatan di atas sebab-sebab tertentu. Maka, terdapat konflik di sini yang perlu diselesaikan dengan baik dan jangan hanya melihat dari sudut undang-undang sahaja.

Berdasarkan pengalaman juga, pekerja amat jarang menolak OT jika ia telah diatur dengan baik iaitu bila ada roster atau jadual yang membolehkan pekerja bersedia lebih awal. Tambahan lagi jika OT dibayar mengikut kadar yang dipersetujui mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.

Kebanyakan kes-kes pekerja menolak OT adalah kes-kes yang mana kerja lebih masa ini adalah mengejut/kes kecemasan. Situasi tersebut berlaku mungkin kerana:-

  • Ada pekerja yang berhenti mengejut;
  • Ada pekerja yang ponteng (AWOL);
  • Kerja-kerja kecemasan (biasanya di kilang/loji/hospital);
  • Lawatan mengejut VIP;
  • Dan sebagainya.

Apabila terjadinya situasi seperti ini, ‘HR Good Practice‘ yang saya sebutkan di atas akan memainkan peranan penting dalam mahkamah menyelesaikan pertikaian antara majikan dan pekerja.

Soalan yang mungkin ditanyakan oleh mahkamah:-

  • Adakah majikan telah menerangkan dengan jelas kepada pekerja tentang kerja lebih masa yang perlu mereka buat dalam situasi kecemasan?
  • Adakah pekerja faham dan bersetuju sebelum memasuki kontrak kerja?
  • Adakah alasan untuk pekerja menolak kerja lebih masa adalah munasabah?
  • Adakah pekerja faham bahawa menjadi satu kesalahan untuk menolak arahan kerja lebih masa?
  • Adakah kerja lebih masa merupakan sesuatu yang biasa (common practice) dalam industri?

Dalam kes Cathay Organisation (M) Sdn Bhd v D National Union of Cinema & Amusement Workers [1985] 1 ILR 721, Majikan telah mengarahkan pekerja untuk membuat kerja lebih masa selama setengah jam setiap minggu berdasarkan roster kerja di pawagam mereka. Pekerja enggan berbuat demikian dan beliau telah dibuang kerja. Pekerja membuat aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Mahkamah Perusahaan memutuskan pembuangan kerja oleh majikan adalah munasabah dan tuntutan pekerja ditolak. Tindakan pekerja tidak mahu melakukan kerja lebih masa adalah satu kesalahan melanggar printah (insubordination).

Hakim Mahkamah Perusahaan telah mengkaji amalan dalam industri terutama bagi filem-filem tayangan larut malam dan berpuas hati ia adalah amalan biasa yang memerlukan majikan mengarahkan pekerja bekerja lebih masa agar operasi syarikat lebih efisien.

Di dalam kes Syarikat Perniagaan Ocean (M) Sdn Bhd v Kesatuan Pekerja-pekerja Pembekal-pembekal Perkhidmatan Sampingan Pelabuhan [1988] 2 ILR 88, empat orang pekerja telah dibuang kerja kerana tidak melakukan kerja lebih masa atas alasan-alasan tertentu. Bezakan kes ini dengan kes pertama tadi yang mana pekerja-pekerja ini bukan tidak mahu buat OT tetapi ada sebab yang membuatkan mereka tidak dapat membuat kerja lebih masa tersebut.

Antara alasan pekerja di dalam kes ini termasuk bapa sakit, urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan dan kenduri arwah bapa.

Keputusan mahkamah perlu dibaca dengan teliti dalam kes ini. Mahkamah tidak mengenepikan hak majikan untuk mengarahkan pekerja membuat kerja lebih masa. Akan tetapi mahkamah berpendapat hukuman pembuangan kerja adalah tidak adil buat pekerja.

Seterusnya, dalam kes Subramaniam Mookayah v Nestle Products Sdn Bhd [2008] 2 ILR 223, pekerja diarahkan untuk melakukan kerja lebih masa, namun pekerja memaklumkan kepada majikan dia tidak dapat mengesahkan sama ada dia boleh berbuat demikian kerana dia perlu merujuk isterinya yang sakit terlebih dahulu. Akibat dari tindakan itu, dia dibuang kerja.

Dalam memberi keputusan yang memihak kepada pekerja, Hakim Mahkamah Perusahaan memaklumkan bahawa pekerja hanya memohon masa untuk menguruskan isu peribadinya (isteri sakit) dan bukannya menolak untuk membuat kerja lebih masa. Mahkamah juga merujuk kepada sejarah perkhidmatan pekerja yang selama 17 tahun sentiasa bersedia untuk melakukan kerja-kerja lebih masa. Tindakan majikan memecat pekerja adalah dianggap tidak munasabah dan adil.

Kesimpulan

Dalam isu kerja lebih masa, Mahkamah Perusahaan menghormati hak majikan untuk menjalankan operasi dengan lebih efisen termasuk memerlukan pekerja melakukan kerja lebih masa. Bergantung kepada situasi dan industri, keengganan pekerja melakukan kerja lebih masa boleh menjadi satu kesalahan berat yang memberi justifikasi kepada majikan untuk mengenakan tindakan disiplin termasuk memecat pekerja.

Namun, ianya perlu diseimbangkan dengan situasi pekerja semasa kerja lebih masa diarahkan. Mahkamah akan melihat sama ada alasan yang diberikan adalah boleh dipercayai/munasabah (genuine). Dalam kes-kes di mana jadual kerja lebih masa telah disediakan, pekerja hendaklah memberikan alasan yang lebih padu atau situasi yang dihadapi benar-benar kecemasan sehingga tidak dapat melakukan kerja lebih masa itu.

Untuk itu, kedua-dua pihak perlu menyediakan bukti-bukti yang kukuh termasuk saksi dan dokumen (surat sakit dari doktor contohnya) untuk meyakinkan mahkamah. Pihak majikan disarankan mengamalkan HR Good Practice sebagai bukti yang arahan-arahan adalah adil dan mengambil kira kebajikan pekerja.

Bagi pekerja yang dilindungi oleh Akta Kerja, mana-mana kerja lebih masa yang dilakukan hendaklah dibayar pada kadar yang ditetapkan oleh Akta. Had maksima kerja lebih masa turut dinyatakan dalam Akta Kerja dan Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak.

 

1 Comment

  1. Hani

    Salam Tuan,

    boleh saya dapatkan penjelasan, adakah OT termasuk waktu travelling ke tempat @ lokasi OT….selama yang kami implement tidak termasuk..kerana elaun travelling telah dibayar

     

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.