Persekutuan Malaysia Dan Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan-Persekutuan

Malaysia adalah sebuah “Persekutuan” iaitu sebuah negara yang dari gabungan 13 buah negeri-negeri yang terdiri dari Johor, Melaka, Pahang, Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah dan juga Sarawak. Selain dari itu terdapat juga tiga buah Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putra Jaya dan Labuan. Sabah, Sarawak dan Labuan adalah terletak di Malaysia Timur, manakala yang selebihnya di Malaysia Barat.

Kedua-duanya dipisahkan oleh Laut China Selatan dengan jarak antara Malaysia Barat dan Malaysia adalah kira-kira 650 kilometer. Namun kesemuanya bernaung di bawah satu negara dengan sebuah kerajaan pusat yang kuat.

Kuasa-kuasa mentadbir dibahagikan antara kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan pusat berasaskan peruntukan yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan

Adalah undang-undang utama negara (supreme law of the land). Oleh itu, ia juga boleh dianggap undang-undang tertinggi negara.  Mana-mana undang-undang yang tidak mematuhi (inconsistent) dengan Perlembagaan Persekutuan boleh dicabar keesahannya di mahkamah.

Kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama Persekutuan Malaysia ada disebut di dalam Artikel 4(1) dan 162 (6) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 73 Akta Malaysia. Artikel 4 (1) adalah berbunyi seperti berikut:-

Undang-undang utama Persekutuan

4. (1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

Dalam kes: Ah Thian v Government of Malaysia [1976] 2 MLJ 112, Tun Suffian berkata: “The power of Parliament and State Legislatures in Malaysia is limited by Constitution, and they cannot make any law they please”.

Artikel 162 (6) Perlembagaan Persekutuan pula adalah merujuk kepada undang-undang yang dibuat sebelum Hari Merdeka.

Artikel ini menyatakan:

Mana-mana mahkamah atau tribunal yang memakai peruntukan mana-mana undang-undang yang sedia ada yang belum diubahsuaikan pada atau selepas Hari Merdeka di bawah Perkara ini atau selainnya boleh memakainya dengan apa-apa ubah suaian yang perlu untuk menyelaraskan dengan peruntukan Perlembagaan ini.

Berdasarkan Artikel 4 (1) dan Artikel 162 (6), undang-undang yang diwujudkan selepas Hari Merdeka dan tidak konsistent dengan Perlembagaan akan menjadi batal, manakala undang-undang yang telah wujud sebelum Hari Merdeka akan terus kekal namun perlu diubah suai oleh Mahkamah dan Tribunal agar selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tidak seperti Perlembagaan di UK, Perlembagaan Malaysia adalah bertulis.

Ia juga memperuntukkan seorang Raja atau Agung sebagai ketua negara. Oleh itu, Malaysia juga dipanggil sebagai sebuah negara Raja Berpelembagaan. Perlembagaan boleh dipindah mengikut kaedah-kaedah yang disebutkan dalam Perlembagaan itu sendiri.

– Persekutuan Malaysia Dan Perlembagaan Malaysia
Show Buttons
Hide Buttons