Soalan Undang-undang Pekerjaan Pilihan: Hamil semasa Tempoh Percubaan

Selain soalan-soalan di petak komen, pihak kami juga kerap menerima soalan-soalan melalui emel. Terus-terang kami nyatakan di sini, kami tidak mampu menjawab soalan emel kerana kekangan masa. Emel DLSL kami khaskan untuk perkara yang berhubung dengan pengurusan blog ini dan pertanyaan pelanggan. Petak komen pula kami khaskan untuk para pembaca DLSL.

Mengurus blog bukanlah perkara yang mudah mahupun murah. Banyak kos dan masa diperlukan. Bekerja sepenuh masa di pelbagai syarikat, kami bukannya ‘experts‘ dalam bidang HR (human resource) mahupun IR (industrial relations). Kami adalah bloggers yang sekadar berkongsi pengalaman dan pengetahuan setakat yang termampu. Sesungguhnya kami mempunyai banyak kelemahan dan ada masa kami memang tidak dapat menjawab kesemua soalan. Diharap para pembaca dapat memahami situasi kami.

Kadangkala, ada soalan yang memang rumit untuk dijawab tetapi terlalu penting untuk dikongsi dengan para pembaca dan followers DLSL. Oleh itu, para admin DLSL telah bersetuju untuk mengembleng tenaga dan pengetahuan kami untuk memberi ruang kepada soalan-soalan sedemikian.

Soalan pilihan ini kami pilih kerana:

  1. tidak boleh dijawab dengan sekadar ‘Ya’ atau ‘Tidak’ sahaja
  2. jawapan ringkas mungkin akan mengelirukan pembaca
  3. ia wajar dikongsi dengan semua dan bukan setakat berada di kotak komen artikel tertentu



Soalan Undang-undang Pekerjaan Pilihan DLSL : Hamil Semasa Tempoh Percubaan

Soalan berkenaan undang-undang pekerjaan (buruh) pilihan DLSL pada bulan ini adalah mengenai hak pekerja yang hamil khususnya pekerja yang masih dalam tempoh percubaan (probationary period).  Sila baca artikel kami tentang Tempoh Percubaan dan Pengesahan dalam Jawatan untuk maklumat lanjut mengenai pekerja yang dalam tempoh percubaan.

Berikut adalah soalan pembaca:

Assalamu’alaikum,
Mohon pandangan berkenaan hak2 pekerja, terutamanya wanita.
1. Bolehkah majikan memberhentikan pekerja yang hamil dalam tempoh percubaan?
2. Bolehkah majikan memberhentikan pekerja wanita yang hamil dalam tempoh percubaan dengan dakwaan pekerja tersebut merahsiakan kehamilan sebelum diambil berkerja? (Syarikat saya bekerja memang ada tanya tentang status kehamilan sebelum diambil bekerja)
3. Adakah tertulis di dalam akta undang2 pekerja yang menyatakan wanita tidak boleh hamil di dalam tempoh percubaan, (dalam polisi syarikat juga tidak menyatakan perkara ini).?
4. Adakah mana-mana syarikat dibenarkan menetapkan syarat/polisi boleh/tidak boleh hamil terhadap pekerja wanita dalam tempoh tertentu?
5. Apakah tindakan yang boleh di ambil jika perkara ini berlaku dimana majikan memaksa pekerja wanita yang disahkan hamil dalam tempoh percubaan terutamanya untuk meletak jawatan?
Terdapat 2 3 kes sebegini berlaku dalam syarikat saya bekerja sekarang. Tetapi kebanyakkan wanita takut dan terus letak jawatan atas desakan/paksaan Pengurus HR atas dakwaan merahsiakan kehamilan sebelum diambil bekerja.
Maklumbalas dari pihak tuan amatlah di hargai.
Terima kasih.

Perlindungan kepada Pekerja Wanita yang telah Bersalin

Ramai yang keliru tentang hak wanita yang hamil dengan hak wanita yang telah bersalin.

Akta Kerja memberi perlindungan kepada pekerja wanita yang telah bersalin melalui Bahagian IX (S.37 – S.44A). Ia menggariskan hak serta faedah minima dan syarat-syarat yang berkenaan. Melalui S.44A, Akta Kerja 1955 telah menjelaskan bahawa semua pekerja wanita, tanpa mengira jumlah upah, berhak kepada perlindungan dalam Bahagian IX. Walau bagaimanapun, hak serta faedah itu tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Misalnya, semua pekerja wanita berhak kepada cuti bersalin selama 60 hari. Tetapi hanya mereka yang memenuhi syarat-syarat tertentu sahaja yang layak mendapat elaun bersalin.  Sila rujuk artikel kami ‘Cuti Bersalin dan Faedah Bersalin‘ untuk mengetahui syarat-syarat tersebut.

Semua pekerja wanita, sama ada pekerja tetap, masih dalam tempoh percubaan, bergaji harian atau bulanan, berhak kepada perlindungan yang dinyatakan di bawah Bahagian IX. Oleh itu, wanita yang sedang dalam tempoh cuti bersalin (maternity period) atau cuti sakit (selama 90 hari selepas cuti bersalin) tidak boleh ditamatkan perkhidmatan kecuali jika perniagaan ditutup (closure of business).

