Please disable Ad Blocker before you can visit the website !!!

The Pure Theory Of Law

by Ismail N   ·  13 years ago   ·  
thumbnail

Pure-theory-of-law

Hans Kelsen dan The Pure Theory Of Law:

Hans Kelsen, adalah seorang juris berbangsa Austria, yang terkenal dengan teori undang-undang tulinnya (Pure Theory Of Law). Beliau dikatakan telah membawa satu perkembangan dalam “modern jurisprudence”.

Hans Kelsen menganggap teorinya sebagai satu teori undang-undang positif.

Oleh itu, seperti juris positivis yang lain, beliau cuba (melalui teorinya) menjawab persoalan “Apa Yang Harus Menjadi Undang-Undang?”.

Oleh itu, beliau menghujahkan teorinya sebagai satu analisa saintifik undang-undang yang cuba mencari definasi undang-undang yang tepat dan seragam, yang boleh dipakai setiap masa dan tempat.

Oleh itu boleh dikatakan juga bahawa Hans Kelsen cuba memperkembangan satu teori yang am (general) disini.

Analisa nya adalah am tidak spesifik dalam mencari apa yang harus menjadi undang-undang.

Pure Theory Of Law (Teori Undang-Undang Tulin)

Teori Hans Kelsen dikatakan sebagai “pure” atau tulin kerana ia tidak mengambil kira aspek lain selain dari undang-undang seperti moral, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.  Kelsen sebenarnya tidaklah mengenepikan nilai (value) faktor-faktor tersebut, tetapi menyatakan satu teori undang-undang mesti dijauhkan dari pertimbangan yang sedemikian.

Memandangkan teorinya adalah satu teori yang am, ianya perlu diketepikan dari faktor-faktor yang selain dari undang-undang kerana ia mungkin boleh meluaskan skop jurisprudence.

Hans Kelsen berpendapat bahawa kosep undang-undang tabie’ (Natural Law) tidak mempunyai tempat.

Baginya, undang-undang tabie’ adalah tidak berguna dan tidak lebih dari satu tanggapan spekulatif yang berasaskan tabie’ dan sebab (reasoning). Menurut Kelsen lagi, keadilan tiada tempatnya dalam mana-mana definasi undang-undang. Baginya konsep tersebut hanya satu expressi idea yang tidak rasional yang mencerminkan nilai yang hanya diingini dalam sesuatu kumpulan atau individu.

Bagi Hans Kelsen undang-undang adalah norma-norma yang menunjukkan “Bagaimana seseorang harus berkelakuan?” (ought to behave).

Ianya ditujukan kepada pegawai (norms address to officials), umpamanya Hakim. Jika sesuatu perkara berlaku (misalnya X berlaku), maka satu perkara lain akan berlaku (misalnya Y berlaku). Andaian jika X berlaku, maka Y berlaku boleh di tunjukkan dalam satu ilustrasi, Contohnya: Jika A membunuh, maka dia harus menerima hukuman.

Hakim sebagai orang yang dipertanggungjawabkan akan menjalankan arahan untuk menjatuhkan hukuman sebagaimana yang diperuntukkan oleh statut. Kelsen tidak kisahkan soal samada pesalah cuba mengelakkan diri dari dihukum. Beliau cuma kisahkan apabila terjadinya kesalahan, maka apakah undang-undang yang akan mengawalnya.

Baginya aturan norma adalah seseorang yang melakukan kesalahan perlu dihukum.

Bagimanakah Norma-Norma Ini Wujud?

Kewujudannya boleh dilihat dari keesahan yang didapatinya. Suatu norma adalah wujud apabila disahkan oleh norma yang lebih tinggi daripadanya. Contohnya: Satu arahan pentadbiran adalah SAH jika ianya dibenarkan oleh statut. Arahan statut pula SAH jika mengikut peruntukan di dalam Perlembagaan dan Perlembagaan ini adalah SAH jika ianya disahkan oleh satu autoriti yang lebih tinggi darinya. Ianya menjadi satu hiraki sehinggalah ke satu peringkat di mana, persoalan keesahannya tidak lagi timbul.

Grundnorm

Pada peringkat ini kita akan berhadapan dengan sesuatu yang dipanggil oleh Hans Kelsen sebagai “Grundnorm” atau norma yang asas sekali. Ianya dalah norma yang terakhir sekali (final postulate), yang tiada autoriti lagi yang lebih atas darinya.

KeeSAHannya pula di ANDAIKAN melalui pemikiran undang-undang (presupposed by legal thinking).

Hans Kelsen membezakan keesahan dan kecekapan (efficacy) dalam membincangkan “grundnorm”. Tidak seperti norma-norma yang lain, “grundnorm” tidak memerlukan suatu autoriti yang lebih tinggi darinya untuk mengesahkannya.

