Please disable Ad Blocker before you can visit the website !!!

Sumber Undang-Undang Di Malaysia

by Ismail N   ·  12 years ago   ·  
thumbnail

sumber undang-undang

Perkataan sumber undang-undang boleh merujuk kepada pelbagai makna. Sekiranya kita menerangkan sumber undang-undang berasaskan sejarah undang-undang itu, maka kita sebenarnya merujuk kepada sesuatu yang mempengaruhi perkembangan undang-undang tersebut dari mula hingga ke hari ini.

Oleh kerana perubahan masa dan sebagainya, kita dapati ada sumber yang mungkin tidak diaplikasikan dalam pertikaian undang-undang hari ini.

Sumber Undang-Undang Di Malaysia

Antara sumber undang-undang termasuklah adat, kepercayaan dan pandangan-pandangan sarjana undang-undang yang telah dibangun, dibentuk dan diubahsuai dengan penggunaan hari ini.

Sekiranya kita menerangkan sumber-sumber undang-undang dari sudut di mana undang-undang itu boleh dirujuk pula, kita sebenarnya bercakap mengenai bahan rujukan undang-undang dan ini termasuklah statut-statut (akta, ordinan, enekmen dsb), laporan kes, buku-buku teks, jurnal undang-undang dan sebagainya.

Akan tetapi banyak penulisan undang merujuk sumber undang-undang sebagai undang-undang yang dirujuk/gunapakai hari ini, i.e “legal source” (legal rules that make up the law).

Sumber undang-undang berdasarkan “legal source” ini lebih mudah difahami dan sesuai digunakan.

Malahan dalam satu pertikaian undang-undang, mahkamah akan melihat sumber undang-undang berasaskan definasi ini dalam menentukan apakah undang-undang yang patut dirujuk. Berasaskan definasi ini juga, kita boleh katakan bahawa sumber undang-undang di Malaysia adalah merujuk kepada:

  • Perlembagaan (Persekutuan Dan Negeri)
  • Perundangan
  • Keputusan Kehakiman
  • Common Law Dan Kaedah-Kaedah Ekuti
  • Undang-Undang Adat
  • Undang-Undang Islam

Untuk lebih mudah lagi kita boleh bahagikan sumber undang-undang di  Malaysia kepada dua iaitu bertulis dan tidak bertulis.

Undang-Undang Bertulis (Written Laws)

Undang-undang bertulis  juga dikenali sebagai undang-undang statut. Ia merujuk kepada undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan dan perundangan (akta, ordinan dan enakmen). Tidak seperti di UK, undang-undang bertulis ini adalah sumber undang-undang yang utama di Malaysia.

Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri dari persekutuan 13 buah negeri, maka undang-undang bertulis bertulis di Malaysia ini adalah terdiri dari undang-undang negeri (State Laws) dan persekutuan (Federal Laws).

3 jenis undang-undang bertulis yang menjadi sumber undang-undang di Malaysia adalah:-

  1. Perlembagaan
  2. Perundangan
  3. Perundangan Subsdiari

Perlembagaan

Dua makna yang terpakai bagi perlembagaan di Malaysia – Satu, ianya adalah sebuah dokumen yang mempunyai keluhuran undang-undang yang khas yang menetapkan struktur kerajaan, fungsi badan-badan kerjaaan  dan prinsip-prinsip yang mana badan-badan ini beroperasi.

Kedua, ianya adalah badan atau kumpulan kaedah-kaedah dan amalan-amalan yang menubuh dan mengawal badan-badan kerajaan serta mengawal perhubungan antara individu dan negara.

Di Malaysia ia terdiri  dari Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang utama negara (supreme law of the land) dan perlembagaan negeri-negeri di Malaysia.

Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan:

Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu“.

Rujuk juga: Ah Thian v Government Of Malaysia [1976] 2 MLJ 112.

