Dulu Lain Logo
Cuti Sakit Berbayar Cuti Sakit Berbayar
Selain daripada hari rehat, cuti hari kelepasan am dan cuti tahunan, pekerja-pekerja juga adalah berhak kepada cuti sakit berbayar. Menurut Seksyen 60F Akta Kerja... Cuti Sakit Berbayar
cuti sakit

Gambar kredit kepada allyhunt.com

Selain daripada hari rehat, cuti hari kelepasan am dan cuti tahunan, pekerja-pekerja juga adalah berhak kepada cuti sakit berbayar. Menurut Seksyen 60F Akta Kerja 1955, seseorang pekerja berhak mendapat cuti sakit berbayar apabila memenuhi syarat-syarat di bawah:-

  1. pemeriksaan dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar yang dilantik oleh majikannya; atau [Seksyen 60F (1(a)]
  2. jika tiada pengamal perubatan sedemikian atau dalam keadaan tertentu ia tidak didapati pada masa dan jarak yang munasabah, maka boleh diperiksa oleh pengamal perubatan lain ; atau [Seksyen 60F (1(b)]
  3. pemeriksaan oleh doktor gigi sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Pergigian 1971; [Seksyen 60F (1A)]

DAN,

dengan syarat juga – pekerja memberitahu majikannya akan cuti sakit itu dalam masa 48 jam daripada cuti sakit itu bermula. [Seksyen 60F (2(b)]

Nota: Maksud “pengamal perubatan” – ertinya pengamal perubatan yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 [Seskyen 2 Akta Kerja 1955].

Kegagalan Mematuhi Syarat-Syarat Untuk Cuti Sakit Berbayar

Di bawah Seksyen 60F(2) Akta Kerja 1955 – mana-mana pekerja yang tidak mematuhi syarat-syarat di atas dianggap sebagai tidak hadir kerja tanpa kebenaran majikannya dan tanpa alasan munsabah bagi hari-hari yang ia tidak hadir kerja.

Bilangan Cuti Sakit Berbayar Yang Pekerja Berhak

Bilangan hari bagi cuti sakit berbayar (jika tiada hospitalisasi) adalah bergantung kepada tempoh perkhidmatan seseorang pekerja itu iaitu:

  • 14 hari kesemuanya setiap tahun kelendar jika pekerja telah bekerja kurang dari dua tahun;
  • 18 hari kesemuanya setiap tahun kelendar jika pekerja telah bekerja untuk dua tahun atau lebih tetapi kurang dari lima tahun;
  • 22 hari kesemuanya setiap tahun kelendar jika pekerja telah bekerja untuk lima tahun atau lebih;

– [Seksyen 60F(1) (aa) Akta Kerja 1955]

Hospitalisasi

Jika terdapat hospitalisasi (pekerja dimasukkan ke dalam hospital bagi menerima rawatan), maka jumlah cuti sakit hendaklah 60 hari kesemuanya pada satu tahun kalendar.

Dengan syarat jumlah bilangan cuti sakit berbayar dalam satu tahun kalendar dimana seseorang pekerja berhak di bawah seksyen ini tidak boleh melebihi 60 hari keseluruhannya.

Ilustrasi:

John telah bekerja dengan Sykt DLSL selama 6 bulan. Pada bulan Januari lalu, dia telah mengambil dua hari cuti sakit berbayar. Dua bulan lepas, dia mengalami kemalangan jalanraya dan dimasukkan ke dalam hospital selama 55 hari (hospitalisasi). Maka, berapakah cuti berbayar yang tinggal buat John bagi tahun ini?

John telah bekerja 6 bulan, maka kelayakkan bagi pekerja yang perkhidmatannya kurang  dari 2 tahun adalah = 14 hari.

Dia telah pun mengambil 2 hari cuti sakit  berbayar.

Dia telah dihospitalisasi selama 55 hari.

55 + 2 = 57 hari cuti berbayar telah digunakan oleh John.

Maksima cuti berbayar setahun = 60 hari, maka cuti sakit berbayar yang tinggal buat John ialah 60 – 57 = 3 hari sahaja.

Kadar Bayaran

Mengikut Seksyen 60F (3), majikan hendaklah membayar cuti sakit berbayar kepada pekerja pada kadar biasa bagi pekerja yang di bayar gaji harian.

Bagi pekerja yang dibayar gaji bulan pula: pekerja dianggap telah menerima bayaran cuti sakitnya jika dia menerima upah bulanannya tanpa potongan gaji bagi hari-hari dia mengambil cuti sakit dalam bulan itu.

Nota Tambahan

Pekerja yang menerima elaun bersalin dan faedah kerana ketidakupayaan di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 atau pembayaran berkala kerana hilang upaya sementara di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1952 tidak berhak menerima cuti sakit berbayar daripada majikan mereka [Seksyen 60F (4)]

soalan dan kemusykilan

Ismail N

ISMAIL N is the Chief Blogger/Blog Owner. An HR practitioner in his normal daily life & a casual blogger in his free time. Addicted to coffee, Man Utd and Pokemon Go (TL40). Most easily accessed via his Twitter account.