Ini adalah logik kerana ianya adalah norma yang tertinggi sekali dan persoalan tentang keesahan tidak perlu timbul dan ianya diandaikan sebagai sah (presupposed to be valid). Namun, sesuatu grundnorm itu perlu memenuhi syarat bahawa ianya adalah cekap, iaini ia menerima sekurang-kurangnya sokongan yang minima.

Menurut Kelsen lagi, sesuatu norma yang tidak diikuti oleh orang ramai, i.e, tidak cekap tidak boleh dianggap sah. Oleh itu, walaupun “grundnorm” itu diandaikan sah (presupposed), keesahannya adalah tertakluk kepada syarat bahawa ianya mesti cekap.

Seperti John Austin juga, “sanction” adalah penting bagi Hans Kelsen.

Akan tetapi Kelsen ia tidak menganggapnya sebagai satu unsur kekerasan bagi melaksanakan undang-undang sebagaimana yang diutarakan oleh Austin. Tetapi Kelsen menganggapnya sebagai sebahagian dari sistem undang-undang (final individualisation of set of legal norms).

Contohnya: Jika A didapati bersalah atas kesalahan tort, maka “sanction” akan dikenakan pada A.

Sanction ini adalah norma yang terbawah sekali dan keesahannya adalah tertakluk kepada autoriti yang diberi oleh norma di atasnya, seperti arahan pentadbiran atau peruntukan statut.  Contoh: Bagi kesalahan di bawah s. 352 Kanun Keseksaan (Serangan), sanction nya adalah penjara hingga 3 bulan atau denda atau kedua-duanya.

Sekali imbas, teori Kelsen adalah satu teori yang berasas dan logik.

Pendapatnya bahawa keesahan sesuatu norma didapati dari norma yang lebih tinggi boleh diterima dan dilihat dalam pemakaian undang-undang di seluruh dunia.  Contohnya: peruntukan hukuman mati mandatory bagi kesalahan mengedar dadah di Malaysia adalah SAH kerana statut Akta Dadah Merbahaya 1952 memberi peruntukan sedemikian. Akta ini SAH kerana ianya diluluskan oleh Parlimen selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam kes Manuel v A-G [1982] 3 All ER 822, , Court of Appeal dalam menentukan samada Canada Act 1982 adalah SAH atau tidak telah melihat samada ianya telah mendapat keesahan dari autoriti yang lebih tinggi darinya iaitu Parlimen UK: dan oleh itu juga melihat samada Parlimen UK telah bertindak selaras dengan Statue of Westminster 1931.

Mahkamah berpendapat bahawa Canada Act adalah sah kerana Parlimen UK telah meluluskannya selaras dengan peruntukan Statue of Westminister.

Terorinya mengenai effikasi juga memperlihatkan sesuatu yag agak logik juga.Ini kerana perlu terdapat satu norma yang tertinggi sekali dalam semua norma-norma. Dan norma yang teratas seharusnya perlu mendapat sokongan.

Jika tidak, bagaimana ianya hendak diikuti?

Di dalam kes The State of Pakistan v Dosso [1958] 2 P.S.C.R 533, mahkamah telah melihat samada perundangan Laws (Continuence in Force) Order/LCFO yang diluluskan kerajaan yang baru ditubuhkan melalui revolusi yang terjadi di negara itu mendapat sokongan atau tidak?

Setelah membuat keputusan bahawa terdapat satu kerajaan baru yang effektif, mahkamah memutuskan bahawa LCFO adalah SAH. Prinsip ini juga digunakan dalam satu kes di Rhodesia: Madzimbamuto v Lardner Burke (No 2) [1969] 2 S.A.L.R 457 dan dalam kes Michell v D.P.P [1985] L.R.C Const 127 [1986] L.R.C 122, yang mana Haynes J, memutuskan bahawa sesuatu kerajaan dari revolusi  adalah tidak sah kecuali ianya mematuhi 4 syarat, yang antaranya adalah melihat samada terdapatnya kawalan effektif.

Seperti teori-teori yang lain, teori Hans Kelsen ini juga tidak dapat lari dari beberapa kelemahan terutamanya apabila dipakai dalam keadaan sebenar. Kelemahan-kelemahan ini telah mendapat kritikan dari beberapa orang penulis seperti Harold Laski dan R M W Dias dan teori ini telah ditolak pemakaiannya dalam beberapa kes seperti Asma Jilani v Govt of Punjab [1972] S.C 139.

Menurut Curzon (L.B Curzon – Lecture Notes, Jurisprudence m.s 117), teori Kelsen adalah sesuatu yang tidak realistik dan jauh dari kompleksiti yang sebenarnya wujud dalam pemakaian undang-undang.