Selain dari Perlembagaan Persekutuan, terdapat 13 lagi perlembagaan negeri bagi setiap negeri-negeri di Malaysia. Semua perlembagaan negeri hendaklah mengandungi peruntukan-peruntukan sebagaimana yang disenaraikan pada Bahagian 1 kepada Jadual Ke Lapan Perlembagaan Persekutuan (Rujuk Perkara 71 (4) Perlembagaan Persekutuan). Peruntukan-peruntukan ini menyentuh hal Pemerintah (Raja), Majlis Eksekutif, Perundangan Negeri dan sebagainya.

Perundangan

Maksud perundangan adalah undang-undang yang diperbuat oleh badan yang diberi kuasa untuk membuatnya. Ia terdiri dari perundangan utama dan subsidiari. Perundangan utama di Malaysia diperbuat oleh Parlimen (peringkat pusat) dan Dewan Undangan Negeri (peringkat negeri).

Undang-undang yang diperbuat oleh Parlimen biasanya di panggil sebagai Akta, manakala undang-undang yang diperbuat oleh Dewan Undangan Negeri di panggil Ordinan dan Enakmen.

Contoh Akta termasuklah: Akta Kontrak, Akta Pekerjaan, Akta Keganasan Rumahtangga dan lain-lain lagi.

Contoh Ordinan dan Enakmen termasuklah: Advocates Ordinance (Sabah Cap. 2), Burials Ordinance (Sabah Cap. 19), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Namun, terdapat juga yang perundangan persekutuan yang dinamakan Ordinan seperti Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak.

Perundangan Subsidiari

Perundangan subsidiari merujuk kepada undang-undang yang dibuat oleh pihak berkuasa di bawah kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya oleh suatu statut induk. Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil subsidiary legislation atau delegated legislation atau juga by-laws. Rujuk juga Seksyen 3, Akta Tafsiran 1948 Dan 1967 (Akta 388) yang berbunyi:

“Perundangan subsidiari bererti apa-apa perisytiharan, kaedah, peraturan, pemberitahuan, undang-undang kecil atau suratcara lain yang dibuat di bawah mana-mana Akta, Enakmen, Ordinan atau kuasa sah, yang lain dan yang mempunyai kesan perundanan”.

Contoh perundangan subsidiari ialah: Uniform (Anti-litter) By-laws 2010 yang mana kuasa membuatnya diberi kepada Majlis Tempatan menerusi Local Government Ordinance 1961.

Undang-Undang Tidak Bertulis (Unwritten Laws)

Undang-undang tidak bertulis tidak bermaksud undang-undang itu tidak bertulis langsung (literally unwritten). Keputusan kehakiman misalnya boleh dirujuk secara bertulis dalam lapuran-lapuran undang-undang (judicial report), begitu juga common-law Inggeris. Namun untuk memudahkan kita semua memahami dan mengingati sumber undang-undang di Malaysia, maka klafikasi sebegini dibuat.

Bagi tujuan artikel ini, undang-undang tidak bertulis adalah merujuk kepada bahagian undang-undang Malaysia yang tidak dibuat oleh badan yang menggubal undang-undang (Parlimen & Dewan Undangan Negeri) serta ia juga bukan dari Perlembagaan Persekutuan mahupun perlembagaan negeri-negeri.

Sumber undang-undang Malaysia yang tidak bertulis ini terdiri dari:

  1. Prinsip-prinsip undang-undang Inggeris yang sesuai dalam situasi tempatan
  2. Keputusan kehakiman oleh mahkamah atasan (superior courts)
  3. Undang-undang adat yang telah diterima pakai oleh mahkamah

Prinsip Undang-Undang Inggeris

Prinsip undang-undang Inggeris adalah terpakai di Malaysia setakat yang dibenarkan. Prinsip-prinsip undang-undang Inggeris ini terkandung dalam common-law dan ekuiti Inggeris. Pemakaian prinsip-prinsip undang-undang Inggeris ini adalah terhasil secara tersirat dan tersurat.

