Cuti Umum Tambahan Sempena Hari Krismas di Sabah

 

Pada 11 Disember yang lepas, Y.A.B. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah mengisytiharkan 24 Disember sebagai cuti umum tambahan atau hari kelepasan am tambahan di Sabah sempena Hari Krismas (Natal). Cuti umum tersebut adalah bagi menghidupkan semula amalan cuti 2 hari sempena sambutan hari Krismas yang sebelum ini diamalkan di Sabah sehingga ia dihentikan pada akhir 1970-an. 

Siapa yang berkuasa untuk menambah atau mengurangkan cuti umum di Sabah?

Sungguhpun pengumuman tersebut belum lagi diwartakan, kami difahamkan bahawa cuti tersebut akan dijadikan suatu cuti umum tahunan di Sabah, iaitu bermaksud ia akan dimasukkan ke dalam Jadual pada Ordinan Hari Kelepasan Sabah (Bab 56) atau Holidays Ordinance (Sabah Cap. 56). S.3(4) Ordinan tersebut memberikuasa kepada Yang Di-Pertua Negeri Sabah (TYT) untuk meminda Jadual di dalam Ordinan tersebut.

Berikut adalah 19 hari kelepasan am atau cuti umum tahunan (tanpa mengambil kira hari Ahad) yang dinyatakan dengan jelas di dalam Ordinan tersebut:

First Schedule, Holidays Ordinance (Sabah Cap. 56)

Ordinan Hari Kelepasan memperuntukkan kuasa TYT untuk meminda Jadual di atas dalam S.3(4) :

The Yang di-Pertua Negeri may, by order, amend the Schedules.”

Cuti Umum Tambahan [Seksyen 9]

S.9 Ordinan tersebut juga memberi kuasa kepada TYT untuk mentetapkan suatu hari khas sebagai cuti umum seperti berikut:
The Yang di-Pertua Negeri may at any time, by notification in the Gazette appoint a special day to be observed as a Public Holiday or as a Bank Holiday in addition to or in substitution for any of the days mentioned in the Schedules, and thereupon this Ordinance shall be applicable to such day in the same manner as if the said day had been mentioned in the First Schedule or the Second Schedule.

S.2(1) Ordinan tersebut menyatakan bahawa:
Public Holiday” means a day which, subject to the provisions of section 4, shall be a dies non and shall be kept as a holiday by all banks, educational establishments, public offices and Government departments.”

Ini bermaksud, cuti-cuti umum yang dinyatakan dalam Jadual di atas hanya wajib diikuti oleh bank, pusat pendidikan, pejabat awam dan jabatan kerajaan sahaja.

Bagaimana pula dengan pekerja swasta?

head scratch

Ia bergantung kepada sama ada cuti tambahan tersebut adalah cuti khas atau tambahan kepada cuti tahunan.

Adakah Cuti Tambahan ini Cuti Khas atau Cuti Tahunan?

Berikut adalah contoh warta kerajaan negeri Sabah bagi cuti umum khas sempena pertabalan DYMM Yang di-Pertuan Agong:

Hari Kelepasan Am Tambahan G.N. No 173 of 2019

Manakala di bawah ini pula contoh warta kerajaan negeri Sabah yang menetapkan tarikh cuti umum tambahan (Hari TYT yang jatuh pada Sabtu pertama setiap bulan Oktober) di bawah Jadual Pertama, Ordinan Hari Kelepasan Sabah:

Hari Jadi TYT Sabah (G.N. No. 671 of 2010)

Ayat yang digunakan berbeza, bukan? Dan kami juga agak musykil mengapa bukan nama TYT pada warta di atas dan mengapa tiada nama sesiapa pada G.N. No. 173 tahun 2019? Misteri…

Jika benar niat kerajaan negeri adalah untuk menjadikan cuti tambahan Krismas yang diumumkan ini sebagai cuti tahunan, kami berpendapat ia bukan cuti umum khas sebagaimana yang diperuntukkan di bawah S.103(1)(b) OBS tetapi cuti umum tambahan kepada Jadual Pertama, Ordinan Hari Kelepasan Sabah. Kami juga merasakan seksyen yang sesuai untuk pindaan sebegini adalah Seksyen 3.

Apakah Kesan Cuti Umum Khas dan Cuti Umum Tahunan?

