Debt Collector Dan Hutang Dengan Bank

Hutang

Isu hutang dengan bank dan debt collector ini ada disentuh di blog ini kira-kira 8 tahun yang lalu, menerusi artikel DLSL ‘Saman Dari Bank”. Sungguhpun artikel itu sudah lapuk dan petak komen telah ditutup, kami masih kerap menerima soalan dan emel daripada pembaca yang dikejar oleh debt collector atau bank.

Soalan Pembaca

Contohnya, baru-baru ini, DLSL telah menerima soalan berikut:

Rakan sekerja saya dihubungi oleh bill collector utk pinjaman motosikal selepas 9 tahun. Motor itu sudah dicuri orang dan laporan polis telah dibuat. Sehingga kini, tiada tindakan oleh pihak polis. Sekarang collector memaksa dia untuk membayar RM20k iaitu jumlah pinjaman dan faedah. Saya kesian dgn kawan saya ini sebab sekarang dia naik bas saja ke tempat kerja. Mohon nasihat puan.”

Sebagaimana yang kami tekankan dalam ‘Disclaimer Page’ kami, penulisan dalam blog DLSL adalah bersifat ilmiah dan bukan bahan rujukan muktamad anda. Kami menulis untuk berkongsi maklumat yang kami harap dapat membantu para pembaca membuat keputusan terbaik. Kos hidup dan stres kerja kini semakin meningkat. Jika dapat melepaskan diri dari bebanan hutang, maka usaha untuk memperbaiki kualiti hidup dan membuat simpanan untuk hari tua akan menjadi lebih mudah.

 

Debt Collector dan Hutang dengan Bank

Dalam menangani isu debt collector dan hutang dengan bank, banyak perkara perlu diambil kira. Antaranya, faktor had masa mungkin menjadi suatu pembelaan (defence).

Amnya, jika lebih 6 tahun sudah berlalu sejak pemiutang (bank/bill collector) menuntut hutang tersebut dan penghutang tiada membuat sebarang pengesahan atau pembayaran terhadap hutang tersebut, maka besar kemungkinan tuntutan itu time-barred’ dan tidak boleh difailkan di mahkamah. Ini kerana, Seksyen 6(1), Akta Had Masa 1953, memperuntukkan bahawa sesuatu tindakan yang terbit daripada kontrak haruslah dibawa ke mahkamah dalam tempoh masa 6 tahun.

AMBIL INGATAN, Akta ini adalah untuk tujuan pembelaan dan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu dan bukan terpakai secara automatik dalam semua kes. Ia bergantung kepada fakta kes dan nasihat guaman adalah digalakkan, jika perlu.

Bagi mereka yang tinggal di Sabah atau Sarawak, sila rujuk Limitation Ordinance negeri untuk mengetahui tempoh had masa yang sesuai.

 

Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kewangan (AKPK)

Jika penghutang merasakan pihak bank masih boleh memfailkan tuntutan terhadap beliau atau ingin membuat pembayaran secara ansuran tetapi terma pihak bank di luar kemampuan beliau, kami syorkan beliau segera mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak AKPK . Maklumat dan nasihat yang diberikan oleh pihak AKPK akan membantu beliau untuk membuat keputusan yang terbaik berdasarkan situasi kewangan beliau.

Bagi pembaca lain, jika anda :

  1. Merasa tertekan oleh pihak pemiutang kerana mereka sering membuat panggilan telefon berulang kali sehingga mengganggu kerja
  2. Penjadualan semula yang ditetapkan oleh pihak bank adalah di luar kemampuan anda dan mereka tidak mahu bertolak-ansur
  3. Mempunyai terlalu banyak bebanan hutang (kad kredit, pembiayaan peribadi, pinjaman perumahan, dll)
  4. Terpaksa menanggung kadar faedah yang terlalu tinggi
  5. Diugut akan disaman oleh institusi kewangan

Program Pengurusan Kredit (PKK) AKPK mungkin jalan terbaik untuk membantu anda melangsaikan hutang tersebut kerana mereka dapat berunding dengan pihak bank untuk menurunkan:

  • jumlah hutang;
  • jumlah bayaran bulanan;
  • kadar faedah.

Sila lawati laman APKP untuk maklumat lanjut berkenaan PKK dan kebaikan menyertai program tersebut. 

Sebaiknya anda fahami dahulu kesan mendaftar dengan Program Pengurusan Kredit (Debt Management Program) AKPK sebelum mengambil keputusan. Dan jika anda telah berumahtangga, pastikan anda berbincang dahulu dengan pasangan anda.