Sila ambil perhatian, peruntukan seperti S44A tiada dinyatakan di dalam Ordinan Buruh Sabah atau Ordinan Buruh Sarawak. Oleh itu, setakat ini, hanya pekerja wanita yang dilindungi di bawah Ordinan sahaja yang berhak menuntut perlindungan tersebut. Pekerja wanita yang lain terpaksa merujuk kepada terma kontrak kerja masing-masing.

Jawapan kepada Soalan 1, 2 dan 3

Perihal pekerja yang dalam tempoh percubaan, mereka tidak boleh diberhentikan tanpa sebab yang munasabah. Sila rujuk artikel kami tentang penamatan perkhidmatan semasa tempoh percubaan.  Adakah kehamilan suatu sebab yang munasabah?

Perlindungan kepada pekerja yang sedang hamil tiada dinyatakan di dalam Akta Kerja.  Yang ada cuma berkenaan pekerja yang telah bersalin atau dalam tempoh cuti bersalin.

Seperti biasa, jika tiada peruntukan undang-undang yang spesifik atau jika peruntukan undang-undang tidak jelas, maka kita hendaklah merujuk kepada kes-kes yang telah diputuskan oleh mahkamah.  Tiga kes yang sering dirujuk berkenaan hal pemberhentian pekerja atas sebab kehamilan adalah kes :

  • Beatrice Fernandez v MAS (2005) – Perjanjian Bersama (Collective Agreement) menyatakan bahawa pramugari yang hamil hendaklah meletakkan jawatan. Sekiranya dia enggan meletakkan jawatan, maka syarikat berhak menamatkan perkhidmatannya. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa majikan berhak melakukan demikian.
  • Noorfadilla binti Ahmad Saikin v Chayed bin Basirun and Ors (2012) – Seorang guru sandaran/pelatih telah merahsiakan tentang kehamilan beliau dan tawaran kerja beliau telah ditarik balik. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa tindakan itu adalah suatu bentuk diskriminasi dan terma berkenaan tidak boleh dikuatkuasakan.
  • Air Asia v Rafizah Shima (2014) – Jurutera Pelatih telah menandatangani perjanjian (‘Training Agreement and Bond’) di mana beliau bersetuju untuk tidak hamil selama tempoh latihan 4 tahun. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa syarikat berhak untuk menetapkan syarat-syarat sedemikian dan memberhentikan pekerja jika melanggar perjanjian tersebut. Mahkamah menyatakan keputusan dalam kes Norrfadilla tidak terpakai kepada sektor swasta. 

Oleh itu, pekerja yang sedang hamil hendaklah merujuk kepada terma kontrak kerja atau soalan semasa sesi interview kerja sama ada perkara kehamilan ada disebut secara spesifik atau tidak. Jika ada disebut, maka majikan berhak memberhentikan pekerja tersebut. Ia tiada diperuntukkan di dalam undang-undang tetapi ia telah diputuskan oleh mahkamah bahawa majikan berhak memberhentikan pekerja yang hamil.  Begitu juga dengan pekerja yang masih dalam tempoh percubaan.



Jawapan kepada soalan 4 dan 5

Berdasarkan kes-kes di atas juga, pihak syarikat swasta berhak menetapkan syarat/polisi yang melarang pekerja hamil dalam tempoh tertentu. Seseorang pekerja yang diberhentikan sedemikian berhak mencabar keputusan majikan dengan membuat representasi di Jabatan Perhubungan Perusahaan. Akan tetapi, keputusan mahkamah sivil setakat ini tidak menyebelahi pekerja yang sedang hamil jika:

  1. pekerja itu bekerja di dalam sektor swasta
  2. majikan telah menyatakan semasa interview, borang permohonan kerja atau di dalam kontrak tentang larangan hamil
  3. pekerja dengan sengaja menyembunyikan atau berbohong perihal kehamilannya walaupun tahu tentang polisi/terma/syarat tersebut

Nasihat DLSL

Jawapan kami memang menyedihkan kepada kebanyakan wanita. Hakikatnya, perlindungan kepada wanita hamil perlu ditingkatkan. Jika kerajaan benar-benar menghargai peranan wanita sebagai ibu, maka seharusnya peruntukan tertentu digubal untuk membenteras penindasan sebegini. Campurtangan perundangan (legislative intervention) adalah cara terbaik untuk mengelakkan keraguan.

Kami juga memahami hakikat bahawa kepentingan pihak majikan juga perlu diberi perhatian terutama sekali syarikat-syarikat kecil yang tidak mampu menanggung kos-kos pekerja yang cuti bersalin. Suatu jalan tengah mesti dicari demi menjaga kepentingan pekerja dan majikan.

Sementara itu, kami nasihatkan semua pekerja wanita atau yang sedang mencari kerja di sektor swasta hendaklah:

  1. mengetahui dan memahami terma kontrak kerja atau polisi syarikat.
  2. ambil perhatian serius jika perkara mengenai kehamilan semasa tempoh tertentu ada dinyatakan di dalam borang kerja atau ditanya semasa sesi interview. Kemungkinan besar ini bermaksud pihak syarikat akan mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan pekerja jika dia hamil.
  3. Jangan menyembunyikan fakta atau berbohong jika ditanya mengenai kehamilan jika sedang hamil. Kelakuan sedemikian boleh menjadi sebab untuk ditamatkan perkhidmatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Show Buttons
Hide Buttons