Kesan yang penting yang perlu dilihat adalah dari segi sama ada cuti umum itu cuti berbayar atau tidak. Ia menjadi cuti umum berbayar jika pekerja adalah dilindungi di bawah Ordinan Buruh Sabah.

Sebagaimana yang kami terangkan di dalam artikel-artikel kami sebelum ini, TIDAK semua pekerja dilindungi di bawah Akta Kerja/Ordinan Buruh Sabah/Ordinan Buruh Sarawak. Bagi pekerja di Sabah, secara amnya, Ordinan Buruh Sabah (OBS) cuma terpakai kepada pekerja yang bergaji tidak melebihi RM2500 atau jatuh di bawah kategori-kategori pekerja yang disebut di dalam Jadual OBS.

Sekiranya cuti tambahan ini adalah CUTI UMUM KHAS (atau cuti peristiwa seperti cuti pertabalan Yang d-Pertuan Agong misalnya), maka:

A. Bagi pekerja yang dilindungi di bawah OBS:

S.103(1)(b) OBS memperuntukkan bahawa majikan WAJIB memberikan cuti tersebut kepada pekerja yang dilindungi di bawah OBS. Jika majikan tidak berupaya untuk membenarkan pekerja mereka bercuti pada 24 Disember nanti, maka majikan boleh menggantikan cuti tersebut pada hari lain atau membayar upah cuti umum.

B. Bagi pekerja yang tidak jatuh dalam kategori yang disebut di Jadual OBS:

mereka berhak menikmati cuti itu jika terma kontrak menyatakan mereka berhak kepada semua cuti umum negeri dan persekutuan. Jika terma kontrak menghadkan bilangan cuti tahunan, maka ia bergantung kepada budibicara majikan.

Sila rujuk artikel terdahulu kami mengenai cuti umum khas.

Sekiranya ia bukan cuti umum khas tetapi cuti umum tahunan, maka sama ada pekerja berhak menikmatikan cuti tersebut bergantung kepada:
  1. terma dan syarat kontrak pekerjaan
  2. budibicara majikan
NOTA: *Bagi pekerja yang tidak disebut di dalam Jadual OBS, hak mereka adalah berdasarkan terma dan syarat di dalam kontrak pekerjaan.

tawaran kontrak

Adakah semua majikan di Sabah perlu memberikan cuti umum tersebut kepada pekerja mereka?

Rujuk kembali penerangan di atas. Jika ianya cuti umum tahunan, maka melainkan dinyatakan sebaliknya di dalam warta kerajaan yang dijangka akan diterbitkan pada minggu ini, cuti umum pada 24 Disember merupakan:

  1. cuti pilihan (optional) jika terma dan syarat kontrak perkhidmatan menyatakan bahawa pekerja cuma berhak kepada sejumlah cuti umum setahun (tertakluk kepada minimum 14 hari setahun berdasarkan S.103 SLO).
  2. cuti wajib jika terma dan syarat kontrak perkhidmatan menyatakan bahawa pekerja berhak kepada kesemua cuti umum negeri (dan persekutuan);

Dalam situasi #1, majikan berhak untuk tidak memberikan cuti tersebut kepada pekerja mereka.

Dalam situasi #2 atau jika majikan dengan sukarela memilih untuk memberikan cuti tersebut kepada pekerja, maka majikan perlu:

  • memaklumkan semua pekerja bahawa 24 Disember merupakan hari cuti umum; dan
  • jika pekerja perlu bekerja pada hari tersebut, maka mereka berhak kepada bayaran upah pada kadar cuti umum atau berhak kepada cuti ganti pada hari lain; atau
  • jika hari tersebut merupakan hari cuti rehat pekerja, S.103 SLO memperuntukkan bahawa hari bekerja berikutnya menjadi hari cuti umum ganti (iaitu 26 Disember, jika 25 Disember adalah cuti umum pekerja tersebut).

Apa Akibat Jika Pekerja Ponteng?

Sekiranya pekerja gagal hadir kerja tanpa kebenaran atau tanpa alasan munasabah sehari sebelum atau selepas hari cuti umum (cuti ganti) tersebut (contoh jika berhak kepada 2 hari cuti umum Krismas dan pekerja ponteng kerja pada 23 atau 26 Disember), S.103(4) SLO memperuntukkan bahawa pekerja itu tidak berhak mendapat upah cuti umum melainkan dia ada alasan yang munasabah. Ertinya, pekerja akan tidak dibayar gaji pada hari dia ponteng dan hari cuti umum berkenaan.