Pengalaman Peserta AKPK

Kami syorkan anda baca artikel di blog-blog berikut di mana para penulis berkongsi maklumat berkenaan APKP. Antara lain, terdapat gambaran, pandangan serta tips berkenaan pengalaman peserta program PKK AKPK yang berjaya melangsaikan hutang mereka (baca juga ruangan komen pembaca tetapi abaikan komen spam Ah Long) :

 

Beban Hutang Menggugat Kualiti Hidup

Sungguhpun kadar gaji minima meningkat setiap 2 tahun, beban kewangan kebanyakan rakyat Malaysia tetap tidak berkurang kerana kos hidup juga sentiasa meningkat. Ini sekaligus mengurangkan kuasa beli anda semua sebagai pengguna tidak kira sama ada anda golongan B40 atau M40.

Siapakah Golongan B40 dan M40?

  • Golongan B40 merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan di bawah RM3,860. Ia juga merangkumi isi rumah miskin yang berpendatapan bulanan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan nasional RM950 sebulan.
  • Golongan M40 merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan di antara RM3,860 hingga RM8,319.

Berdasarkan kategori di atas, boleh disimpulkan bahawa individu bujang yang tinggal sendiri dan bergaji di bawah RM3,860 adalah termasuk dalam golongan B40. 

Anggaran Perbelanjaan Bulanan berdasarkan Belanjawanku 

Jika kita rujuk Belanjawanku (Lembah Kelang) yang dikeluarkan oleh pihak KWSP, pasangan yang mempunyai 2 orang anak memerlukan sekurang-kurangnya RM6,620 sebulan. Itu belum lagi mengambil kira isu debt collector dan hutang dengan bank, kalau ada. Oleh itu, bukan golongan B40 dan M40 sahaja akan struggle, golongan T20 (isi rumah yang berpendapatan bulanan di RM8,319 dan ke atas) pun akan merasa beban kewangan jika menanggung 4 orang anak yang masih belajar di samping membayar hutang-hutang lain.

Bagi yang masih bujang, bergaji minima RM1,100, menyewa bilik dan menggunakan kenderaan awam, Belanjawanku menganggarkan perbelanjaan bulanan sebanyak RM1,870.  Bagi siswazah pula, sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan, mereka telah dibelenggu oleh hutang PTPTN dan sebagainya. Realitinya, tidak ramai siswazah yang dapat gaji melebihi RM1,870 semasa mula bekerja. 

Pendekatan Holistik Untuk Meningkatkan Kualiti Hidup

DLSL berpendapat untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat terutama golongan B40, pendekatan yang holistik atau menyeluruh adalah jalan terbaik. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Prof Datuk Dr Denison Jayasooria, Felo Utama Institut Kebangsaan Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  “Banyak pertimbangan yang perlu diambil kira seperti kos pengangkutan awam, perumahan bagi golongan miskin, peluang pekerjaan dan perniagaan, keselamatan awam, kesihatan dan penjagaan di usia tua…. Semua isu berkenaan perlu ditangani dan sebab itu ada keperluan supaya semua pihak sama ada kerajaan, swasta dan masyarakat bekerjasama bagi mengatasi kemiskinan.”

Selain usaha padu pihak kerajaan untuk memperbaiki infrastruktur awam (pengangkutan awam, rumah kos rendah, bantuan sara hidup, dll), pekerja juga bertanggungjawab untuk meningkatkan kemahiran dalam pekerjaan, berbelanja dengan berhemah dan meningkatkan disiplin diri. 

Adalah diharap pihak majikan akan membantu pekerja untuk meningkatkan kemahiran bukan sahaja yang berkaitan dengan kerja tetapi juga kemahiran pengurusan kewangan peribadi.  

Semoga artikel ini bermanfaat untuk anda.

6 thoughts on “Debt Collector Dan Hutang Dengan Bank

  1. p/s menjawab pertanyaan, kat Da Nang tak banyak org jual kain ela mcm kat HCM. kalau ada pun tak sampai 10 buah. lg satu sbb da nang lbh popular sbg destinasi alam semula jadi, bkn pusat tumpuan membeli belah

  2. sedih bila tgk yg muda2 lagi dah isytihar bankrup… apa yg sy nmpk kat sini, golongan muda tak ada ilmu dlm pengurusan kewangan. bila dpt kerja, gaji pertama beli kereta pd hal sblm ni ok je dia pergi kerja naik lrt sbb rumah sebelah stesen

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.