Dalam bukunya, (Dias – Jurisprudence m.s 492), Dias telah mengkritik teori ini kerana hanya tertumpu pada soalan: Apakah itu undang-undang? dan apabila terjadinya “delict”,  apakah undang-undang yang terpakai? Menurut Dias, fungsi penting undang-undang bukanlah hanya setakat berurusan dengan pesalah-pesalah. Teori Kelsen digambarkan dalam keadaan seperti: apabila A terjadi, maka B akan terjadi. Jadi untuk mengelakkan B, seseorang akan mengelakkan melakukan A. Kelsen tidak menerangkan undang-undang bagi keadaan sebegini, sedangkan ianya berlaku setiap hari dalam kehidupan.

Kritikan juga boleh dibuat terhadap sifat tulin yang cuba dibawa oleh teori itu. Secara logik dan praktiknya , undang-undang tidak boleh dipisahkan dengan pertimbangan pada faktor-faktor lain (Harold Laski – Grammar of Politics). Ini kerana ia wujud dalam masyarakat dan dengan itu apa yang berlaku dalam masyarakat seharusnya diambil kira dalam menentukan apakah undang-undang.

Contohnya: Akta Keselamatan Dalam Negeri diluluskan bagi menangani kemelut politik dan perkauman dalam negara dan mencerminkan keadaan politik dan sosial yang tidak stabil dalam negara pada masa itu.

Hans Kelsen juga tidak seharusnya mengenepikan elemen “keadilan(justice) dalam teorinya.

Ini kerana dalam sesuatu sistem undang-undang, keadilan mencerminkan sesuatu yang akhir yang ingin dicapai oleh sistem itu.

Logiknya undang-undang dicipta untuk keadilan semua dan bukannya satu arahan sahaja yang mungkin boleh dimanipulasikan oleh pemerintah yang zalim. Contohnya: Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521) diluluskan oleh Parlimen Malaysia adalah untuk memberi perlindungan dan keadilan pada isteri-isteri yang dianiya oleh suami mereka.

Di dalam kes Jumatsah v Voon Kim Kuet [1981] 1 MLJ 254, mahkamah dalam mempertimbangkan maksud peruntukan dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 telah memberikan keputusan berasaskan pada prinsip bahawa keputusan yang di ambil adalah lebih adil.

Dalam teorinya, Kelsen menganggap “sanction” sebagai sesuatu yang penting. Apabila terjadinya sesuatu kesalahan, si pesalah akan menerima hukuman atau “sanction”. Ini kerana Kelsen menghujahkan bahawa perkara penting (essence) dalam undang-undang adalah tugas (duty). Jadi apabila terdapatnya pecah tugas, ia perlu diikuti oleh sesuatu “sanction”.

Akan tetapi, ratio ini tidak selalunya benar. Ini kerana sesuatu “sanction” yang dikenakan adakalanya tidak mencerminkan bahawa seseorang itu telah pecah tugasnya dan maka dengan itu telah melakukan kesalahan dan dikenakan “sanction”. Mengikut teori Kelsen, jika X terjadi, maka Y terjadi.

Oleh itu berdasarkan teorinya, jika A memiliki pendapatan  dari kerjanya, maka kerajaan akan mengenakan cukai terhadapnya. Akan tetapi cukai tidak boleh menjadi satu “sanction” seperti yang dimaksudkan oleh Kelsen (Dias – Jurisprudence m.s 492) ataupun boleh dikatakannya ada “duty” untuk mendapatkan pendapatan.

Konsep grundnorm pula adalah suatu konsep yang disifatkan  paling lemah dalam teori ini.

Menurut M.D. A Freeman (Llyods – Introduction To Jurisprudence, ms 282), konsep ini dianggap sebagai ciri bermasaalah dalam sistem ini (troublesome features of Kelsen’s system). Terdapat hujahan bahawa apakah jenisnya norma ini? dan dimanakah kita boleh kenalpastinya?. Hans Kelsen mengakui bahawa grundnorm tidak semestinya sama disetiap sistem undang-undang, tetapi ianya perlu ada, mungkin dalam bentuk Perlembagaan Bertulis mahupun arahan seorang dictator.

Namun, keadaan adalah lebih susah apabila terdapatnya beberapa autoriti yang tertinggi dalam suatu masa. Misalnya, dalam keadaan yang berlaku di Eropah sekarang. Misalnya, terdapatnya Triti EEC dan Perlembagaan negara-negara Eropah.

Yang mana satukah akan menjadi grundnorm?

Isu di atas telah dihadapi oleh mahkamah dalam kes Reg v Secty Of Transport ex p Gacfortame [1990] 2 WLR 818, yang mana Merchant Shipping Act 1988 telah diluluskan selaras dengan Perlembagaan British tetapi tidak selaras dengan triti EEC. Dalam kes ini, mahkamah memutuskan atas prinsip bahawa Mahkamah tidak boleh mengetepikan kehendak pemerintah dalam mendatangani triti itu.