Kesimpulan

Cuti yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah tersebut secara automatik boleh dinikmati oleh :

  • pekerja-pekerja jabatan kerajaan, bank, pusat pendidikan dan pejabat awam; dan
  • pekerja yang mana terma kontrak kerja atau company handbook syarikat menyatakan bahawa mereka berhak kepada semua cuti umum negeri dan persekutuan.

Cadangan untuk Kerajaan Negeri Sabah

Sudah lebih 18 bulan kerajaan baru memerintah di Sabah. Selepas PRU pada 2018 dahulu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan cuti umum khas sempena PRU, tetapi kerajaan negeri Sabah diam menyepi. Pertanyaan oleh pekerja dan majikan tidak mendapat sebarang tindakbalas. Maklumlah, waktu itu masih newbie dan berlaku krisis tentang kesahihan kerajaan baru.

Namun kini, kami berpendapat kerajaan sepatutnya sudah lebih stabil. Lagipun, terdapat ramai kakitangan kerajaan negeri Sabah yang berpengalaman dan berpengetahuan tentang undang-undang. Mereka sentiasa bersedia untuk membantu YAB Ketua Menteri.  

Oleh itu, di masa hadapan, kami berharap pihak kerajaan negeri akan menyediakan kenyataan rasmi sekiranya ingin mengumumkan sebarang cuti khas atau tambahan bagi mengelakkan kesulitan dan kekeliruan dihadapi oleh para majikan dan pekerja di sektor swasta.

Kami percaya pengumuman sebegini bukan dibuat tanpa perundingan atau ‘on the spur of the moment’‘ oleh YAB Ketua Menteri. Suatu kenyataan rasmi tentang cuti boleh disediakan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman tentang cuti dibuat, Dokumen rasmi tersebut boleh dijadikan sumber rujukan oleh ramai. Berita di dalam akhbar tidak boleh menggantikan warta kerajaan.

Sekurang-kurangnya, keluarkanlah kenyataan rasmi seperti ini:

Susahkah….? Kalau susah, kami sedia membantu……🤩 

5 thoughts on “Cuti Umum Tambahan Sempena Hari Krismas di Sabah

    1. Wa’alaikumsalam. Tidak ada peruntukan tertentu yg membezakan antara majikan swasta dari syarikat atau persatuan/NGO, dll. Asalkan hubungan itu mempunyai elemen majikan dgn pekerja, maka ia tertakluk kpd Akta Kerja/Ordinan Buruh. Utk keterangan lebih lanjut, sila berhubung dgn pejabat JTK terdekat.

  1. Assalamualaikum admin, sy ingin bertanya tentang kerja. Sy mula cuti bersalin pada 17 November 2019 sehingga 15 January 2020. Namun pada 23 December 2019, majikan sy menghubungi sy untuk menyuruh sy membuat perletakan jawatan dan menghantar notis sebulan kepadanya dengan alasan mereka menemui peganti saya. Apabila sy bertanya tentang pampasan, majikan memberi pilihan untuk naik bekerja pada 16 January 2020 (bekerja selama sebulan) dan terus memberikan notis perletakan jawatan. Adakah sy berhak membuat aduan buruh ?

    1. Wa’alaikumsalam Puan.
      Ya, puan blh buat aduan di JTK, jika gaji puan di bawah RM5,000.
      Kalaupun puan masih dlm tempoh percubaan misalnya, majikan tetap tidak blh memberhentikan puan tanpa alasan yg munasabah (https://dululainsekaranglain.com/undang-undang/tempoh-percubaan-dan-pengesahan-dalam-jawatan)
      Kami sarankan puan jgn serah notis letak jawatan, biar majikan yg keluarkan notis pemberhentian. Sekiranya puan tidak mahu bekerja dgn syarikat tersebut, puan berhak kpd bayaran ganti notis dan jika puan telah berkhidmat lebih 12 bulan (gaji tidak lebih RM2000 utk pekerja di Semenanjung Malaysia), puan jg berhak kpd faedah pemberhentian.
      Sila rujuk artikel kami utk maklumat tambahan : https://dululainsekaranglain.com/undang-undang/cuti-bersalin-dan-faedah-bersalin

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.