Ianya tersirat bila mahkamah cuba menafsirkan sesuatu arahan untuk mengadili kes berasaskan “justice and rights” (keadilan dan hak) sebagai secara tak langsung  menerima pakai undang-undang Inggeris [Wu Min AunThe Malaysian Legal System, m.s 99].

Selain dari itu, prinsip-prinsip undang-undang Inggeris telah (melalui statut) diterima pakai sebagai sumber undang-undang Malaysia yang tersurat semenjak 1807 bila First Charter of Justice digubal bagi membawa masuk undang-undang Inggeris di Pualu Pinang.

Beberapa statut lain kemudiannya muncul dan hari ini kita merujuk kepada Akta Undang-Undang Sivil (Civil Law Act 1956) (Revised 1972) yang mengariskan panduan kemasukkan prinsip undang-undang Inggeris di Malaysia.

Application of U.K. common law, rules of equity and certain statutes
3. (1) Save so far as other provision has been made or may hereafter be made by any written law in force in Malaysia, the Court shall—

(a) in Peninsular Malaysia or any part thereof, apply the common law of England and the rules of equity as administered in England on the 7 April 1956;

(b) in Sabah, apply the common law of England and the rules of equity, together with statutes of general application, as administered or in force in England on 1 December 1951;

(c) in Sarawak, apply the common law of England and the rules of equity, together with statutes of general application, as administered or in force in England on 12 December 1949, subject however to subparagraph (3)(ii):

Akta Undang-Undang Sivil 1956

Merujuk kepada peruntukan pada Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Semakan 1972) di atas, mahkamah-mahkamah di Semenanjung Malaysia hendaklah (shall apply) menggunapakai common-law dan ekuiti Inggeris sebagaimana ia berkuatkuasa di England setakat 7hb April 1956. Di Sabah dan Sarawak pula mahkamah perlu menggunapakai common-law dan ekuiti Inggeris beserta dengan statut pemakaian am yang berkuatkuasa di England pada 1hb Disember 1951 (Sabah) dan 12hb Disember 1949 (Sarawak).

Perhatian perlu diberikan kepada tarikh-tarikh yang dinyatakan diatas kerana mahkamah cuma terikat pada common-law dan ekuiti Inggeris serta statut-statut pemakaian am (Sabah & Sarawak) yang berkuatkuasa pada tarikh tersebut. Sebagaimana yang kita sedia maklum prinsip-perinsip undang-undang Inggeris telah berkembang semenjak dari tarikh-tarikh berikut.

Soalnya, apakah status prinsip-prinsip undang-undang Inggeris yang wujud selepas dari tarikh-tarikh diatas?

Dalam kes: Jamal bin Harun v. Yang Kamsiah & Anor [1984] 1 CLJ 215, mahkamah memutuskan bahawa ianya tidak mengikat tetapi mempunyai daya pengaruh yang tinggi (persuasive).

Lord Scarman dalam kes ini menyatakan:

Their Lordships do not doubt that it is for the courts of Malaysia to decide, subject always to the statue of the Federation, whether to follow English case law. Modern English authorities may be persuasive but are not binding. In determining whether to accept their guidance, the court will have regard to the circumstances of the states of Malaysia and will be careful to apply them only to the extent that the written law permits and no further than in their view it is just to do so” – m.s 219.

Seperti yang dinyatakan tadi bahawa terdapat sekatan atau had-had pada penggunaaan prinsip-perinisp undang-undang Inggeris sebagai sumber undang-undang Malaysia.

Selain dari “cut off date” di atas, pemakaian prinsip-prinsip ini tertakluk kepada:-

  1. Ia cuma digunakan  jika tiadanya statut di Malaysia yang mengawal selia atau memberi peruntukakan bagi hal tersebut
  2. Cuma bahagian prinsip-prinsip undang-undang Inggeris yang sesuai dengan keadaan tempatan sahaja boleh digunakan.

Proviso pada Seksyen 3 (1) berbunyi:

“Provided always that the said common law, rules of equity and statutes of general application shall be applied so far only as the circumstances of the States of Malaysia and their respective inhabitants permit and subject to such qualifications as local circumstances render necessary.”