Maka dengan itu, Akta itu dianggap sebagai tidak sah. Jika mahkamah melihat denga cara Kelsen, tentunya masaalah akan timbul dalam menentukan yang mana satu grundnorm.

Bagaimana kita hujahkan bahawa grundnorm adalah suatu norma? Ia tidak ada autoriti yang mengesahkannya  dan ia tidak selaras dengan formula Kelsen: Jika X terjadi, maka Y akan terjadi.

Ia juga tidak mengenakan “sanction’, manakala keesahannya di andaikan.

Mengapa mesti diandaikan?

Mengapa bila tiba di tahap ini, perlu ada aturan lain yang mengawalnya? Keadaan ini mejadikan juris seperti Goodhart (Goodhart – English Law And Moral Law) merasa curiga akan nilai analisa ini yang tidak menerangkan kewujudan norma asas yang padanya norma-norma lain bergantung kepada. Ini seperti satu fiksyen yang tidak lebih seperti konsep “pemerintah” dalam teori Austin.

Hans Kelsen pula menghujahkan bahawa teorinya adalah satu analisa saintifik yang cuba mencari definasi tepat undang-undang.

Namun, di sini, dia mengambil jalan mudah dengn MEMBUAT ANDAIAN sahaja. Mengenai andaian ini,  para penyokong Kelsen pula menghujahkan bahawa memandangkan kita telah pun tiba di satu peringkat tertinggi, yang mana tidak perlu dilihat lagi justifikasi undang-undang, maka keesahan  itu perlu diandaikan sahaja.

Satu grundnorm menurut Kelsen perlu cekap sebelum ianya SAH. Terdapat persoalan di sini tentang ujian yang harus digunakan dalam menentukan samada syarat ini telah dipenuhi atau tidak. Ini penting terutamanya dalam keadaan revolusi, dimana satu pemerintahan baru akan wujud dan satu perlembagaan baru akan muncul.

Oleh itu, persoalan ini perlu dijawab untuk menentukan keesahan Perlembagaan baru tersebut.

Di dalam kes Madzimbamuto v Lardner Burke [1968] 2 S.A.L.R ms 284, telah dicadangkan agar dalam menentukan kecekapan regim yang baru naik memerintah, perlulah dilihat samada badan kehakiman bersedia memberi pengiktirafan. Namun cadangan ini dikritik oleh Dias yang menghujahkan bahawa hakim yang duduk mendengar kes tersebut adalah tidak mempunyai alternatif lain selain dari memberi pengiktirafan kerana jika mereka enggan, tentunya penghakiman mereka akan diketepikan juga oleh regim yang baru memerintah.

Apa yang lebih menarik adalah dalam kes Asma Jilani v Govt of Punjab [supra], mahkamah telah menolak Perlembagaan baru, walaupun bersetuju bahawa terdapat kawalan yang effektif. Ini menunjukkan bahawa terdapat logik dalam teori Kelsen, walaupun ianya masih boleh dipertikaikan.

Syarat effektif juga adalah bertentangan dengan teori tulinnya sendiri kerana dalam menentukan “efficacy“, pertimbangan lain seperti politik, sosial dan sebagainya perlu diambil kira. Mahkamah juga dalam beberapa keadaan akan melihat faktor-faktor lain selain dari effektif, seperti dalam kes Michell v DPP [supra], iaitu melihat juga samada terdapatnya satu revolusi yang berjaya dan regim itu tidak oppresif atau tidak demokratik.

Kesimpulannya, Teori Kelsen boleh dikatakan satu teori yang mempunyai struktur yang agak logik. Namun, masih terdapat beberapa perkara yang boleh dipertikaikan dan dipersoalkan kelogikkannya. Namun, iannya penting terutama dalam situasi revolusi, yang mana keesahan sesuatu regim perlu ditentukan.

Akan tetapi, harus diingat yang ianya tidak boleh dianggap sebagai satu teori yang lengkap dan perlu digunakan setiap masa kerana terdapat kelemahan-kelemahan yang telah dijelaskan tadi.

BIBLIOGRAFI

  1. M.D.A Freeman Llyods , Introduction To Jurisprudence
  2. R.D.M Dias Jurisprudence
  3. L.B CurzonLectures Notes, Jurisprudence
  4. Hilaire McCoubrey & Nigel D White TextbookOn Jurisprudence
  5. Shad S Faruqi “From Whom The Bell Tool?…” – Malaysian Law News [1991] June
  6. Prof Hari Chand Modern Jurisprudence
  7. LaskiGrammar Of Politics
  8. J.M. Eekelaar – Principles of Revolutionary Legality
– The Pure Theory Of Law

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.