SYARAT: Common-law dan kaedah ekuiti dan statut pemakaian am tersebut akan dipakai sejauh yang diizin oleh keadaan di negeri-negeri dalam Malaysia dan penduduknya, dan tertakluk kepada penyesuaian oleh keadaan tempatan.

Bacaan lanjut:

Penerimaan Undang-Undang Inggeris Dalam Hal-Hal Perdagangan Dan Tanah.

Keputusan Kehakiman

Keputusan kehakiman adalah juga dikenali sebagai undang-undang kes (case laws). Ia merujuk kepada keadaan yang mana mahkamah merujuk kepada keputusan-keputusan kes terdahulu bagi menyelesaikan pertikaian dihadapan mereka Namun, hakim-hakim dalam merujuk kes-kes terdahulu ini adalah terikat dengan prinsip-prinsip pada DOCTRINE OF JUDICIAL PRECEDENT atau doctrine of stare decisis.

Hakim-hakim tidak boleh bertindak secara sembrono dalam merujuk kes-kes terdahulu dan syarat-syarat pada doktrin ini perlu diikuti.

Keputusan kehakiman adalah satu sumber undang-undang Malaysia yang amat penting dan sering digunapakai oleh mahkamah. Secara teorinya, undang-undang adalah dibuat oleh badan-badang perundangan seperti Parlimen dan DUN. Tugas mahkamah adalah hanya untuk memberikan tafsiran pada undang-undang yang diluluskan. Namun seperti mana yang berlaku dalam sistem common-law, hakim dalam membuat tafsiran secara tidak langsung juga telah membuat undang-undang.

Tafsiran-tafsiran yang dibuat biasanya bagi mengisi lakuna atau kekosongan yang wujud dalam perundangan sstatut  atau memberi makna/tafsiran baru sekaligus mewujudkan prinsip-prinsip undang-undang yang baru.

Keputusan kehakiman boleh diberi dua makna:-

  1. Keputusan-keputusan mahkamah yang timbul daripada pentafsiran perundangan atau statut-statut yang dibuat oleh badan perundangan.
  2. Keputusan mahkamah yang merupakan duluan atau tauladan kehakiman (judicial precedent) iaitu keputusan-keputusan mahkamah terdahulu yang dipetik sebagai nas oleh mahkamah kemudin, semasa memutuskan sesuatu kes yang mana fakta-faktanya adalah serupa.

Doktrin Stare Decisis (Doktrin Duluan Mengikat)

 Di bawah doktrin ‘stare decisis’ atau doktrin duluan mengikat ini:

Mahkamah HENDAKLAH mengikuti keputusan-keputusan terdahulu

sumber undang-undangmahkamah yang lebih tinggi DAN keputusan-keputusannya sendiri yang terdahulu (bagi seseparuh kes) DAN Mahkamah-mahkamah yang setaraf (pada masa kini dan lalu, jika ada, asalkan mahkamah-mahkamah ini terletak dalam hiraki/susunan yang sama.

Nota: Dalam pemakaian doktrin stare decisis atau duluan mengikat ini, hanya ratio decidendi kes yang mengikat kes kemudian dan bukannya obiter dictum atau kenyataan sampingan hakim. Ratio Decidendi adalah prinsip-prinsip undang-undang yang menjadi dasar/asas kepada keputusan kes tersebut.

 Pemakaian Doktrin Stare Decisis di Malaysia

Pemakaian doktrin ini di Malaysia adalah berdasarkan pemakaianya di UK. Akan tetapi ia agak lebih rumit di Malaysia disebabkan terdapat beberapa rombakan yang berlaku pada hiraki mahkamah di Malaysia.

Secara amnya doktrin stare decisis beroperasi dengan dua cara:-

  1. Secara MENEGAK – mahkamah-mahkamah hendaklah mengikuti keputusan-keputusan mahkamah yang lebih tinggi.
  2. Secara MENDATAR – seseparuh mahkamah hendaklah mengikuti keputusan-keputusannya sendiri yang terdahulu dan mahkamah yang setaraf (dulu atau masakini).

Seperti yang dinyatakan di atas pemakaian doktrin ini di Malaysia adalah sedikit rumit kerana di masa lalu telah berlaku beberapa rombakan pada hiraki atau susunan mahkamah di negara ini. Contohnya:

  1. Di antara tahun 1985 hingga 1995 – Mahkamah Agung adalah merupakan mahkamah yang tertinggi di Malaysia, namun selepas tahun 1995, ia tidak lagi berada dalam hiraki mahkamah.
  2. Sebelum tahun 1985, keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan boleh dirayu ke Privy Coucil dan YDP Agung. Namun selepas 1995, Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah tertinggi dan tiada rayuan boleh di buat selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.
  3. Mahkamah Rayuan (Court of Appeal)  hanya wujud selepas tahun 1995.

Untuk bacaan lanjut pemakaian doktrin ini di Malaysia, anda boleh merujuk kepada:

  • The Malaysian Legal System – Wu Min Aun
  • A First Look At Malaysian Legal System – Wan Arfah Hamzah

Di UK, pemakaian doktrin ini adalah lebih mudah kerana hiraki mahkamah adalah sama (tidak berubah). Mahkamah Tinggi (High Court) misalnya, sejak dulu lagi adalah terikat kepada keputusan Mahkamah Rayuan (Court of Appeal) dan House Of Lords.

Mahkamah Rayuan pula terikat dengan keputusan House Of Lords, manakala House of Lords adalah terikat kepada seseparuh keputusannya sendiri.

Undang-Undang Adat Dan Undang-Undang Islam

Adat penduduk tempatan juga adalah sumber undang-undang di Malaysia. Biasanya ia berkaitan dengan hal persendirian dan keluarga dan diberikan status undang-undang menerusi penerimaan dalam mahkamah di Malaysia. Terdapat juga hal-hal berkaitan tanah, umpamanya ‘native cutomary land‘ di Sabah dan Sarawak. Rujuk A First Look At Malaysian Legal System – Wan Arfah Hamzah untuk maklumat yang lebih mendalam mengenai undang-undang adat di Malaysia.

Undang-undang Islam terpakai kepada mereka yang beragama Islam sahaja. Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk melaksanakan undang-undang Islam di negeri-negeri, namun terhad kepada hal-hal persendirian dan keluarga sahaja.

Terdapat enakmen-enakmen negeri-negeri yang dibuat bagi mengawal selia undang-undang Islam. Kes-kes berkaitan undang-undang Islam adalah di dengar di Mahkamah Syariah.

Rujukan:

  • A First Look At Malaysian Legal System – Wan Arfah Hamzah
  • The Malaysian Legal System – Wu Min Aun
  • Commercial Law- Lee Mei Pheng & Ivan Jeron Detta
  • The Malaysian Legal System – Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned
– Sumber Undang-Undang Di Malaysia

23 Comments

  1. faizul

    boleh tuan jawab soalan yg saya tuliskan ini

    Rahim adalah seorang hakim Mahkamah Sesyen di Pulau Pinang. Beliau telah mempunyai pengalaman sebagai seorang hakim melebihi sepuluh (10) tahun dalam pengkhususan bidang jenayah. Setiap kali beliau membuat keputusan dalam kes-kes yang beliau hakimi, beliau pasti akan merujuk keputusan-keputusan daripada kes-kes terdahulu. Tujuannya adalah sebagai menghormati keputusan dalam kes terdahulu seterusnya bagi menguatkan hujah dan keputusan baru yang akan diputuskan.

    Berdasarkan situasi di atas, adakah boleh Rahim sebagai seorang hakim Mahkamah Sesyen merujuk keputusan pada kes terdahulu? Jika ianya dibenarkan, apakah prinsip undang-undang yang mengatakan boleh? Sokong jawapan anda dengan merujuk undang-undang Inggeris dan kes-kes yang berkaitan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.